NGO Islam gesa akhbar jangan putarbelit isu akidahOgos 14, 11 1:04pmSidang meja bulat NGO Islam yang semalam meluluskan 10 resolusi termasuk menggesa supaya isu berkaitan akidah umat Islam tidak dimanipulasikan dan diputarbelit oleh akhbar untuk memberikan kelebihan politik kepada sesuatu pihak sehingga memecahbelahkan perpaduan umat Islam.

Selain itu, mereka juga menggesa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan pihak-pihak berwajib yang lain segera membuat tindakan dan pendakwaan jika benar terdapat usaha memurtadkan umat Islam sebagaimana tuntutan pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan dan bekas pengerusinya.

Mereka juga menuntut semua pihak yang pernah terlibat merobohkan institusi Islam, termasuk meruntuh institusi pendidikan Islam, masjid dan surau, memohon maaf kepada seluruh umat Islam di Malaysia kerana tindakan mereka telah mendorong agama Islam tidak dihormati.

Sidang meja bulat itu diadakan di Kompleks Perumahan Exco Kerajaan Negeri Selangor itu turut disertai Dewan Pemuda PAS Pusat.

Menurut presiden IlMUAN, Dr Fuad Salleh, resolusi lain yang diluluskan dalam sidang meja bulat tersebut ialah:

1. Bersepakat dan beriltizam untuk mempertahankan pegangan akidah umat Islam di negara ini daripada dicerobohi selaras dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan di dalam Perlembagaan Malaysia dan juga Peruntukan Undang-undang yang sedia ada termasuk menguatkuasakan undang-undang murtad.

2. Mendokong dan menyokong usaha mana-mana pihak untuk memperkukuh akidah umat Islam melalui program pendidikan dan kebajikan serta menuntut diperkasakan program tersebut termasuklah dengan mengembalikan semula bantuan yang secukupnya kepada sekolah agama rakyat.

4. Menuntut supaya badan-badan yang berkaitan dengan harta amanah umat Islam bertindak secara cekap bagi membantu umat Islam yang terpinggir dan tercicir supaya kehidupan mereka lebih terbela dan terjamin.

5. Menegaskan bahawa isu-isu berkaitan dengan akidah umat Islam ini adalah isu yang sangat sensitif yang boleh menjejaskan keharmonian kaum, justeru menyeru kepada semua pihak supaya tidak bertindak menyalahi undang-undang yang termaktub.

6. Menggesa supaya institusi-institusi yang mentadbir urusan umat Islam diserahkan kepada mereka yang benar-benar layak dan dihormati supaya institusi-institusi ini akan dilihat sebagai benar-benar berwibawa.

9. Mencadangkan supaya forum-forum seperti sidang meja bulat ini dijadikan platform muzakarah yang dapat menemukan semua pihak, pelbagai jalur pemikiran yang mewakili masyarakat madani dan parti-parti politik demi meninggikan syiar Islam di negara ini.

Manakala NGO yang hadir di sidang meja bulat semalam turut bersepakat untuk bergabung dalam membela Islam.

NGO yang hadir ialah Sekteriat Pemuda Perihatin, Yayasan Kepimpinan Malaysia, Ummah Prihatin Malaysia, ILMUAN, Pro– Guam, Perubatan Islam Darus Syifa’, PAPISMA, GAMIS, INTELEK, PIMPINAN, ILMAM, Belia Islam Ampang (BISA), Ikatan Padu Rakyat Malaysia (IKATAN), Pertubuhan Muslim Professional (IMPROF), Ikatan Khidmat Muslim (I-Khidmat), Majlis Perundingan Melayu (MPM), GAGASAN, PMRAM, Usrah Kebajikan Profesional (UKP), Front Bertindak Anti Murtad (FORKAD), Umah Care, Terap Care dan Tabung Kebajikan Al-Masakin.