Mereka yang Jahil Menipu Anda Lalu Berkata: Allah Wujud Dengan Bertempat Mar 20, ’07 4:25 AM
for everyone

Dewasa ini, ramai dari kalangan mereka yang cetek dalam ilmu Islam dan Ilmu Bahasa Arab, cuba berbicara tentang agama Islam. Mereka menyatakan tentang Islam, tanpa ilmu yang kukuh dan tanpa dasar yang mantap. Ini menyebabkan mereka bukan sahaja sesat tetapi menyesatkan.


Bermula dari membicarakan tentang perkara-perkara furu’ (cabang), akhirnya terbawa-bawa kepada membicarakan tentang perkara-perkara usul tanpa ilmu yang lengkap. Golongan yang kurang matang dalam seluk-beluk ilmu Islam ini mula menyebarkan fahaman yang terkeluar daripada aqidah ahlus sunnah wal-jamaah, bahkan memperjuangkan fahaman tersebut di atas platform ahlus sunnah wal jamaah.


Mereka ini tanpa segan-silu mengeluarkan golongan Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyah daripada kelompok ahlus-sunnah wal-jamaah walaupun pada hakikatnya, kedua golongan tersebutlah yang mewakili golongan ahlus sunnah wal-jamaah sejak zaman salafus soleh lagi (kurun ke-3 hijrah) sehinggalah hari ini.


Namun, dek kejahilan tentang sejarah Islam yang sebenar, dan ketandusan ilmu asas yang mencengkam, ramai dari kalangan mereka yang menisbahkan diri mereka sebagai pengikut Sheikh Ibn Taimiyah dan Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab terus menyerang golongan Al-Asya’irah tanpa asas ilmu dan semata-mata tuduhan berteraskan kejahilan. Mereka yang menisbahkan diri mereka kepada ulama kurun ke-8 hijrah ini mula beruasaha untuk mengelirukan masyarakat awam Islam dengan pengakuan, bahawa merekalah yang mewakili kefahaman golongan salafus soleh walaupun pada hakikatnya, kefahaman mereka 180 darjah sudut tersasar daripada kefahaman sebenar salafus soleh terhadap Islam dan intipati ajarannya.


Bermula dengan kontroversi yang disemarakkan oleh Sheikh Ibn Taimiyah, khususnya dalam masalah aqidah, seperti isu isbat ayat mutasyabihat yang diakuinya sebagai manhaj salaf, walaupun pada hakikatnya, manhaj salaf bukan isbat, tetapi tafwidh (dan ada juga ta’wil) dalam memahami ayat-ayat mutasyabihat, kemudian timbul pula pemikiran beliau yang kontroversi mengenai alam ini qadim dari sudut nau’ (jenisnya), sehinggalah akhirnya menyebabkan para pendakwa salafi mengikut jejak pemikiran beliau bahkan, mereka bertindak lebih daripada itu dengan membawa semula fahaman Tajsim (menjisimkan Allah) dan Tasybih (menyerupakan Allah dengan makhluk), gara-gara tidak memahami maksud sebenar daripada perkataan Sheikh Ibn Taimiyah.


Pola pemikiran Ibn Taimyah mengenai ayat-ayat mutasyabihat sememangnya menimbulkan spekulasi dan kontroversi, tetapi ramai daripada ulama’ tidak sanggup untuk mengaitkan Ibn Taimiyah dengan aqidah Tasybih dan Tajsim. Namun, kebanyakkan daripada para penyokong beliau setelah itu mula mengembangkan gagasan pemikiran Ibn Taimiyah sehingga jelas membawa kepada aqidah tasybih dan tajsim, gara-gara tidak memahami kehendak sebenar maksud kebanyakakn daripada ucapan-ucapan Ibn Taimiyah.


Aqidah Tasybih dan Tajsim merupakan satu aqidah yang terkeluar daripada ahlus sunnah wal jamaah. Pun begitu, ramai daripada golongan Salafi Moden atau Wahhabi terpengaruh dengan sub-sub aqidah Tasybih dan Tajsim bahkan, tidak malu pula dalam menisbahkannya kepada aqidah ahlus sunnah wal jamaah yang mana, pada hakikatnya mereka (ahlus sunnah wal jamaah) menolak keras konsep Tasybih dan Tajsim tersebut.


Dalam masa yang sama, sebahagian daripada mereka (golongan Salafi Moden dan Wahhabi) turut mengeluarkan para ulama’ Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyah daripada entiti golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah walaupun pada hakikatnya kedua-dua golongan tersebutlah yang mewakili ahlus sunnah wal jamaah terutamanya sebelum kelahiran Sheikhus Salafiyah moden, Ibn Taimiyah dan terus mewakili jumhur umat Islam sehingga ke hari ini.


Namun, perbahasan mengenai sikap “masuk rumah orang, halau tuan rumah” ini, bukanlah skop perbahasan utama di sini kerana yang benar tetap benar walaupun dinamakan sebagai salah.


Skop perbahasan di sini lebih penting dari sekadar membahaskan tentang nama, walaupun ramai daripada golongan salafi moden atau wahhabi suka berdebat mengenainya. Perbahasan di sini lebih menumpukan kepada satu perkara usul iaitu masalah aqidah.


Aqidah Tasybih dan Tajsim


Aqidah atau konsep kefahaman berbentuk Tasybih dalam aqidah ialah, menyamakan sifat-sifat Allah s.w.t. dengan sifat-sifat makhluk yang baru dan serba kekurangan. Tajsim pul merupakan satu bahagian daripada cabang-cabang kefahaman Tasybih. (rujuk buku Asas Taqdis, Imam Ar-Razi, Al-Iqtisod fi Al-I’tiqod karangan Imam Al-Ghazali r.a., Naqd Qowaid At-Tasybih karangan Sheikh Dr. Umar Abdullah Kamil dan sebagainya).

Berkenaan dengan bagaimana berkembangkan konsep tasybih ini dalam umat Islam sejak zaman salaf lagi, bukanlah menjadi perbahasan di sini, kerana sudah banyak buku membincangkan mengenainya (rujuk buku-buku di atas).


Skop perbincangan di sini lebih menjurus kepada perkembangan fenomena konsep tasybih dalam aqidah ini, di zaman moden khususnya di Malaysia pada masa kini.


Kalau di Arab Saudi, dan di belahan dunia arab yang lain, sudah jelas, ramai daripada golongan Salafi Wahhabi cuba mendaulatkan konsep tasybih dalam aqidah dengan pembohongan besar seraya mengatakan bahawa, inilah kefahaman Islam yang sebenar, walhal tidak sedemikian, menurut jumhur ummah sejak zaman berzaman (ahlus sunnah wal jamaah yang sebenar).


Para ulama’ Islam yang muktabar dari belahan dunia arab sudahpun menjawab beberapa pertuduhan-petuduhan golongan tersebut dengan hujah ilmiah yang kukuh, dengan harapan agar mereka yang terlibat dengan konep tasybih kembali ke pangkal jalan. Namun, hidayah milik mutlak Allah s.w.t. dan semoga Allah s.w.t. memberi hidayah kepada mereka, amin…


Konsep Tasybih Mula Menyelinap ke Dalam Pemikiran Orang Melayu Islam


Tajuk ini merupakan satu tajuk yang menyedihkan kita semua yang mencintai umat Islam, khususnya di negara kita yang tercinta.


Penulis sering mengkaji dan meneliti perkembangan golongan yang mendakwa diri mereka sebagai salafi di Malaysia, untuk melihat sejauh mana perkembangan pola pemikiran mereka dan sejauh mana perjuangan mereka. Adakah mereka sama seperti kebanyakkan golongan Salafi Wahhabi di belahan dunia arab, ataupun mereka sekadar menjadi mangsa keadaan dan tradisi ilmu baru, iaitu baca buku ilmu agama tanpa berguru yang bersandarkan dengan sistem talaqqi.


Penulis tidak nafikan, pernah terjerumus kepada tradisi ilmu baru tersebut, dek kekeliruan dengan perkembangan ilmu moden, sehingga tidak dapat membezakan manhaj menggali ilmu duniawi dengan ilmu agama, yang jelas berbeza dari sudut metodologi penggalian ilmu dan kefahamannya. Sememangnya jelas, ilmu agama ini hanya dapat difahami dengan dengan kefahaman yang sebenar melalui proses talaqqi dari guru-guru yang juga bertalaqqi di bawah sistem talaqqi bersanad yang merupakan sunnah ta’lim nabawi yang kian diabaikan termasuklah dari kalangan mereka yang mengaku salafi.


Hasil dari keterjerumusan itulah, lahirnya pola pemikiran yang tidak seimbang dan tidak selari sehingga membawa kepada wabak “cepat membid’ahkan dalam perkara khilafiyah” seperti yang dijangkiti oleh sebahagian golongan salafi termasuklah di Malaysia.


Penulis memahami semangat yang ada dalam diri mereka yang mendakwa sebagai salafi,dan turut memahami cara mereka berfikir kerana pernah termasuk dari kalangan mereka. Namun, Segala Puji bagi Allah s.w.t., yang telah mengeluarkan penulis daripada kesempitan dan kejumudan pola pemikiran yang sempit itu (merujuk khusus kepada wabak “cepat membid’ahkan dalam perkara khilafiyah”).


Namun, pada pengamatan penulis yang serba kekurangan ini, didapati bahawa, sebahagian kelompok salafi (walaupun tidak mengaku Wahhabi) di Malaysia, hanya terlibat dengan sindrom “cepat mempersalahkan dan membid’ahkan golongan yang bercanggah dengan pendapat mereka dalam perkara-perkara khilafiyah” (semoga Allah s.w.t. memberi hidayah kepada mereka). Namun, dewasa ini, penulis bersikap cuba menjauhi perbincangan-perbincangan khilafiyah ini kerana kurang manfaatnya dan ianya telahpun dibahaskan oleh ramai ulama’ sesama.


Namun, penulis agak terkilan, bila melihat, ada perkembangan terbaru dalam pola pemikiran sesetengah salafi yang mewakili pemikiran salafisme di Malaysia. Mereka sudah terjerumus kepada virus yang lebih besar daripada gejala tabdi’ iaitulah tasybih dalam masalah aqidah.


Pada mulanya, penulis melihat bibit-bibit Salafisme dalam persoalan aqidah, bermula dengan mengetengahkan manhaj Salafiah Taimiyah (manhaj salafi menurut Ibn Taimiyah) sebagai dasar untuk memahami ayat-ayat mutasyabihat.


Wallahu a’lam, samada mereka tidak mampu membezakan antara manhaj salafus soleh (tafwidh) dengan manhaj isbat Ibn Taimiyah dalam bermu’amalah dengan ayat-ayat mutasyabihat, atau sengaja menyamakan antara keduanya yang pada hakikatnya tidak sama.


Pun begitu, ianya merupakan isu yang tidak terlalu besar, walaupun kekeliruan itu boleh mengundang kepada kekeliruan yang lebih besar. Namun, setelah membaca dua buku ulama’ yang muktabar, mengenai perbahasan tersebut, penulis cuba bersikap tidak terlalu menyalahkan salafi moden walaupun pada hakikatnya salah memahami konteks sebenar manhaj tafwidh salafus soleh, yang mana sikap ini ditunjukkan oleh Sheikh Dr. Al-Qaradhawi dalam bukunya Fusulun fi Al-Aqidah.


Pun begitu, sikap guru kami Sheikh Dr. Umar Abdullah Kamil dalam buku beliau “Naqd qowa’id At-Tasybih” dalam menolak manhaj Isbat Ibn Taimiyah lebih bersifat ilmiah dan lebih kukuh hujahnya. Namun, sikap Dr. Al-Qaradhawi (rakan seperjuangan Dr. Umar Abdullah Kamil), lebih praktikal untuk mendamaikan dua pihak.


Lebih-lebih lagi, pada sangkaan penulis, golongan salafi di Malaysia tidaklah sampai tahap terlibat dengan tasybih dalam masalah aqidah, kerana perbahasan mengenai manhaj isbat ini sukar difahami oleh masyarakat Melayu yang awam. Penulis menyangka, tidak akan ada orang Melayu yang akan membuka pintu “kekeliruan manhaj Isbat” dalam masyarakat di Malaysia, kerana ianya merupakan perbahasan yang amat teliti dan bukanlah di khalayak awam, tempat perbahasannya.


Jangkaan Yang Meleset


Penulis telah diberi satu artikel untuk dikaji, dari para ahbab. Penulisan itu dinisbahkan kepada Abu Syu’aib. Tajuknya pun sudah memeranjatkan iaitu: “Allah wujud tidak bertempat: Aqidah Mu’tazilah” (sumber rujukan: http://www.al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=15493&mode=thread&order=0&thold=0 ) . Nampaknya, dari tajuk lagi, seseorang ahli ilmu boleh menangkap maksud artikel yang ditulis oleh beliau. Nampaknya, beliau cuba memperkatakan, pegangan aqidah bahawa Allah s.w.t. tidak bertempat yang manjadi aqidah ahlus sunnah wal jamaah (Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyah) sejak zaman-berzaman (khusunya sebelum kelahiran Ibn Taimiyah) merupakan Aqidah Mu’tazilah.


Bila penulis cuba membaca perbincangan yang dibawa dalam artikel tersebut, jelaslah beliau cuba menafikan pegangan Aqidah “Allah s.w.t. wujud tidak bertempat” daripada pegangan Imam Al-Asy’ari, seterusnya menyimpulkan bahawa, ianya daripada fahaman mu’tazilah dalam bentuk soalan. Nampaknya, dalam kesimpulan, beliau agak bijak bermain kata-kata kerana menyimpulkannya dalam bentuk soalan. Jadi, kalau ada yang mempersalahkan beliau, mudah sahaja beliau berkata: “saya sekadar bertanya, adakah ianya aqidah Al-Asy’ari atau Muktazilah?”. Namun, daripada tajuk, kita sudah mengetahui kesimpulan yang dibuat oleh beliau, iaitu, mengaitkan kefahaman “Allah tidak bertempat” dengan kefahaman muktazilah.


Nampaknya, ternyata jangkaan penulis meleset kerana, bibit-bibit tasybih mula disemai di dalam umat Islam Malaysia pula, yang mana, lebih parah lagi, ianya disemai atas nama ahlus sunnah wal jamaah yang mana ahlus sunnah wal jamaah tidak pernah terlibat mengenai kefahaman tersebut.


Sebelum dibincangkan artikel beliau secara ilmiah, wajarlah kita bincangkan mengenai kaedah-kaedah yang berlegar dalam perbahasan ini.


Pertama, ulama’ Ahlus Sunnah wal Jamaah (kecuali sebahagian besar daripada Wahhabi, yang barangkali merupakan ahlus sunnah wal jamaah versi kedua atau versi klon) menafikan Allah s.w.t. bertempat kerana sifat bertempat merupakan sifat baharu (hadith) yang mana Allah s.w.t. tidak bersifat dengan sifat yang baharu.


Sifat baharu merupakan sifat makhluk. Jadi, sesiapa yang menetapkan Allah s.w.t. bertempat, secara tidak langsung menetapkan sifat baharu yang merupakan sifat makhluk. Ini juga merupakan salah satu bentuk tasybih (menyamakan sifat Allah s.w.t. dengan makhluk).


Kedua: Apabila seseorang mengatakan bahawa, Allah s.w.t. itu bertempat, siapakah yang menciptakan tempat itu. Kalau Allah s.w.t.-lah yang menciptakan tempat, maka Allah s.w.t. yang bersifat qadim (tidak ada permulaan kewujudanNya) sudah tentu wujud tidak bertempat sebelum “tempat” diciptakan. Setelah Allah s.w.t. menciptakan tempat (seperti arasy dan sebagainya), mustahil Allah s.w.t. mengambil tempat yang mana ianya merupakan satu kefahaman bahawa Alah s.w.t. bergabung (hulul) dengan makhluk. Hulul dan ittihad antara Allah s.w.t. sebagai khaliq dengan makhluk (tempat) adalah mustahil dan ditolak oleh konsep Islam dan akal. Konsep hulul ini juga turut ditolak oleh Ibn Taimiyah ketika menghentam sesetengah sufi yang dikatakan terlibat dengan konsep hulul dan ittihad (wihdatul wujud).


Jadi, amatlah malang bagi mereka yang mendakwa mengikut Ibn Taimiyah, dalam masa yang sama terlibat dengan hulul dan ittihad (wihdatul wujud). Biarpun golongan ini (sebahagian salafi wahhabi) menentang habis-habisan konsep wihdatul wujud dalam bidang tasawuf, namun dalam masa yang sama terlibat dengan fahaman hulul dan ittihad dalam bentuk yang lain, takkala mengatakan bahawa: “Allah wujud bertempat”.


Sungguh malang nasib mereka, kerana mengingkari “wihdatul wujud” versi pertama, namun turut berfahaman “wihdatul wujud” versi yang berlainan. Bak kata orang, “pi mai pi mai, tang tu”. Na’uzubillahi min zalik.


Ketiga: Fahamilah bahawa, mereka yang cuba menafikan konsep “Allah s.w.t. wujud tidak bertempat” secara tidak langsung cuba menegaskan bahawa Allah s.w.t. itu bertempat. Ini perlulah difahami supaya mereka yang terlibat tidak berdolak-dalih, seperti kebiasaannya.


Menolak Fahaman Tasybih yang Mengatakan “Allah s.w.t. Wujud Bertempat”.


Dalil Lafzi Naqli Yang Menegaskan bahawa Allah s.w.t Wujud Tidak Bertempat:


Pertama: Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Dialah (Allah) yang Maha Awal”


Dalam yang ayat ini jelas mengatakan bahawa, Allah s.w.t. wujud sebelum tempat diciptakan. Oleh yang demikian, Dia wujud tidak bertempat sebelum diciptakan tempat termasuklah sebelum diciptakan arasy. Oleh yang demikian, setelah Allah s.w.t. menciptakan tempat termasuklah arasy, mustahil Allah s.w.t. akan mengambil tempat yang merupakan makhluk, kerana ini membawa kepada fahaman ittihad (penggabungan antara Allah s.w.t. yang qadim dengan makhluk yang baharu) dan ittihad dan hulul merupakan satu kefahaman yang sesat, hatta menurut Ibn Taimiyah juga.


Kedua: Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah s.w.t.telahpun wujud, dan tiada yang wujud bersamaNya” (Sahih Al-Bukhari).


Hal ini turut menegaskan bahawa, Allah s.w.t. wujud qadim (tiada permulaan) tanpa sesuatupun berserta dengan kewujudanNya. Jadi, jelaslah dalam hadis ini bahawa, Allah s.w.t. wujud tidak bertempat.


Sesiapa yang ingin mendakwa bahawasanya, Allah s.w.t. wujud bertempat, secara tidak langsung akan terjebak dengan fahaman hulul dan ittihad yang dikeji oleh Islam.


Dalil Ma’nawi (Taqdiri) dari Naqli yang Menunjukkan Allah s.w.t. Wujud Tidak Bertempat:


Bentuk Istidlal (mengambil dalil) di sini ialah dengan menghimpunkan beberapa dalil dalam perbahasan yang dibahas.


Dalil Pertama (yang menjadi kegemaran sesetengah golongan Wahhabi):


Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Ar-Rahman, ‘ala (di atas) Arasy Dia beristiwa’ ” (Surah Toha:5).


Dalil Kedua: “Kami (Allah s.w.t.) lebih hampir kepadamu dari urat lehermu” (Surah Al-Waqi’ah)


Dalil Ketiga: “Kemana sahaja kamu menghadapkan wajahmu, maka kamu akan menghala/ mengadap kepada wajah Allah” (Al-Baqarah).


Seseorang yang terburu-buru ingin mendakwa bahawa Allah s.w.t. wujud dengan bertempat, perlulah terlebih dahulu menilai banyak lagi ayat-ayat yang berkaitan dengannya.


Kalaulah Allah s.w.t. wujud bertempat, sepertimana dakwaan orang-orang yang jahil dari kalangan mereka yang mengaku berilmu, jadi kesemua ayat di atas menceritakan secara lafzi, yang boleh membawa kepada tempat-tempat di mana Allah s.w.t. berada, menurut manhaj pemikiran mereka.


Oleh yang demikian, takkala orang-orang yang jahil tersebut beranggapan bahawa, Allah s.w.t. di atas arasy menurut ayat surah Toha tersebut, jadi bagaimanapula dengan ayat yang menyatakan bahawa Allah s.w.t. lebih dekat dengan urat tengkok manusia? Kalaulah Allah s.w.t. berada di arasy, sedangkan manusia berada di muka bumi ini, maka jelaslah ada pertentangan dari sudut kefahaman bahawa Allah s.w.t. itu bertempat di atas arasy menurut ayat surah Toha kerana dalam ayat Al-Waqi’ah, Allah s.w.t berada lebih hampir dengan manusia dari urat tengkok mereka, yang mana mereka berada di bumi.


Jadi, kalaulah ayat-ayat tersebut menetapkan kewujudan Allah s.w.t. di sesuatu tempat, maka ianya akan membawa kepada percanggahan antara ayat-ayat dalam Al-Qur’an dan ini tertolak.


Oleh yang demikian, secara tidak langsung, ini menunjukkan bahawa, ayat-ayat sedemikian ada makna lain selain daripada membawa makna “tempat”. Janganlah ingat Bahasa Arab ini miskin dari sebarang bentuk kiasan kerana Bahasa Arab yang merupakan bahasa Al-Qur’an, merupakan bahasa yang paling kaya dengan bentuk kiasan.


Kejahilan Mereka yang Jahil dalam Memahami Nas-nas Al-Qur’an dan As-Sunnah serta Perkataan Ulama’ mengenainya.


Kejahilan Pertama golongan yang mendakwa bahawa Allah s.w.t. wujud bertempat ialah: Tidak cukup ilmu Bahasa Arab untuk memahami Al-Qur’an secara tepat.


Dalam Bahasa Arab, ada mengandungi perkataan dalam maksud hakiki dan ada yang dikatakan sebagai majazi (kiasan). Oleh kerana Al-Qur’an juga diturunkan di dalam Bahasa Arab, maka kaedah-kaedah Bahasa Arab turut digunapakai di dalam Bahasa Al-Qur’an bahkan dengan bentuk yang paling sempurna.


Jadi, tidak dapat dinafikan (kecuali oleh orang-orang yang jahil), bahawa Al-Qur’an juga mengandungi perkataan-perkataan yang hakiki (membawa maksud sebenar) dan majazi (berbentuk kiasan). Inilah realiti Al-Qur’an yang diturunkan dalam Bahasa Arab dengan ketinggian sasteranya.


Mereka yang menggunakan dalil-dalil tadi (Surah Toha: 5) dan sebagainya untuk menunjukkan bahawa Allah s.w.t. itu bertempat, sebenarnya salah faham terhadap dalil yang mereka rujuk. Ini disebabkan kerana gagal memahami kaedah Bahasa Arab itu sendiri atau sengaja mengingkari konsep kiasan dalam Al-Qur’an.


Bagi mereka yang menafikan bahawa, Al-Qur’an mengandungi majazi (kiasan), penulis mencabar kepada mereka agar mendatangkan satu ayat Al-Qur’an yang menafikan majaz dalam Al-Qur’an, sedangkan dalam Al-Qur’an sendiri mengandungi pelbagai bentuk kiasan dan perbandingan.


Kejahilan Kedua golongan yang mendakwa Allah s.w.t. itu wujud bertempat ialah kerana kecetekan ilmu mereka dalam memahami konsep Balaghah (kesusasteraan) dalam Bahasa Arab itu sendiri.


Perkataan ‘Ala contohnya, dalam Bahasa Arab mengandungi dua maksud yang berbeza. Pertama, dalam bentuk hakiki, iaitu di atas sesuatu. Kedua, di atas dalam bentuk ma’nawi, iaitu ketinggian kedudukan (darjat, kekuasaan dan sebagainya) seperti kita mengatakan, “Yang DiPertuan Agong ialah yang paling atas dalam negara Malaysia”. Jadi, atas tidak semestinya membawa kepada maksud tempat seperti yang difahami oleh sebahagian kelempok yang jahil.


Kejahilan Ketiga golongan yang mengatakan bahawa Allah s.w.t. wujud bertempat ialah, kerana mereka menafikan dan menolak konsep ta’wil sifat-sifat mutasyabihat Allah s.w.t..

Penulis sekali lagi mencabar mereka agar dapat mendatangkan satu dalil dari nas-nas Islam yang menolak dan menafikan konsep ta’wil dalam ayat-ayat mutasyabihat seraya penulis pula akan menukilkan dalil mengenai adanya ta’wil bagi ayat-ayat mutasyabihat.

Rujuklah ayat yang sering menjadi perbincangan tentang ayat-ayat mutasyabihat, dalam Surah Ali Imran yang bermaksud: “…Dan tidak mengetahui akan ta’wilnya (ayat-ayat mutasyabihat) kecuali Allah (ulama’ salaf wakaf di sini) dan Orang-orang yang mendalam ilmunya…“.


Walaupun ada khilaf tentang wakaf ayat tersebut, namun jika kita rujuk balik ayat tersebut, secara jelas Allah s.w.t. menyatakan ayat-ayat mutasyabihat ada ta’wilnya dan “tidak mengetahui akan ta’wilnya (makna majazinya) melainkan Allah s.w.t…


Hal ini jelas menunjukkan bahawa, Allah s.w.t. sendiri mengakui ayat-ayat mutasyabihat ada ta’wilnya, kerana kalau ayat-ayat mutasyabihat tidak ada ta’wil, nescaya Allah s.w.t. tidak berfirman: “tidak mengetahui akan ta’wilnya melainkan Allah s.w.t.” Maknanya, ta’wil ada, cuma Allah s.w.t. sahaja mengetahui maknanya. Jika Ta’wil ada, jelaslah ayat-ayat tersebut bersifat majazi, bukan hakiki, kerana adanya ta’wil bererti, sesuatu itu majazi, walaupun tidak diketahui maknanya.


Para ulama’ salaf yang memahami perkara ini mengambil sikap tidak memberi ta’wil (makna di sebalik lafaz zahir) kerana berdasarkan ayat tersebut, hanya Allah s.w.t. yang mengetahui ta’wilnya. Namun, mereka tetap mengakui adanya ta’wil, dan ayat tersebut tidak bermaksud dengan zahirnya. Kemudian, mereka mengambil sikap, tidak mahu menta’wilkannya, dan berserah maknanya kepada Allah s.w.t., dan inilah manhaj tafwidh, bukan isbat seperti manhaj Ibn Taimiyah dan para pengikutnya. Namun, perlu diingat bahawa, tafwidh itu juga sejenis ta’wil namun tanpa menyataka ta’wilannya kerana menyerahkan ta’wilanya kepada Allah s.w.t. semata-mata, sedangkan konsep isbat Ibn Taimiyah bercanggah dengan konsep tafwidh kerana menetapkan makna ayat-ayat mutasyabihat walaupun menyerahkan “keadaan” (kaif) makna tersebut kepada Allah s.w.t.. Para salaf menyerahkan terus makna ayat-ayat mutasyabihat dan mengatakan bahawa mereka tidak mengetahui maknanya sedangkan Ibn Taimiyah (dalam manhaj isbatnya) mengatakan bahawa, maknanya diketahui tetapi hanya kaifatnya (keadaan makna tersebut) sahaja yang tidak diketahui. Jelas perbezaan antara salaf yang menyerahkan makna asal perkataan tersebut kepada Allah s.w.t. dengan Ibn Taimiyah yang mengisbatkan makna lughowi (dari sudut bahasa) perkataan tersebut, dan hanya menyerahkan kaifiat (keadaan) perkara tersebut kepada Allah s.w.t..

 


Adapun kebanyakkan ulama’ khalaf, menggunakan manhaj ta’wil untuk mengelak kesamaran orang-orang awam yang dikhuatiri salah faham tentang sifat-sifat tersebut, lantas terjerumus kepada aqidah tajsim. Mereka ta’wil menggunakan kaedah bahasa Arab yang sesuai dalam konteks majazi, dan sesuai dengan kaedah Bahasa Arab. Dalil mereka, juga pada ayat di atas, cuma dengan tambahan: “tidak mengetahui ta’wilnya kecuali Allah (s.w.t.) dan mereka yang mendalam ilmunya”. Ini berbalik kepada soal waw dalam ayat tersebut, samada ianya waw isti’naf (waw permulaan ayat) yang merupakan kefahaman kebanyakkan salaf ataupun waw al-athof yang merupakan kefahaman kebanyakkan khalaf (waw yang membawa maksud: “dan”).


Di sinilah kesalahan manhaj isbat Ibn Taimiyah yang menjadi teras bagi kesalahan yang lebih besar sehingga membawa kepada sesetengah orang-orang salafi wahhabi mendakwa Allah s.w.t. wujud bertempat, yang merupakan aqidah yang pincang.


Fokus Akhir untuk Penulis Risalah, Saudara Abu Syu’aib


Sebenarnya, daripada penulisan beliau, tidak jelas sikap beliau dalam mengatakan bahawa

Allah s.w.t. wujud bertempat, namun gaya penulisan beliau seolah-olah berpendapat sekurang-kurangnya menegaskan bahawa, mereka yang memahami bahawa Allah s.w.t. wujud tidak bertempat merupakan orang-orang yang berfahaman mu’tazilah, yang mana pada pandangan beliau, demikianlah menurut Imam Al-Asy’ari.


Buat munaqosyah ini, penulis tidak mengomentar perbahasan beliau secara harfiah, dalam menilai kefahaman beliau dari perkataan Sheikh Imam Al-Asy’ari. Namun, apa yang penting, aqidah ahlus sunnah wal jamaah ialah: “Allah s.w.t. wujud tidak bertempat” berdasarkan dalil naqli dan aqli.


Adapun kesimpulan yang dibuat oleh beliau daripada tulisan Imam Al-Asy’ari perlu dikaji, kerana penulis masih tidak berkesempatan merujuk seluruh tulisan Al-Imam dalam buku-buku tersebut buat masa ini. Pun begitu, kita tidak nafikan, ada sesetengah pihak cuba membuat kesimpulan yang tidak tepat daripada kefahaman keseluran teks ucapan seseorang ulama’ besar bagi tujuan membela kebatilan, namun penulis tidak menuduh mana-mana individu terlibat mengenainya apatah lagi saudara pengarang artikel tersebut.


Namun, apa yang pasti, Imam Al-Asy’ari itu sekalipun tidak mengatakan Allah s.w.t. itu bertempat secara jelas, hatta dari nukilan-nukilan yang dinukilkan oleh Abu Syu’aib tersebut. Perkataan “Allah fi As-Sama’ “, Allah ‘ala Al-Arsy” dan sebagainya merupakan bentuk majazi. Kalaupun Imam Al-Asy’ari tidak menta’wilkannya, dia tetap tidak menetapkan maknanya iaitu bertempat, tetapi sebaliknya bersikap tafwidh (menyerahkan makna sebenar kepada Allah s.w.t. tanpa memahami makna tersebut dari sudut zahir). Jadi, boleh jadi Abu Syu’aib (semoga Allah s.w.t. memberi hidayah kepada beliau) tidak memahami beza antara manhaj isbat yang tercela dan manhaj tafwidh salafus soleh yang juga merupakan satu jenis ta’wil secara ijmali (ringkas).


Kalau ada kesempatan, insya Allah penulis akan mengkaji semula artikel beliau secara harfi dengan merujuk buku-buku yang disertakan, insya Allah. Di kesempatan ini, Cuma sekadar menolak konsep “Allah s.w.t. wujud bertempat” yang menjadi virus dalam umat Islam yang boleh merosakkan mereka.


Ramai orang yang sibuk berbincang tentang golongan syi’ah, dan menentang mereka, dalam masa yang sama, ramai dari kalangan mereka turut terlibat dengan firqah yang terkeluar dari ahlus sunnah wal jamaah, iaitu, terlibat dengan konsep tasybih dan tajsim. Semoga Allah s.w.t. memelihara kita dari kesesatan samada kita ketahuinya ataupun tidak.


Amin…


Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin

http://mukhlis101.multiply.com