KITAB BIMBINGAN MUKMIN – Hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali

 

 

Kitab Adab Pernikahan

Kitab

Adab Pernikahan

 

 

Untuk menggalakkan pernikahan, Allah s.w.t telah berfirman:

 

“Dan kahwinkanlah orang bersendirian (belum kahwin) di antara kamu” (an-Nur: 32)

 

Ayat di atas menunjukkan suatu perintah ke atas orang yang belum pernah berkahwin supaya berkahwin.

 

FirmanNya yang lain:

 

“Maka janganlah kamu menghalang-halangi wanita-wanita untuk berkahwin semula dengan suami-suami mereka.” (al-Baqarah: 232)

 

Ayat yang tersebut di atas pula melarang untuk menghalang wanita-wanita yang diceraikan oleh suami-suami mereka untuk kembali berkahwin semula dengan mereka.

 

Kemudian Allah s.w.t. telah berfirman lagi dalam menghuraikan sifat-sifat para Rasul dan memuji sikap mereka:

 

Dan kami (Allah) sungguh-sungguh telah mengutus Rasul-rasul sebelum engkau dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan.” (ar-Ra’ad: 38)

 

Allah s.w.t. telah menyebutkan yang demikian itu untuk menunjukkan tanda limpah kurniaNya serta melahirkan kelebihanNya. Kemudian Allah s.w.t juga memuji para waliNya dengan suatu permohonan dalam bentuk doa sebagaimana firmanNya:

 

“Dan orang-orang yang berkata: Wahai Tuhan Kami! Kurniakanlah Kami dari isteri-isteri dan keturunan kami cahayamata kami.” (al-Furqan: 74)

 

Di antara Hadis pula, sabda Rasulullah s.a.w.:

 

Nikah itu adalah sunnatku, maka barangsiapa yang benci kepada sunnatku, nescaya telah membenci aku.”

 

Sabdanya lagi:

 

“Barangsiapa yang mampu untuk berumahtangga, maka hendaklah ia berkahwin kerana yang demikian itu dapat memelihara mata dan menjaga kemaluan. Dan barangsiapa yang tidak mampu maka hendaklah ia berpuasa kerana puasa itu adalah dapat menahan keinginan (hawa nafsu).”

 

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa sebab digalakkan berkahwin itu supaya terhindar dari kecelakaan yang mungkin dilakukan oleh mata dan kemaluan. Sebab itulah bagi orang yang tak mampu pula digalakkan supaya berpuasa, kerana puasa itu akan melemahkan anggota seks.

 

Rasulullah s.a.w bersabda lagi:

 

“Jika yang datang meminang kepada kamu orang yang kamu percaya tentang agamanya dan amanatnya, maka sebaik-baiknya kamu mengahwinkannya saja. Jika tidak dikhuatiri akan berlaku fitnah di atas muka bumi dan kecelakaan yang besar.”

 

Hadis ini juga menunjukkan sebab mengapa perkahwinan itu harus digalakkan kerana ditakuti berlaku perkara yang tak baik.

 

Bersabda Rasulullah s.a.w:

 

“Setiap amalan anak Adam akan terputus melainkan tiga saja (salah satunya) anak yang saleh mendoakannya.”

 

Anak tidak akan terhasil, melainkan dengan berkahwin.

 

Adapun yang mengenai atsar pula, maka telah berkata Ibnu Abbas r.a.: Tidak sempurna ibadat orang yang beribadat sehingga ia berkahwin. Mungkin sekali Ibnu Abbas telah menjadikan syarat berkahwin itu sebagai sebahagian dari ibadat atau sebagai menyempurnakan ibadat ataupun barangkali beliau bermaksud bahawa hati seseorang itu tidak dapat mengalahkan syahwat melainkan dengan berkahwin dan ibadat pula tidak akan sempurna melainkan dengan ketetapan dan ketenangan hati. Ibnu Abbas selalu mengumpulkan anak-anak buahnya bila mereka telah menginjak alam dewasa seraya berkata kepada mereka: Kamu sekalian telah dewasa. Kalau kamu sekalian ingin berkahwin, aku bersedia untuk mengahwinkan kamu. Sebab apabila seorang hamba itu berzina akan tercabutlah cahayan keimanan dari hatinya.

 

Adapun faedah-faedah perkahwinan ada lima iaitu:

 

(1)                                        Mendapat anak’

(2)                                        Mematahkan syahwat

(3)                                        Mentadbirkan rumahtangga

(4)                                        Membiakkan keluarga

(5)                                        Menggiatkan diri untuk memenuhi keperluan.

 

 

Hal-hal yang harus diperhatikan bila memilih jodoh.

 

Hal-hal baik harus diperhatikan untuk mencapai kehidupan yang tenteram yang berkaitan dengan persoalan wanita supaya ikatan perkahwinan menjadi kekal serta tujuan-tujuan yang baik dari perkahwinan itu akan tercapai ialah delapan perkara:

 

(1)                                        Agama

(2)                                        Kelakuan

(3)                                        Kecantikan

(4)                                        Ringan maskahwin

(5)                                        Boleh melahirkan anak (tidak mandul)

(6)                                        Perawan

(7)                                        Keturunan baik

(8)                                        Bukan keluarga yang dekat

 

Berikut keterangan lanjut mengenai perkara-perkara ini secara satu persatu:

 

Pertama: Hendaklah isteri itu seorang yang saleh dan berpegang teguh kepada agama. Inilah tujuan utama perkahwinan yang harus diambil berat. Sebab sekiranya isteri itu lemah agamanya, bagaimana dapat ia memelihara diri dan maruahnya. Kalaulah berlaku sesuatu kecemaran yang menyentuh kehormatan dirinya, tentulah muka suami akan terconteng arang, sedang hatinya akan tergoda oleh perasaan cemburu, manakala kehidupannya ketika itu akan menjadi sempit. Kemudian jika si suami mengikutkan kata hati yang penuh dengan cemburu itu, tentulah akan porak-peranda seluruh kehidupannya, dan jika dia mengambil sikap mempermudahkan tentang perkara yang berlaku, tentulah dia akan dituduh mengambil sikap enteng saja tentang agama dan maruahnya, dan akan dituduh sebagai suami yang dayus. Walhasil si suami akan berada dalam keadaan yang serba-salah sekali. Demikian pula sifat wanita yang rosak agamanya akan sering mempermain-mainkan harta benda suaminya atau sebagainya, sehingga hidup si suami dengannya akan sentiasa kurang tenteram. Jika suami terus mendiamkan diri dan tidak melarang kelakuannya, nescaya ia menjadi kongsi dalam maksiat dengan isterinya dan berarti menentang firman Allah Ta’ala.

 

“Peliharalah diri kamu dan keluargamu dari api neraka.” (at-Tahrim: 6)

 

Jika si suami menegah si isteri dan melarang kemahuannya akan timbul pula pertengkaran sehingga boleh memendekkan umur si suami. Sebab itulah Rasulullah s.a.w sangat-sangat menggalakkan dan meransang supaya memilih wanita yang kukuh agamanya. Baginda bersabda:

 

Wanita itu dikahwini kerana hartanya atau kecantikannya, keturunannya atau agamanya, maka hendaklah anda memilih yang mempunyai agama yang kukuh, nescaya anda akan bernasib baik.”

 

Kedua: Baik budi pekertinya, sebab jika isteri itu banyak mulutnya, lidahnya suka menyebut kata-kata yang rendah, suka mengingkari nikmat, nescaya akan lahir daripadanya lebih banyak bahaya daripada manfaat. Kesabaran atas lidah kaum wanita seumpama ini adalah suatu cubaan yang biasanya dicubakan oleh Allah ke tasa para aulianya.

 

Ketiga: Manis atau cantik rupanya; ini juga sering dituntut oleh orang kerana dengannya akan terpelihara diri dari mencari yang lain, sebab tabiat manusia biasanya tiada puas dengan isteri yang buruk rupa. Apa yang kamu sebutkan supaya memilih yang teguh agamanya bukanlah berarti melarang memilih yang cantik rupanya, bahkan yang dilarang ialah memilih yang cantik semata-mata tanpa mementingkan perkara agama. Sebab biasanya wanita yang cantik itu menarik orang kepada perkahwinan, sedangkan urusan keagamaannya sering diletakkan di belakang saja. Jadi anjuran untuk memilih isteri yang cantik itu untuk menjaga rumahtangga menjadi rukun dan damai. Malah syariat sering mementingkan supaya memerhatikan sebab-sebab kerukunan rumahtangga antara suami dan isteri, kerana itulah disunnatkan melihat bakal isteri sebelum berkahwin, sebagai mana sabda Rasulullah s.a.w.:

 

“Apabila Allah telah mentakdirkan cinta dalam diri seseorang dari kamu, hendaklah dia melihat kepadanya (wanita) kerana yang demikian itu lebih terjamin untuk mengeratkan perhubungan antara keduanya.”

 

Setengah para ahli wara’ tidak akan mengahwinkan anak-anak perempuan mereka melainkan setelah dilihat oleh calon-calon suaminya untuk memelihara diri dari tuduhan menipu.

 

Berkata al-A’masy: Semua perkahwinan dijalankan tanpa diberi peluang kepada calon suami untuk melihat terlebih dulu akan berkesudahan dengan kesusahan dan kekesalan.

 

Pernah diriwayatkan, seorang lelaki berkahwin dalam zaman Khalifah Umar Ibnul-Khattab r.a. Orang ini mengecat rambutnya yang beruban itu sehingga kelihatan sebagai seorang anak muda. Apabila ternyata perkara itu kemudiannya, keluarga si isteri pun mengadu kepada khalifah Umar, kata mereka: Kita menyangka ia seorang anak muda. Maka oleh Umar dipukulnya orang itu sehingga ia mengaduh. Khalifah berkata: Engkau telah menipu keluarga isterimu.

 

Penipuan serupa itu boleh berlaku pada perkara kecantikan dan budi pekerti. Maka sewajarnyalah dilenyapkan tipu daya dalam kecantikan itu dengan diberi tontonan terlebih dulu. Dalam akhlak dan budi pekerti pula, dapat diketahui dengan ditanyakan kepada orang lain ataupun dengan menyaksikan sendiri orangnya. Dan janganlah seseorang itu berani menceritakan kelakuan orang lain, melainkan ia memang benar-benar seorang bijaksana dan mengetahui selok-belok orang yang diceritakan itu secara lahir dan batin, tidak cenderung kepadanya lalu dipuji secara berlebih-lebihan, dan tidak pula membenci sehingga ia mencacinya dan mengatakan yang bukan-bukan. Sebenarnya memang sukar sekali ditemui seorang orang menikmati syarat-syarat ini, dan biasanya amat jarang pula seseorang itu dapat bercakap benar dalam perkara serupa ini, malaj kebohongan dan pengeliruan sering melanda suasana ini. Maka sayugialah bagi orang yang ingin menjaga diri, haruslah berhati-hati dalam perkara seumpama ini.

 

Keempat: Hendaklah maskahwin si isteri tidak memberatkan kerana memang dilarang oleh agama untuk memahal-mahalkan maskahwin. Setengah para sahabat berkahwin dengan maskahwinnya emas seberat biji kurma yang dianggarkan berharga tidak lebih dari dari lima dirham. Saib Ibnul-Musaiyab mengahwinkan puterinya kepada Abu Hurairaah r.a dengan maskahwinnya sebanyak dua dirham saja, kemudian dia pun menghantarkan puterinya itu kepada Abu Hurairah pada malam itu juga dan setelah diserahkannya di rumah Abu Hurairah lalu dia kembali, Said tidak kembali lagi ke rumah Abu Hurairah itu melainkan setelah berlalu tujuh hari untuk bertanyakan khabar saja.

 

Ada sebuah Hadis yang mengatakan bahawa antara keberkahan seorang wanita ialah melekaskan perkahwinannnya sehingga ia dapat melahirkan anak dan ringan pula maskahwinnya. Sebagaimana makruh hukumnya memahalkan maskahwin wanita ke atas lelaki, demikian pula makruh hukumnya bertanyakan harta kekayaan wanita oleh lelaki. Tidak sewajarnyalah bagi lelaki untuk menikahi seorang wanita, kerana tamak pada harta kekayaannya semata-mata. Jika lelaki memberikan hadiah kepada keluarga siwanita, maka janganlah ia mengharapkan balasan dari pihak wanita, maka janganlah ia mengharapkan balasan dari pihak wanita, maka janganlah ia mengharapkan balasan dari pihak wanita dengan hadiah-hadiah yang lebih banyak lagi. Demikianlah pula halnya dengan pihak wanita, kerana niat menginginkan balasan adalah suatu niat yang tidak baik, dan termasuk ke dalam larangan maksud ayat berikut:

 

Janganlah engkau memberikan lantaran menginginkan balasan yang lebih banyak.” (al-Muddatstsir: 6)

 

Kelima: Hendaklah ia mengetahui, bahawasanya si wanita itu boleh melahirkan anak, kiranya diketahui kemandulannya, maka hendaklah ia menahan diri dari berkahwin dengannya.

 

Keenam: Hendaklah wanita itu seorang gadis. Berkata Rasulullah s.a.w. kepada Jabir yang baru menikahi seorang janda: “Mengapa tidak menikahi si gadis yang boleh engkau bergurau senda denganmu.”

 

Ketujuh: Hendaklah wanita itu dari golongan keturunan yang baik, maksudnya dari kaum yang terkenal menjaga urusan agamanya dan termasyhur dengan perjalanannya yang lurus. Sebab wanita dari rumahtangga yang seumpama itu akan memelihara dan mendidik putera-puterinya pada jalan yang diredhai oleh Allah dan RasulNya. Andaikata ia seorang yang tidak berpendidikan bagaimana ia dapat mendidik dan memelihara anak-anaknya. Dalam sebuah Hadis: “Pilih-pilihlah tempat meletakkan air mani kamu, kerana urat itu beradu.”

 

Kedelapan: Hendaklah wanita itu bukan dari kerabat yang dekat, sebab yang demikian itu akan mengurangkan syahwat, sedangkan itu merupakan perkara utama yang menarik kepada wanita.

 

 

Tugas Wali

 

Seorang wali harus memerhati dan meneliti kelakuan dan geraklaku calon suami, jangan sampai mengahwinkan puterinya kepada seorang lelaki yang cacat atau buruk budi pekertinya, ataupun lemah agamanya. Begitu juga seorang lelaki yang tidak mempunyai tanggungjawab, ataupun yang tidak sekutu dengan kedudukannya. Apabila ia mengahwinkan puterinya dengan seorang zalim atau fasik atau yang lemah agamanya atau peminum arak, maka ia telah melanggar printah agamanya dan ketika itu akan terdedahlah kepada kemurkaan Allah Ta’ala kerana ia telah mencuaikan persoalan silatur-rahmi (perhubungan tali kerabat) dan telah memilih jalan yang salah.

 

Seorang ayah telah datang meminta nasihat kepada al-Hasn, katang: Telah banyak orang yang datnag meminangi puteriku, tetapi aku tak tahu siapa yang harus kukahwinkan dia. Berkata al-Hasan: Kahwinkanlah puterimu itu dengan orang yang banyak taqwanya kepada Allah. Andaikata suaminya membencinya, nescaya tiada dianiayainya.