Wasiat dan Nasihat Kepada Ahlil Bait
Adaptasi daripada kata-kata Asy Syarif Hussin bin Amirul Mukminin Al Mansur Billah Al Qasim bin Muhammad Al Hasani r.a di dalam risalahnya Adab Al Ulama’ Wal Mut’alamin.

Hendaklah kalian melipat gandakan keazaman dan usaha di dalam menimba ilmu-ilmu syariat khususnya Al-Quran dan Hadith Nabi s.a.w. yang mulia. Ini kerana Ahlil Bait merupakan orang yang mempunyai prioriti dan lebih berhak menimba ilmu kerana para salaf (orang terdahulu) di kalangan kalian sentiasa karam di dalam lautan menimba ilmu. Sesungguhnya ilmu syariat tidak muncul dan terserlah melainkan berakar daripada ahli keluarga kalian yang mulia. Bagaimana pula kalian tidak mengambil berat dengannya pada hari ini.

Hendaklah kalian mensucikan hati dari segala kekotoran, dengki kesumat, akhlak yang keji dan akidah yang rosak kerana ia merupakan penyakit-penyakit yang mengotorkan hati. Apabila baik hati seseorang kerana ilmu maka akan lahir suatu keberkatan. Jangan sesekali kalian menjadikan ilmu sebagai jambatan untuk mendapat keuntungan duniawi seperti mengejar pangkat, kedudukan dan harta dunia. Perbuatan kalian hanya akan menghapuskan kebaikan amalan yang kalian lakukan, melenyapkan cahaya ilmu dan mensia-siakan pengabdian kalian dan akhirnya kalian menjadi seorang yang tidak dimanfaatkan Allah dengan ilmunya.

Jauhilah diri segala perkara yang keji di sisi syara’ kerana perkara yang buruk yang dilakukan oleh ahlil bait adalah lebih keji dari perkara buruk yang dilakukan oleh orang lain. Oleh kerana itulah, Al Abbas r.a berkata kepada anaknya Abdullah sepertimana yang dinyatakan di dalam kitab Tarikh Damsyik:
“Wahai anakku! Sesungguhnya tidak ada perbuatan menipu yang lebih buruk daripada penipuan yang dilakukan oleh aku, kamu dan ahlil baitku.
Al Hasan telah mengungkapkan: Sesungguhnya aku takut digandakan balasan azab bagi orang yang melakukan maksiat di kalangan kami. Demi Allah! Sesungguhnya aku mengharapkan agar Allah memberikan balasan sebanyak dua kali kepada orang yang melakukan kebaikan di kalangan kami”.
Leburkan perasaan meninggi diri dan berbangga dengan keturunan nenek moyang kalian sehinggakan kalian meninggalkan usaha untuk melakukan sesuatu kelebihan agama.

Unjurkan langkah dan juruskan mata hati kalian untuk menjejaki jejak-jejak orang-orang yang terdahulu di kalangan kalian dalam merenangi lautan tawadhu’ mereka, kelembutan dan kesabaran mereka menghadapi segala ujian dan keperitan dengan mengingati firman Allah Ta’ala di dalam surah Al Luqman ayat 17:
“Dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya”.
Sesungguhnya Nabi kami s.a.w. dan Nabi-nabi a.s. yang lain sentiasa bersabar di atas segala keperitan dan apa sahaja bebanan yang mereka pikul di dalam menegakkan agama Allah, sehingga mereka mendapat balasannya pada hari pembalasan. Sepatutnya ahlil bait nabawi mengikut dan menyusuri jejak langkah, petunjuk dan cahaya mereka. Begitu juga mengikut kata-kata, perbuatan, kezuhudan, kewarakan dan cara-cara mereka di dalam mengenal Tuhan mereka.

Oleh: Khuwaidim Aalil Bait Rasulillah s.a.w
Muhammad Fuad bin Kamaludin Ar Rembawi

Dipetik dari: Al Muhajir (Rejab 1421 H)