33 AYAT QURANI آیات قرآنی (AYAT 33)

Menurut kitab Senjata Mukmin karya tulisan Al-Allamah Syeikh Haji Husin Qadri, barang siapa beramal dengan membaca ayat-ayat 33 ini pada siang atau malam hari, adalah dia dalam aman sentosa, terpelihara daripada segala kebinasaan dan terpelihara hartanya daripada pencuri, perompak dan sebagainya pada siang atau malam harinya, dengan izin Allah SWT.

Ayat 33 ini juga dikenali sebagai ayat manzil menurut Syeikh Muhammad Talha. Ia disebut juga dalam perlbagai kitab seperti Al-Qaulul Jamil karya tulisan Al-Muhaddisin Syeikh Syah Waliullah r.a. dan Bihisti Ziwar karya Syeikh Ashraf Ali Thanawi.

Al-Muhaddisin Syeikh Syah Waliullah r.a. mengatakan bahawa 33 ayat-ayat ini akan menyelamatkan seseorang daripada mara bahaya sihir. Di samping itu, seorang pembaca ayat-ayat ini akan terlindung daripada bahaya syaitan, pencuri, binatang buas dan lain-lain.

Syeikh Ashraf Ali Thanawi di dalam kitabnya Bihisti Ziwar, mengajar cara perubatan menggunakan ayat ini. Menurutnya, jika dikhuatiri seseorang telah terkena sihir atau dirasuk syaitan, tulis ayat-ayat tersebut dan gantungkannya pada leher pesakit. Dan, jikalau terdapat gangguan syaitan atau sihir di dalam rumah, percikan air tersebut kepada keempat-empat penjuru rumah.

Al-Marhum Sahibus Samahah Al-Allamah As-Syeikh Haji Ahmad Bin As-Syeikh Haji Muhammad Said r.a., Mufti Besar Pertama Kerajaan Negeri Sembilan (bapa kepada mantan Mufti Besar Sahibus Samahah Al-Allamah As-Syeikh Haji Murtadza Bin As-Syeikh Haji Ahmad) dalam kitabnya Safinatus Salamah telah mengesyorkan beramal dengan ayat 33 ini bersama-sama dengan ayat 7, ayat 5 dan ayat 3 bagi pemeliharaan, kawalan dan kesentosaan buat diri, ahli keluarga dan harta benda serta perubatan daripada penyakit dan keselamatan daripada bala dan lain-lain lagi.

Adapun menurut kitab yang juga ditulis oleh Sheikh Ahmad di atas, Tuhfatul Auton Wal Ikhwan Fi Zikri Ba’dil Azkar Wal Aurad Wal Ad’iyyah Allati Tata’allaqu Bil Auqot Wal Azman, ayat 33 ini juga dikenali sebagai ayat Hirz dan ayat Hirs.

Menurut beliau, ayat 33 ini diriwayatkan oleh Abdullah Ibnu Umar R.A. yang menyatakan barang siapa membaca ia pada malam hari tiada mudarat kepadanya oleh binatang-binatang buas dan pencuri yang menganiayai, serta disihatkan dan dilindungkan dirinya, ahli keluarganya dan harta bendanya, sehingga ke pagi.

Dan direntangkan di antara orang yang membacanya dan seterunya dengan satu pagar daripada besi. Dan dikatakan pada ayat 33 ini ubat kepada 100 jenis penyakit (kita berdoa semoga Allah SWT menyembuhkan kita daripada semua penyakit itu) termasuklah penyakit kusta, gila, sopak dan mati anggota (lumpuh).

Yang dimaksudkan ayat 33 ini adalah 33 ayat-ayat terpilih daripada Al-Quran Al-Karim. Ayat-ayat ini dinyatakan dan digunakan sendiri oleh Nabi Muhammad SAW seperti yang dinyatakan di dalam hadith-hadith.

Ubai bin Kaab R.A. meriwayatkan “Sewaktu kami bersama Rasulullah S.A.W datang seorang Badwi kepada baginda dan berkata “Ya Rasulullah, saya ada saudara yang ditimpa penyakit. “Baginda bertanya: “Penyakit apa?” Jawabnya ” Sejenis penyakit gila”. Rasulullah meminta orang itu membawa saudaranya, lalu baginda membaca ayat2 di atas. Kemudian orang sakit itu pun bangun dan pergi dari situ, penyakitnya telah hilang. ( Kanzul Ummal Jilid 1 m.s. 212 )

Hadith sahih mengenai amalan ini terdapat dalam kitab Hayatus Sahabah (Jilid 3 mukasurat 374) karangan As-Syeikh Al-Kabir Maulana Yusuf r.a. dan dikeluarkan oleh Imam Ahmad, Al-Hakim dan At-Tirmizi.

Ada pun sahih pada periwayatan hadith tidak bermakna kandungan hadith-hadith semestinya sama sepenuhnya. Justeru, ada hadith-hadith sahih yang sedikit berbeza matannya tetapi mempunyai maksud dan tujuan yang sama. Maka mengamalkan ayat 33 ini haruslah mengikut ilmu yang diajarkan oleh guru-guru mursyid masing-masing walaupun sedikit berbeza antara satu guru mursyid dengan yang lain.

Menurut Syeikh Ahmad, ayat 33 adalah seperti berikut:

  1. Al-Fatihah (1-7)
  2. Al-Baqarah (1-5)
  3. Al-Baqarah (163-164)
  4. Al-Baqarah (255-257)
  5. Al-Baqarah (284-286)
  6. Al-A’raf (54-56)
  7. Al-Israk (110-111)
  8. As-Saffat (1-11)
  9. Ar-Rahman (33-35)
  10. Al-Hasyr (21-24)
  11. Al-Jinn (1-4)

Adapun menurut Syeikh Husain Qadri, ayat 33 adalah seperti berikut:
Dimulakan dengan Al-Fatihah.

  1. Al-Baqarah (1-5)
  2. Al-Baqarah (255-257)
  3. Al-Baqarah (284-286)
  4. Al-A’raf (54-56)
  5. Al-Israk (110-111)
  6. As-Saffat (1-11)
  7. Ar-Rahman (33-35)
  8. Al-Hasyr (21-24)
  9. Al-Jinn (3-4)

Beza di antara ayat 33 ini menurut Syeikh Ahmad dan Syeikh Husain Qadri hanyalah pada 03. Al-Baqarah (163-164) dan 11. Al-Jinn (1-4).

Bagaimanapun terdapat lebih banyak ayat di dalam ayat Manzil berbanding ayat 33 yang sebahagiannya telah dirujuk sebagai ayat 15 (Insya Allah saya akan membincangkannya dalan tazkirah yang lain). Bolehlah disimpulkan bahawa ayat Manzil merujuk kepada himpunan ayat yang berbeza daripada himpunan ayat 33.

Ayat 33 menurut Syeikh Husain Qadri secara tidak langsung telah dipersetujui oleh semua tanpa sebarang pertikaian dan lebih utama diamalkan tanpa keraguan. Bagaimanapun, tiada salahnya bahkan lebih baik membaca lebih seperti menurut Syeikh Ahmad atau ayat Manzil.

Semoga kita dapat beramal di setiap hari dan malam serta mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dengan ayat 33 ini.

Ceramah Pilihan: https://www.youtube.com/user/syeduum