Posted by: Habib Ahmad | 5 Oktober 2013

Solat mencegah kejahatan

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
ALHAMDULILLAH pada ruangan kali ini, penulis ingin membincangkan isu solat yang boleh mencegah kejahatan.

Tatkala Allah SWT menyebutkan orang-orang yang beriman, Allah menyebutkan bahawa mereka adalah orang-orang yang mendirikan sembahyang. Dan apabila Allah menyebutkan orang-orang munafik, maka Allah SWT akan menyebutkan bahawa mereka adalah orang-orang yang melaksanakan sembahyang. Ini kerana orang Islam itu terbahagi kepada dua golongan:

* Adalah mereka yang mendirikan sembahyang.

* Adalah mereka yang melaksanakan sembahyang.

Oleh yang demikian, orang yang hanya melaksanakan sembahyang dan belum mendirikannya, sembahyangnya itu tidak akan dapat mencegahnya daripada perbuatan yang keji dan mungkar.

Sementara orang yang mendirikan sembahyang, maka sembahyangnya itu akan mencegahnya daripada perbuatan keji dan mungkar.

Allah SWT berfirman Yang bermaksud: Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. (al-Ankabut: 45)

Kita mungkin akan mengatakan: Bagaimana dengan orang yang melaksanakan sembahyang, sementara dia aktif menghisap ganja, morfin dan sejenisnya? Bagaimana juga dengan orang yang melakukan sembahyang, tetapi dia tetap berzina dan mencuri? Maka jawapannya adalah kerana dia hanya melaksanakan sembahyang, belum sampai tahap mendirikan sembahyang.

Adapun yang dimaksudkan dengan mendirikan sembahyang, kerana sentiasa meresapi dan menghayati makna segala gerak-gerinya dalam sembahyang, mulai daripada khusyuk, tawaduk, wuduk (kebersihan), keikhlasan, ketika rukuk, ketika sujud dan ketika berzikir, begitu juga dengan rohnya (nyawanya) yang sentiasa hadir dalam sembahyang tersebut.

Seperkara lagi, suka dinyatakan di sini, beberapa hikmah solat seperti yang dinukilkan daripada Fiqh al-Manhaji. Antaranya:

* Solat menyedarkan manusia akan hakikat dirinya yang sebenar sebagai hamba kepunyaan Allah SWT. Dia sentiasa menyedarinya setiap kali berhadapan dengan masalah hidup dan perhubungan dengan orang lain. Solat yang dilakukan akan mengingatkannya semula bahawa dia adalah hamba kepunyaan Allah SWT.

* Solat memantapkan keyakinan manusia bahawa tidak ada pembantu dan pengurnia nikmat sebenar-benarnya selain Allah SWT meskipun kelihatan di dunia banyak pihak dan sebab yang pada zahirnya membantu dan memberi nikmat. Tetapi pada hakikatnya hanya Allah SWT yang memastikan semua itu untuk kemudahan manusia.

Setiap kali manusia lupa dan hanyut kerana terpesona dengan keduniaan yang zahir, solat akan mengingatkannya bahawa penyebab yang sebenar hanyalah Allah. Dialah pembantu, pengurnia nikmat, yang menjadikan kesusahan, pemberi manfaat, yang menghidupkan dan mematikan.

* Dengan solat manusia dapat mengambil kesempatan menjadikannya sebagai waktu untuk bertaubat daripada dosa-dosa yang dilakukannya. Ini kerana manusia memang terdedah kepada banyak maksiat pada setiap waktu sama ada disedarinya ataupun tidak.

Maka solat yang dilakukan berulang-ulang dari semasa ke semasa akan membersihkannya daripada maksiat dan kesalahan-kesalahan tersebut.

Rasulullah SAW telah menjelaskan perkara tersebut di dalam hadis, daripada Jabir bin Abdullah RA katanya Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Solat lima waktu umpama sungai yang airnya banyak mengalir di hadapan pintu rumah seseorang di kalangan kamu ayang akan mandi di dalamnya lima kali setiap hari”. Kata al-Hassan: Dan apakah lagi kotorannya yang tinggal?”

Maksud kotoran di sini ialah kotoran maknawi, iaitu dosa-dosa. Maksud ini dijelaskan oleh riwayat Abu Hurairah RA: “Demikianlah umpamanya solat lima waktu yang dengannya Allah menghapuskan dosa-dosa.”

* Solat merupakan santapan bagi akidah keimanan kepada Allah yang berterusan dalam hati manusia. Segala pesona dunia dan bisikan syaitan sememangnya menjadikan manusia lupa kepada akidah walaupun telah lama terterap dalam hatinya.

Kealpaan yang berterusan kerana menurut gelora nafsu dan rakan-rakan, akhirnya akan berubah menjadi ingkar. Ia umpama pokok yang kehabisan air, lambat laun akan layu dan mati kering menjadi kayu api.

Tetapi, solat yang dilakukan dengan tekun oleh seseorang Muslim akan menjadi santapan iman dan tidak mampu dilemahkan atau dimusnahkan oleh segala pancaroba dunia.

Semoga solat kita benar-benar dapat mencegah kita daripada perbuatan jahat. Amin.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: