Resolusi Wacana Membanteras Gerakan Pluralisme Agama dan Pemurtadan Ummah
Posted December 14, 2010
Wacana Membanteras Gerakan Pluralisme Agama dan Pemurtadan Ummah yang berlangsung pada hari Selasa 14hb Disember 2010M, bersamaan dengan 8hb Muharram 1432H, bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, anjuran bersama Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Permuafakatan Badan Amal Islam Wilayah Persekutuan (di bawah Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan), Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA);

Menyedari, bahawa Gerakan Pluralisme Agama yang berteraskan kepada faham semua agama adalah sama dan boleh membawa kepada keselamatan di Akhirat; adalah bertentangan dengan ajaran dan ‘Aqidah Islamiyyah yang sebenar dan boleh menjerumuskan kepada pemurtadan dan ketidakstabilan masyarakat; maka sidang hari ini memutuskan supaya:

1. Pihak berkuasa Agama di semua peringkat di Malaysia, wajar memantau Gerakan Pluralisme Agama ini dan mengambil langkah mencegah dengan apa cara sekali pun.

2. Pihak berkuasa Agama wajar memanggil individu atau Jawatankuasa Organisasi yang menganut faham Pluralisme Agama ini, untuk diberi kaunseling, nasihat dan ajaran mengenai ‘Aqidah Islam yang sebenar.

3. Pihak berkuasa Agama yang boleh memboleh memberi fatwa, iaitu majlis fatwa (peringkat Kebangsaan dan negeri-negeri) supaya segera memberi fatwa yang lebih jelas mengenai faham atau ideologi pluralisme agama.

14hb Disember 2010