Posted by: Habib Ahmad | 10 September 2013

Kehormatan Kota Makkah

Musim haji tiba lagi. Jutaan umat akan berhimpun di Kota Makkah untuk menunaikan rukun Islam yang kelima. Hadiah istimewa Allah SWT sediakan buat para tetamuNya, di mana segala amal ibadah yang dilaksanakan dalam kawasan Tanah Haram Makkah diberi ganjaran yang berlipat kali ganda. Imam al-Hakim, Imam al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah telah meriwayatkan bahawa Sayyidina Ibnu `Abbas RA berkata:- “Aku mendengar Junjungan Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menunaikan haji dari Makkah sambil berjalan kaki (yakni menuju ke Mina, Muzdalifah dan `Arafah) sehingga dia kembali ke Makkah, maka Allah SWT menulis baginya untuk setiap langkahnya 700 kebajikan dan setiap kebajikan itu adalah seumpama kebajikan-kebajikan (yang dilakukan) dalam Tanah Haram. Lalu baginda ditanyai oleh sahabat: ” Apakah kebajikan Tanah Haram itu (yakni apakah keistimewaannya kebajikan Tanah Haram) ?” Baginda menjawabnya dengan bersabda: ” Bagi setiap kebajikan itu diganda dengan 100,000 kebajikan.” Itulah antara kemuliaan yang diberikan Allah kepada Kota Makkah al-Mukarramah. Maka sewajarnya kesucian dan kemuliaan Kota Makkah ini hendaklah sentiasa kita pelihara dengan menjauhkannya daripada segala perlakuan yang menyimpang daripada ajaran agama Islam. Melakukan perbuatan – perbuatan tersebut, bererti kita mencarik kesucian Tanah Haram yang mulia ini. Ingatlah bahawa dosa maksiat yang dilakukan dalam kawasan Tanah Haram juga akan diberi balasan yang berlipat kali ganda. Oleh itu, janganlah dicemari kota suci ini dengan perbuatan – perbuatan maksiat yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Saking suci dan mulianya Tanah Haram Makkah sehingga dinyatakan bahawa seseorang yang hanya sekadar berazam atau berniat atau bercita-cita untuk melakukan maksiat atau kemungkaran dalam Kota Suci ini pun dicatat sebagai melakukan satu dosa yang akan diazab oleh Allah SWT dengan azab yang pedih. Ini amat berbeza dengan tempat-tempat lain atas muka bumi ini. Di lain – lain tempat, sekadar berniat atau bercita-cita untuk melakukan maksiat belumlah dikira sebagai melakukan maksiat tersebut, hanya ketika ianya dilakukan maka barulah dicatat dosanya. Menjaga kesucian Kota Makkah daripada dicemari niat jahat atau cita-cita bermaksiat dalamnya juga tidak berhenti kepada orang yang berada kota tersebut sahaja. Bahkan seseorang yang berada di tempat lain dan dia berazam atau berniat atau bercita-cita untuk melakukan dosa jika berada di Kota Makkah al-Mukarramah, pun akan dicatat baginya dosa yang diniatkannya itu. Inilah sebahagian keistimewaan Kota Makkah sebagaimana dinyatakan oleh para ulama dan mufassir antaranya oleh Imam Abu Muhammad `Abdul Rahman bin Abi Hatim Muhammad bin Idris al-Razi al-Hanzali asy-Syafie (240H – 327H) yang terkenal dengan gelaran Imam Ibnu Abu Hatim rahimahullah dalam tafsirnya bagi ayat yang ke-25 surah al-Hajj, yang berbunyi:-

” Dan sesiapa yang berazam melakukan di situ (yakni Kota Makkah) sebarang perbuatan yang dilarang dengan cara yang zalim (yakni dengan sengaja dan kesungguhan), Kami akan merasakannya azab yang tidak terperi sakitnya.”
Allahu … Allah, hanya dengan berazam sahaja sudah diazab dengan azab yang pedih, maka apatah lagi jika azam bermaksiat itu dilaksanakan, entah berapa besar dosanya. Imam Ahmad RA dalam musnadnya meriwayatkan dengan sanad hasan (baik) bahawa Sayyidina Ibnu Mas`ud RA ketika membicarakan ayat di atas menyatakan bahawa jika seseorang bercita-cita untuk melakukan dosa di Kota Makkah sedangkan ketika itu dia berada di Aden Abyan (tempat di Yaman pada hujung Jazirah Arab untuk menunjukkan jauhnya) nescaya Allah `azza wa jalla akan membalasnya dengan azab yang pedih. Allahu …. Allah, hanya dengan cita-cita atau kehendak atau azam sahaja seseorang akan diberikan azab yang pedih, begitulah ghirah atau “cemburu” Allah terhadap sesiapa yang hendak merobek kesucian, kemuliaan dan kehormatan Kota Makkah al-Mukarramah.

Oleh itu, jagalah kemuliaan dan kesucian Kota Makkah tempat kelahiran Junjungan Nabi SAW dan tempat berdirinya Baitullah yang menjadi qiblat kita. Janganlah dicemari Kota Makkah dengan perlakuan dosa dan maksiat bahkan jangan ada terlintas dalam hati sanubari kita untuk bermaksiat padanya. Mudah-mudahan Allah menerima segala amal para hujjaj dan zuwwar sekaliannya dan memberikan kita rezeki untuk hadir bersama ketika yang dikehendakiNya.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: