Posted by: Habib Ahmad | 22 September 2013

Amalan Harian Ahli Sufi

TASAWWUF, UMUM | NIKROSKIMAN |
Q. Kenapa amalan harian begitu dititikberatkan dalam jalan kerohanian?

A. Harus kita ingatkan bahawa jalan kerohanian bukan jalan teori tetapi jalan amali dan praktikal. Kita tidak mahu banyak berteori kerana teori hanyalah peringkat ilmu sahaja yang tidak mencecah ke hati sanubari dan tidak mampu meninggalkan bekas dan kesan pada nafsu. Tasawuf adalah ilmu amali yang membersihkan hati dan mengawal nafsu. Manusia hari ini ramai yang ada ilmu tetapi tidak ramai yang beramal dengan ilmunya. Hatta di kalangan para asatizah sendiri termasuk al-faqir. Umat Islam hari ini perlu beramal dengan ilmu yang dimiliknya barulah ada kesan. Mengamalkan ilmu yang dimiliki akan memberi bekas terhadap hatinya sehingga mampu menerima ilmu langsung dari Allah SWT atau yang sering disebutkan ‘ilmu ladunni’.

Sebab itu dikatakan “Sesiapa yang beramal dengan ilmu yang dia ketahui, nescaya Allah akan mewariskan padanya ilmu yang dia tidak ketahui”. Oleh itu, bagi mereka yang menjalani mana-mana jalan tarekat muktabar, mereka akan diminta supaya melazimkan dengan amalan-amalan harian tertentu sehinggakan seolah-olahnya menjadi wajib atas diri mereka oleh para sheikh yang murshid. Ianya umpama seorang guru sekolah yang mewajibkan anak muridnya membuat kerja-kerja sekolah di rumah atau ringkasnya dipanggil “kerja rumah” sebagai suatu usaha latihan untuk beliau lebih mahir dan cekap dengan ilmu yang telah dipelajarinya di sekolah.

Walaupun mungkin dari segi bilangan yang ditetapkan itu tiada sandarannya dari mana-mana sumber, namun dari segi amalan itu sendiri ianya merupakan nas umum dan terdapat galakan menganjurkannya. Secara umumnya, kita pernah nyatakan sebelum ini bahawa para murid dikehendaki mengerjakan semua yang wajib, meninggalkan semua yang haram, ditambah lagi berusaha sedaya upaya mengerjakan sebanyak mungkin semua amalan yang sunat dan meninggalkan sebanyak mungkin amalan yang makruh. Ini termasuklah mendirikan Solat Fardhu dan bagi lelaki digalakkan berjemaah di masjid.

Mengqada’kan semua Solat Fardhu yang ditinggalkan dan mendirikan Solat-Solat Sunat yang dianjurkan. Solat Tahajjud merupakan amalan yang tidak sepatutnya ditinggalkan oleh mereka yang ingin mendekatkan diri dengan Allah SWT di mana anjurannya terlalu banyak antaranya mafhum hadith yang menyebut pada penghujung sepertiga malam, Allah SWT akan berkata: “Adakah sesiapa yang memanggil Aku, agar Aku menjawab panggilannya, adakah sesiapa yang meminta sesuatu dariKu, agar Aku penuhi permintaannya, adakah sesiapa yang memohon keampunan dariKu agar Aku mengampuninya” [Bukhari, 2.66:1145]. Bangkit di malam hari bermunajat kepada Allah SWT dan mengatakan kepadaNya bahawa kita cintakanNya, berterima kasih atas segala nikmatNya, dan memohon keampunan darinya. Apabila kita khuatir tidak mampu bangkit untuk Solat Tahajud di sepertiga malam atau ketika dalam musafir dan dikhuatiri kepenatan, maka solatlah sebelum tidur. Jangan sekali-kali meninggalkan Solat Tahajud bagi mereka yang ingin mendekatkan diri dengan Allah SWT kerana Solat Tahajut adalah kunci besar dan rahsia untuk taqarrub kepada Allah. Begitu juga Solat Dhuha, Solat Witir, Solat Hajat, Solat Istikharah dan lain-lain hendaklah dilazimkan dan bukannya dikerjakan sekali sekali sepertimana orang awam.

Q.? Apakah amalan harian turut melibatkan membaca al-Qur’an

A. Ya, sudah tentu. Hubungan akrab dengan Allah tidak mungkin terjalin tanpa kita meluangkan masa membaca “pesanan-pesanan” dan perintah yang diarahkan oleh Allah SWT. Membacanya bukan seperti orang awam membaca, tetapi dengan hati yang merendah diri dan takutkan Allah (tadarru’) dan khusyuk. Sesekali setelah berlalu satu atau dua muka surat, maka berhenti sejenak memohon keampunan dariNya, memohon ganjaran syurga dariNya dan dijauhi neraka. Bagi murid yang menjalani jalan tarekat, kebiasaannya sheikh akan mengarahnya membaca al-Qur’an bermula dari awal hingga akhir, dan bukannya “ditebuk-tebuk” hanya surah-surah tertentu sahaja. Ada riwayat yang menyebut baginda Rasulullah SAW menganjurkan agar al-Qur’an dikhatamkan sebulan sekali, bermakna satu juzuk sehari. Amalan ini mungkin agak mudah bagi mereka yang lancer membaca al-Qur’an khususnya di kalangan orang Arab atau mereka yang lancar bahasa Arabnya. Bagi mereka yang bukan berbangsa Arab, Imam al-Nawawi menyebut dalam kitabnya al-Adhkar bahawa para Salaf mengkhatam al-Qur’an sekurangnya sekali dalam masa dua bulan – bermakna separuh juzuk sehari. Ada yang mencadangkan tidak kurang dari suku juzuk sehari. Namun apapun, yang penting adalah al-Qur’an hendaklah dibaca walaupun sedikit setiap hari. Sebanyak mana seseorang itu mampu membacanya, maka ianya bergantung kepada tawfiq yang dianugerahkan kepadanya oleh Allah SWT. Lanjutan dari itu juga, mereka yang menjalani jalan tarekat hendaklah mendalami ilmu tajwid agar mampu membacanya baik sepertimana ianya diturunkan. Selain dari itu, seseorang itu perlu turut memiliki naskhah tafsir atau terjemahan ringkas yang menerangkan tentang makna bacaan al-Qur’an tersebut sebagai contoh Tafsir al-Jalalayn oleh Imam al-Suyuti.

Q.Apakah lagi amalan harian lain bagi para pengembara jalan kerohanian?

A. Bagi mereka yang mengikut tarekat, maka selain menjaga solat fardhu dan turut mendirikan solat-solat sunat sebaik mungkin, membaca al-Qur’an yang kebiasaannya dituntut oleh semua tarekat, amalan lain pula bergantung kepada tarekat masing-masing. Di sana ada perbezaannya namun matlamatnya sama untuk menyucikan hati. Antara amalan-amalan yang biasa diamalkan khususnya bagi pengikut tarekat Shadhaliyyah , misalnya adalah seperti berikut:

· Selawat kepada Nabi SAW

· Istighfar

· La ilaha illallah

· Sheikh al-Hashimi dalam kitabnya Miftah al-Jannah misalnya menyarankan sepuluh zikir yang sepatutnya dibaca oleh setiap orang Islam sekurang-kurangnya sekali seumur hidup seperti‘Audhu billah mina sh-Shaytani rajim, Bismillah, Alhamdulillah, La ilaha illa Allah, Subhana -llah, La hawla quwwata illa bi Llah, Allahu Akbar, Astaghfirullah dan Selawat ke atas Junjungan Besar Nabi SAW.

· Begitu juga melazimkan zikir-zikir harian yang mathurat yang dituntut misalnya apabila mahu keluar dari rumah, keluar/masuk tandar, memakai baju dan seumpamanya.

Q. Benarkah ada tuduhan yang mengatakan para sufi dan ahli tarekat juga sering beramal dengan hizib-hizib, doa-doa seperti Hizbul Bahr, Hizbul Nasr dan seumpamanya yang tidak warid dari baginda SAW, dan adakah ini dibenarkan?

A. Ya, benar. Para pengikut tarekat, selain beramal dengan doa-doa, wirid-wirid yang mathur dan jelas bersumberkan hadith dari Baginda SAW juga turut beramal dengan doa-doa, wirid-wirid atau hizib yang disusun oleh para ulama dan para imam atau sheikh tarekat mereka. Wirid-wirid atau hizib ini bukanlah suatu yang menyalahi syariat kerana kata-katanya terkandung dalam al-Qur’an atau al-Hadith cuma susunannya sahaja yang disusun oleh para ulama ini. Dalil yang membenarkan perkara ini adalah sepertimana hadith Buraydah r.a. yang menyebut:

“Ketika aku memasuki masjid bersama Baginda SAW, ada seorang lelaki sedang berdoa “Wahai Allah, aku bermohon kepadaMu dengan pengakuanku bahawa Engkaulah Allah, tiada tuhan melainkan Engkau, Yang Esa, Yang Perkasa, yang tidak beranak dan tidak diperanakkan dan tidak menyerupai sesuatu pun” lalu Baginda SAW bersabda “Demi nyawaku dalam genggamanNya, lelaki itu telah memohon dengan nama Allah Yang Maha Agung, yang sekiranya beliau meminta dengannya pasti akan diberi dan jika beliau berdoa dengannya pasti dikabulkan” [Ibn Hibban, 3:174:892.S]

Peristiwa ini menunjukkan bahawa para Sahabah r.anhum menyusun sendiri doa-doa atau wirid mereka selain dari doa atau wirid yang diajarkan oleh Baginda SAW dan Baginda SAW sama sekali tidak menegahnya bahkan menggalakkannya selama mana ianya tidak bercanggah dengan syariat. Berdasarkan dalil ini, para ulama berpendapat bahawa dibolehkan untuk menyusun sendiri doa-doa atau wirid-wirid dan perkara ini terbukti telah dilakukan oleh imam-imam besar termasuk Imam Nawawi, Imam al-Haddad dan lain-lain. Walllahu ‘alam.

Wa ma tawfiqi illa billah. Wallahu’alam.

[Rencana ini disiarkan dalam majalah Q&A siri 19 terbitan Galeri Ilmu Sdn.Bhd]

http://roskiman.com/blog/2013/05/19/amalan-harian-pengembara-rohani/


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: