Mohon halang Sister In Islam

2010/03/23

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda Masjid Malaysia (Pemuda Masjid) sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO), memfailkan saman pemula terhadap SIS Forum (Malaysia) di Mahkamah Tinggi di sini, semalam bagi menuntut satu deklarasi nama organisasi itu yang sah bukanlah Sisters In Islam.

Saman pemula itu difailkan oleh Pemuda Masjid melalui Pengarah Eksekutif dewan berkenaan, Mohd Taqiuddin Abdullah selaku pemohon dengan menamakan SIS Forum (Malaysia) selaku responden melalui Tetuan Sahlan & Associates kira-kira jam 9.30 pagi semalam. Dalam saman pemula itu, pemohon memohon satu perintah responden tidak dibenarkan dan dilarang daripada menggunakan nama Sisters In Islam sebagai nama dan pengenalan yang menunjukkan identiti responden dalam mana-mana risalah, surat menyurat, penerbitan atau kenyataan responden sama ada di Internet, media cetak dan elektronik sehingga ia dibenarkan di sisi undang-undang.
Selain itu, pemohon turut memohon perintah memaksa responden mengeluarkan nama Sisters In Islam daripada papan tanda laman web responden, bahan cetak dan penerbitan responden dan menghalang responden daripada mengedarkan bahan terbitan, cetakan dan siaran menggunakan nama itu sehingga responden dibenarkan secara sah di sisi undang-undang.
Pemohon juga memohon kos dan relif yang perlu. Menerusi afidavit sokongan, Mohd Taqiuddin mendakwa Sis Forum secara jelas melanggar Akta Syarikat 1965 iaitu menggunakan nama Sister In Islam sebagai nama organisasi dalam kegiatan seperti penulisan artikel di laman web.

Harian Metro