Imej mungkin mengandungi: 1 orang, jambang

Oleh Imam ‘Abdullah Bin ‘Alawi Al-Haddad QaddasaLlahu Sirrahu

“Saya ingin menasihatimu: hendaklah kamu selalu berusaha dengan sungguh-sungguh menuntut ilmu yang berguna, dengan cara membaca, menelaah buku-buku ataupun berbincang untuk meraih penyelesaian.

Jangan sekali-kali meninggalkan usaha ini kerana malas atau bosan, ataupun kerana perasaan takut; kalau-kalau kamu nanti tidak mampu mengamalkan ilmumu.

Dan hendaklah kamu dalam hal ini selalu memperbaiki niatmu dan mengawasi diri. Jangan segera berpuas hati dengan merasa telah cukup berhasil, sehinggalah kamu benar-benar menguji dirimu sendiri.

Selanjutnya, usahalah sungguh-sungguh untuk mengamalkan ilmu yang telah kamu ketahui, serta mengajarkannya kepada siapa yang belum mengetahuinya, baik diminta ataupun tidak.

Apabila syaitan membisikkan kepada kamu:

‘Janganlah mengajar sebelum kamu benar-benar menjadi ‘alim yang luas ilmunya’;

maka katakanlah kepadanya:

‘Sekarang, apabila dipandang diriku dari apa yang telah kuketahui, adalah berilmu dan kerananya wajib untuk mengajarkannya kepada orang lain. Sedangkan apabila ditinjau dari apa yang belum kuketahui, maka aku ini seorang pelajar yang wajib belajar dan menuntut ilmu.’

Ini tentunya berkenaan dengan ilmu yang wajib dipelajari (fardhu ‘ain). Adapun selebihnya, tidak mengapa jika kamu pelajari juga.

Mengajarkan ilmu merupakan amal ibadah yang besar pahalanya, sepanjang diiringi dengan niat yang baik, yang dasarnya kerana Allah semata-mata, bukan kerana sesuatu lainnya-tanpa sedikit pun niat untuk meraih harta ataupun kedudukan.

Hendaklah kamu secara berterusan menelaah buku-buku para ‘ulama` terdahulu, terutamanya para tokoh sufi, dan memperhatikan apa yang ada di dalamnya. Kerana di situ terhimpun banyak petunjuk khusus tentang bagaimana mengenal Allah, serta berbagai-bagai bimbingan tentang cara-cara perbaikan niat, keikhlasan dalam beramal, pendidikan nafs dan lain sebagainya. Semuanya itu adalah ilmu-ilmu yang sangat bermanfaat, yang tentunya akan menuntun ke arah keuntungan dan keselamatan.

Dan, tiadalah yang enggan memperhatikan dan membaca buku-buku seperti itu kecuali orang-orang yang sudah buta mata hatinya atau gelap jiwanya.

Walaupun demikian, sekiranya waktumu sangat terbatas sehingga tidak cukup untuk mengkaji buku-buku itu secara keseluruhan, maka khususkanlah pengkajianmu pada buku-buku karangan Al-Imam Al-Ghazali. Kerana itulah yang paling banyak manfaatnya, paling lengkap isinya dan paling menarik susunan kata-katanya.”