Kitab Sabil al-Muhtadin terus jadi panduan umat Islam

PERSOALAN yang sering terdengar dalam masyarakat berkaitan urusan korban dan akikah antaranya;
# Apakah sebenarnya korban dan akikah itu?

# Apakah perbezaan antara korban dan akikah?

# Apakah hukum melakukannya?

# Berapa kali kita dituntut melakukan korban sepanjang hayat kita?

# Apakah syarat-syarat binatang yang hendak dikorbankan?

# Bolehkah seekor lembu dikongsi sebahagian untuk korban dan sebahagian lagi untuk akikah?

# Apakah hikmah atau faedah yang bakal diperolehi kerana melakukan kedua-dua ibadah itu?

Ibadah korban dan akikah merupakan ibadah dan amalan yang mulia dan penting dalam Islam kerana amat besar fadilat dan implikasinya.

Malangnya, masih ramai orang yang samar-samar atau kabur kefahaman terhadapnya. Tidak kurang yang memandang ringan terhadap ibadah ini.

Mereka mempunyai kemampuan tetapi tidak mahu melakukan penyembelihan korban dan akikah ini.

Penjelasan dan pengisian yang terkandung dalam Sabil al-Muhtadin – Hikmah Korban, Akikah, Perburuan, Sembelihan dan Pemakanan semoga dapat membantu kefahaman masyarakat tentang ibadah korban serta akikah.

Di samping, dapat menimbulkan keinginan atau meningkatkan kesungguhan untuk sama-sama mencari pahala daripada kedua-dua ibadah ini.

Turut disentuh ialah tajuk perburuan dan sembelihan yang mana pada hari ini kita dengan mudah boleh mendapatkan sumber daging untuk masakan dari pasar raya. Namun kita harus tahu hukum-hakam yang berkaitan dengan perburuan yang menjadi hobi sesetengah orang.

Pemburu yang berburu rusa, kijang, kambing gurun, kancil, napoh, landak, ayam hutan atau burung sering terlibat dengan penyembelihan. Apakah mematikan binatang tersebut dengan peluru senapang boleh dianggap suatu sembelihan yang sah?

Begitu juga apabila anda balik ke kampung, kadang-kadang anda juga terpaksa menjadi penyembelih bidan terjun. Amat memalukan jika anda mengelak apabila mertua meminta anda menyembelih ayam untuk dibuat lauk hidangan makan tengah hari keluarga atau meminta anda menyembelih dan melapah kambing atau biri-biri untuk akikah anak anda sendiri! Ada ketikanya anda berhadapan dengan haiwan peliharaan yang terpaksa disembelih secara darurat kerana terlibat dengan kemalangan jalan raya, terjatuh dari tebing yang tinggi atau lubang yang dalam atau diserang penyakit.

Sementara itu, pemakanan merupakan aspek yang terpenting bagi seseorang insan kerana tubuh badan dan darah daging terbentuk daripada pemakanan. Kesucian dan kehalalan pemakanan mempengaruhi akhlak, budi pekerti dan sahsiah seseorang. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Jasad yang tumbuh daripada pemakanan yang haram hanya layak untuk menjadi umpan api neraka.

Keseluruhan kandungan kitab Sabil al-Muhtadin bab Korban, Akikah, Perburuan, Sembelihan dan Pemakanan karangan Syeikh Mohammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari ini sangat relevan untuk panduan seluruh umat Islam dalam menghuraikan segala permasalahan yang berkaitan dengannya.