Imam Ibnu Ishak Berdasarkan Neraca Ilmu

Lazada Malaysia

05/11/2015819 viewer | Posted by aswj-rg.com
Share Button

Pin It
Muhammad Bin Ishak
Tidak syak lagi bahawa Muhammad Bin Ishak[1] adalah tonggak utama bagi para ulama’ dan pengkaji sirah Rasulullah yang lahir setelah beliau. Kitabnya yang berjudul Al-Maghazi (المغازي) merupakan sumber primer dan subjek terpenting bagi ilmuan yang menceburkan diri dalam bidang sirah nabawiyah sehinggakan sukar untuk kita mendapati kitab-kitab sirah yang ditulis setelah zaman Ibnu Ishak tetapi tidak menukilkan kata-kata beliau.
1476762_10201216862329647_2027166840_n
Ketika hidup, Ibn Ishak sempat melihat Sayyidina Anas Bin Malik dan Said Bin Al-Musayyab, beliau juga sempat mendengar hadis dari Al-Qasim Bin Muhammad Bin Abu Bakar As-Siddiq, Aban Bin Utsman Bin Affan, Az-Zuhri, Abu Salamah Bin Abdur Rahman Bin Auf, dan Abdur Rahman Bin Hurmuz Al-A’raj. Antara ulama besar yang meriwayatkan hadis dari Ibn Ishak adalah Yahya Bin Said Al-Anshori, Sufyan As-Tsauri, Ibnu Juraij, Syu’bah, Al-Hamadan, Sufyan Bin Uyainah dan lain-lain. Beliau wafat pada tahun 150 atau 151 Hijrah.
Percanggahan pendapat ulama’ berkenaan Ibnu Ishak
Salah satu perkara yang menjadi pertikaian antara ulama’ pada diri beliau adalah keadilan beliau (عدالة) dalam ilmu periwayatan hadis. Imam Muslim telah meriwayatkan hadis melalui jalan periwayatan Ibn Ishak dalam Kitab Sohih beliau beserta hadis-hadis dari ahli hadis yang selainnya yang bersifat adil. Hal ini menunjukkan bahawa beliau mengiktiraf keadilan Ibnu Ishak dalam periwayatan hadis. Hal yang sama dapat juga dilihat pada Ashab As-Sunan Al-Arba’ah. Imam Bukhari pula telah memberi komentar terhadap Ibn Ishak dalam Kitab Sohih beliau.
Namun begitu, Ibnu Ishak juga telah menerima kritikan yang berat dari dua ilmuan besar Islam; Imam Malik Bin Anas dan Hisyam Bin Urwah. Tatkala disebut nama Ibnu Ishak di hadapan Imam Malik, beliau berkata: “Ibn Ishak adalah seorang dajal dari kalangan dajal-dajal.” Adapun Hisyam, tatkala beliau mendapat berita bahawa Ibnu Ishak meriwayatkan hadis dari isterinya, beliau berkata: “Dia adalah musuh Allah dan pembohong, bagaimana dia meriwayatkan hadis dari isteriku sedangkan dia tidak pernah melihatnya?!”
Ibnu Ishak juga dituduh sebagai Qadariyah dan pengikut mazhab Syiah. Walau bagaimanapun, beliau juga telah diiktiraf oleh ramai ulama’ sebagai seorang alim yang pakar dan berautoriti. Bahkan Syu’bah Bin Al-Hajjaj telah memuji beliau dengan berkata: “Ibn Ishak adalah Amirul Mukminin dalam ilmu hadis.” Beliau juga telah mendapat pujian dari gurunya Az-Zuhri. Adapun tohmahan yang dilemparkan kepadanya oleh Imam Malik dan Hisyam Bin Urwah, maka perkara tersebut tidak diterima, bahkan tidak diredhai dan ditolak oleh ramai ulama’.
Al-Hafiz Al-Kabir Abu Ahmad Ibnu ‘Adi telah bersikap adil dalam menilai Ibnu Ishak. Dan Ibnu Adi merupakan nama yang tidak asing dalam ilmu Jarh Wa Ta’dil dan Naqd Ar-Rijal, dan kitabnya yang berjudul Al-Kamil merupakan asas utama dalam ilmu ini. Beliau berkata tentang Ibnu Ishak: “Aku telah meneliti banyak hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Ishak dan aku tidak menjumpai apa-apa perkara yang boleh menghukumnya secara qath’ie atau tetap sebagai dhoif. Beliau mungkin tersilap dan tersalah sangka pada beberapa perkara, seperti mana yang berlaku kepada ahli hadis selainnya.”
Al-Hafiz Abul Fath Ibnu Sayyidi An-Nas telah menyenaraikan hampir kesemua kata-kata ulama’berkenaan Ibnu Ishak di dalam kitab beliau berjudul “Uyunul Atsar Fi Funun Al-Maghazi Wa Asy-Syamail Wa As-Siyar”. Beliau kemudiannya mengulas kesemua komentar dan kritikan yang diterima oleh Ibnu Ishak. Dan beliau cenderung untuk membela tokoh agung ini.[2]
Perkara yang ulama’ bersepakat tentang Ibnu Ishak
Walaupun terjadi banyak perselisihan pendapat dan percanggahan pemikiran dalam menilai Ibnu Ishak, tetapi kesemua ulama’ bersepakat pada satu perkara iaitu ketokohan beliau dalam ilmu sirah dan maghazi. Mereka semua mengakui akan hakikat perkara ini, mereka bersadar kepada kata-katanya dan merujuk kitab beliau dalam masalah ini. Imam Asy-Syafi’I berkata: “Barangsiapa yang menginginkan ilmu maghazi maka hendaklah dia bersandar kepada Ibnu Ishak.” Oleh sebab inilah Al-Hafiz Ibnu Hajar menggelar beliau sebagai ‘Imam Al-Maghazi’ dalam kitab beliau Taqrib At-Tahzib. Manakala Ibn Sayyidi An-Nas bersifat pertengahan dalam hal ini dan tidak cenderung kepada mana-mana golongan sama ada yang mengangkat Ibnu Ishak atau yang menjatuhkannya, maka beliau berkata tentang Ibnu Ishak: “Beliau adalah tonggak dalam ilmu maghazi bagi kami dan selain kami”, tanpa berlebihan memujinya dan tanpa mencelanya.
Karya Ibnu Ishak
sirah ibn ishak
Ibnu Ishak mempunyai satu karya yang berjudul Al-Maghazi. Karya beliau ini tidak dijumpai dengan sempurna sehingga hari ini, namun sebahagian dari kitab ini telah dicetak di Maghribi beserta tahkik Dr. Muhammad Hamidullah Al-Haidar Abadi, kemudian dicetak buat kali kedua di timur tengah beserta tahkik Dr. Suhail Zukar. Boleh jadi kitab ini akan dijumpai dengan sempurna pada masa hadapan. Walaupun kitab ini tidak sampai ke tangan kita dengan sempurna, tetapi kita telah mendapat intipati kitab ini melalui Ibn Hisyam (218H) yang telah meriwayatkan kitab ini melalui perantaraan murid Ibn Ishak; Ziyad Al-Bakkaai (183H) dan kemudiannya mengumpulkan isi penting kitab ini dan menambah baik kekurangannya.
Jika kita meneliti maklumat-maklumat berkaitan kitab Al-Maghazi ini yang terdapat dalam kitab Tarikh At-Thobari, kitab Tarikh Makkah karangan Al-Azraqi, dan kitab Thabaqat Ibn Saad, serta kitab-kitab ahli hadis yang menceritakan tentang sirah nabawiyah, kita dapat membuat kesimpulan bahawa kitab Ibnu Ishak ini terbahagi kepada tiga bahagian; Al-Mubtada’ (permulaan), Al-Mab’ats (pengutusan), dan Al-Maghazi (peperangan).[3]
Bahagian pertama kitab ini iaitu Al-Mubtada’ mengumpulkan kisah kejadian-kejadian, kisah rasul-rasul, dan kisah wahyu sebelum Islam. Sumber pengambilan Ibnu Ishak dalam bab ini adalah Wahab Bin Munabbah, Kaab Al-Ahbar, kitab-kitab yahudi dan nasrani yang sampai ke tangan arab dan umat Islam, begitu juga khabar-khabar yang diceritakan oleh ahli kitab yang memeluk Islam. Beliau juga ada menceritakan dalam bab ini sejarah kabilah-kabilah arab dan kejadian yang berlaku di tengah kehidupan mereka. Josef Horovitz berkata: “Secara keseluruhannya, sanad dan jalan periwayatan amat sukar ditemui pada bahagian pertama; Al-Mubtada’.”[4]
Bahagian kedua pula (Al-Mab’ats) merangkumi kisah hidup Nabi Muhammad Shollallahu ‘Alaihi Wasallam di Mekah dan kisah Hijrah Baginda. Kebiasaannya pada bahagian ini Ibnu Ishak meriwayatkan kisah-kisah beserta sanad, terkadang kisah tersebut didatangkan secara mursal atau tanpa disebutkan sanad. Pada bahagian ini juga, beliau telah menjadi satu-satunya perawi yang meriwayatkan kisah perjanjian yang termaterai antara Nabi dan musyrikin serta yahudi yang menetap di Madinah.
Pada bahagian ketiga pula Ibnu Ishak memberi tumpuan khusus berkenaan kisah-kisah peperangan Nabi. Beliau juga ada menceritakan secara am kejadian-kejadian yang berlaku dalam umat Islam pada zaman Nabi, sehinggalah kisah Nabi sakit dan kewafatan Baginda.
Pada bahagian ini beliau membahagi dan menyusun peristiwa-peristiwa yang berlaku mengikut urutan tahun, beliau juga menjelaskan sanad kisah-kisah dan nama-nama perawinya. Ibnu Ishak juga mempunyai metod yang khusus dalam penyampaian beliau berkenaan kisah-kisah peperangan Rasulullah. Beliau akan memulakan pembicaraan dengan gambaran umum dan kesimpulan ringkas yang mengumpulkan isi-isi utama kisah tersebut, kemudian beliau akan menyebut khabar-khabar yang diriwayatkan oleh ramai perawi bermula dengan perawi yang kuat kehujahannya seperti Az-Zuhri, Humaid At-Thowil, ‘Ashim Bin Umar, dan Abdullah Bin Abu Bakar. Setelah itu, dituruti oleh khabar-khabar yang diriwayatkan secara perseorangan yang beliau kumpulkan dari sumber-sumber yang lain.
Kelemahan Ibnu Ishak
Ibnu Ishak merupakan seorang sejarawan yang amat menitikberatkan maklumat-maklumat sejarah yang bertulis atau yang dihafal oleh para gurunya dan ulama’ yang hidup sezaman dengannya. Beliau amat gemar mencari maklumat berkaitan ilmu sejarah dan suka bertanya tentangnya, sehingga beliau dikenali dengan hal tersebut. Oleh hal yang demikian, banyak orang yang datang berjumpa dengannya untuk memberitahu dan menceritakan kisah kemuliaan nenek moyang mereka. Mereka juga membacakan syair-syair yang memuji keturunan mereka. Kemudian Ibnu Ishak menukil syair-syair ini dalam kitab beliau.
Hal inilah yang menjadi penyebab beliau dikritik oleh Muhammad Bin Salam Al-Jumahi (231H) dan ulama’ lain. Ini kerana kebanyakan syair tersebut tidak sohih, dan kerana beliau mendakwa sebahagian syair tersebut dinukil dari syair yang dibaca pada zaman kaum Aad dan Tsamud serta zaman-zaman lampau. Oleh sebab ini, Ibnu Hisyam telah meninggalkan kebanyakan syair tersebut kerana ia menjadi penyebab tohmahan kepada Ibnu Ishak. Namun begitu, Ibnu Ishak tidak sepatutnya dipersalahkan dan dicela dengan sebab ini kerana beliau bukanlah alim dalam bidang syair.
Pendapat kami berkenaan Ibnu Ishak
Walau apapun yang telah terjadi seperti yang telah disebutkan, kita meyakini jika ditemui semula kitab Ibnu Ishak secara sempurna, sudah pasti ia adalah kitab terulung dan yang paling bermanfaat dalam bidang ilmu sirah. Seterusnya, berikut adalah pendirian kami berkenaan Ibnu Ishak:
1. Jika Ibnu Ishak betul atau salah dalam menceritakan kisah umat terdahulu sebelum Islam, maka hal tersebut tidak akan memberi sedikitpun kemudaratan terhadap sirah Rasulullah. Dalam hal ini, kesemua ulama sama ada yang sezaman dengan Ibnu Ishak atau yang datang setelahnya sama sahaja; kesalahan mereka dalam bab ini tidak memberi kesan kepada sejarah Nabi.
2. Kisah-kisah kerasulan dan peperangan yang beliau riwayat berserta sanad, hendaklah dilihat dan dihukum berdasarkan sanadnya, dalam masa yang sama dengan melihat Ibnu Ishak sendiri sebagai seorang perawi yang boleh dipercayai seperti yang telah diterangkan.
3. Jika kisah-kisah kerasulan dan peperangan tersebut diriwayatkan secara mursal atau tanpa sanad, dan bercanggah dengan hadis yang diriwayatkan secara bersanad dan sohih, maka kita berpegang kepada hadis yang sohih itu, melainkan jika ada perkara yang kuat yang mentarjih qaul Ibnu Ishak.
4. Jika kisah-kisah kerasulan dan peperangan tersebut diriwayatkan secara mursal atau tanpa sanad, dan tidak ada sebarang sumber lain yang bercanggah dengannya, maka Ibnu Ishak lebih berautoriti dan lebih didahulukan berbanding ulama’ selainnya dalam masalah ini. Dan kata-katanya dalam perkara ini dianggap sebagai hujah.
Inilah manhaj yang diambil oleh ulama’-ulama’ Islam yang telah mengumpul jalan dan sanad periwayatan seperti Amirul Mukminin Fil Hadis Ibnu Hajar Al-Asqolani. Kerana inilah kita mendapati beliau mendahulukan hadis sohih dari khabar yang diriwayatkan oleh ahli sirah – yang antara mereka itu adalah Ibnu Ishak. Beliau menyebut dalam kitab Fathul Bari: “Pendapat yang mengatakan bahawa khabar yang diriwayatkan dalam ilmu sirah lebih kuat dari hadis sohih adalah tertolak.”[5]
Namun, jika tidak terdapat sebarang riwayat yang sohih sanadnya berkenaan sesuatu peristiwa, seperti kisah penebusan tawanan perang Badar, maka kita boleh berpegang dengan kata-kata Ibnu Ishak. Ibnu Hajar sendiri telah menegaskan hal ini secara tidak langsung melalui kata-katanya: “Sesungguhnya Ibnu Ishak telah menyebutkan secara terperinci akan peristiwa penebusan tawanan perang Badar, dan apa yang disebutkannya itu sudah mencukupi dan memadai.”
Percanggahan Ibnu Ishak
Terdapat beberapa maklumat yang disebut oleh Ibnu Ishak yang bercanggah dengan sumber yang sohih. Antaranya adalah pendapatnya yang mengatakan bahawa jumlah orang yang keluar bersama Nabi menuju ke Hudaibiyah adalah seramai 700 orang, sedangkan maklumat yang datang dari sumber yang sohih mengatakan bahawa jumlah mereka adalah 1400 orang. Dan dalam riwayat lain yang juga sohih mengatakan jumlah mereka lebih dari 1400 orang.[6] Ulama’ mengatakan bahawa pendapat Ibnu Ishak ini adalah berdasarkan pemahamannya terhadap kisah ini, bukanlah berdasarkan riwayat. Ini kerana jumlah unta yang disembelih sebagai dam bagi orang dihalang masuk ke Mekah untuk menunaikan haji ketika itu adalah 70 ekor unta, dan setiap seekor unta itu adalah dam bagi 10 orang, maka jumlahnya adalah 700 orang.
Ibnu Ishak juga berpendapat bahawa jumlah Ashab Ar-Raji’ adalah 6 orang, sedangkan Imam Al-Bukhari meriwayatkan dengan sanad yang sohih bahawa jumlah mereka adalah 10 orang.[7] Ibnu Ishak juga mengatakan bahawa jumlah Ashab Bi’r Ma’unah adalah seramai 40 orang lelaki, sedangkan Imam Al-Bukhari dan ulama’ lain mengatakan bahawa jumlah mereka adalah seramai 70 orang lelaki.[8] Begitu juga pendapatnya yang bercanggah dengan apa yang disebut di dalam kitab Sohih Muslim berkenaan penyertaan Saad Bin Ubadah dalam peperangan Badar.[9]
Ibnu Ishak dan gurunya Az-Zuhri
Dan ingin kami jelaskan di sini bahawa dakwaan yang mengatakan Ibnu Ishak banyak beriktimad kepada gurunya Az-Zuhri dalam ilmu sirah adalah satu dakwaan yang tidak jelas dan tidak dapat dibuktikan berdasarkan nuskhah sebahagian kitab beliau yang telah dijumpai dan dicetak. Kami telah mengira kisah-kisah yang beliau riwayat melalui jalan periwayatan Az-Zuhri dan ternyata kisah-kisah tersebut hanyalah lebih kurang 15 buah kisah. Dan kisah-kisah ini kebanyakannya disebut dalam kitab hadis sohih dan sunan-sunan, dan tidak terdapat antara kisah ini satupun yang tidak diketahui, bahkan kesemuanya adalah kisah yang makruf. Hal ini mendokong dan menguatkan kata-kata Imam Al-Baihaqi berkenaan Ibnu Ishak: “Dan Muhammad Bin Ishak; jika beliau menyebut satu hadis yang beliau riwayat, dan ternyata perawi yang menyampaikan hadis itu seorang yang tsiqah, maka hadis beliau itu baik sanadnya.”[10]
Kami juga mendapati dalam nuskhah sebahagian kitab ini yang telah tercetak terdapat banyak penambahan yang yang dilakukan oleh Yunus Bin Bakir, dan terdapat beberapa penambahan dari Ahmad Bin Abdul Jabbar yang beliau nukil dan riwayat dari Yunus Bin Bakir.[11]
Penutup
Kesimpulannya, kitab Ibnu Ishak ini adalah kitab yang terbaik dan yang paling banyak memberi manfaat dalam ilmu sirah sejak dahulu sehinggalah ke hari ini. Walaupun kita tidak dapat membacanya dan mentelaahnya secara sempurna, tetapi apa yang telah sampai ke tangan kita melalui Ibnu Hisyam yang meriwayatkan ilmu sirah Ibnu Ishak dengan perantaraan Abu Muhammad Ziyad Bin Abdullah Al-Bakkai telah memberikan gambaran umum bagi kitab tersebut. Dan Al-Bakkai merupakan seorang yang dipercayai dalam ilmu sirah seperti yang telah diakui oleh ramai ulama’. Oleh itu, tidak akan timbul dakwaan yang mengatakan sirah yang diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam adalah tidak sohih.
sirah nabawiyah
Ibnu Hisyam telah menyebut manhaj beliau dalam menyusun ringkasan Sirah Ibnu Ishak: “Aku meninggalkan kisah-kisah yang disebut oleh Ibnu Ishak yang tidak ada sebarang kaitan dengan Rasulullah, dan tidak ada kaitan dengan Al-Quran serta sebab penurunan Al-Quran, dan bukan juga penafsiran bagi Al-Quran, serta bukan bukti-bukti yang menyokong kebenaran Al-Quran. Ini adalah untuk meringkaskan kitab ini. Aku juga meninggalkan syair-syair yang tidak makruf disisi ahli syair, dan begitu juga beberapa perkara yang tidak elok untuk disebut, kisah-kisah yang memburukkan sebahagian manusia, dan kisah-kisah yang mana guruku Al-Bakkai tidak mengiktiraf riwayatnya. Dan aku berusaha sedaya upaya untuk mengumpulkan sebanyak mungkin selain dari perkara yang telah disebutkan…”[12]
Beliau telah menjelaskan di beberapa tempat kalimat-kalimat asing, atau nama yang tidak dikenali yang terdapat dalam kitab Ibnu Ishak. Beliau juga ada bercanggah pendapat pada beberapa tempat, dan beliau juga membetulkan perkara yang dilihat salah dalam kitab tersebut.
Ramai ulama’ dari zaman dahulu sehinggalah hari ini mengambil berat akan kitab Sirah Ibnu Hisyam, ada yang mensyarah kitab ini, ada yang meringkaskannya, ada yang mentakhrij hadis-hadisnya, dan ada yang menambah baik isinya. Antara ulama yang telah berjasa besar dalam menambah baik kitab ini adalah Al-Hafiz Mus’ab Bin Muhammad Bin Mas’ud. Beliau telah menghuraikan lafaz-lafaz yang susah dan asing yang terdapat dalam kitab ini. Syarah beliau yang ringkas dan padat ini telah diberi nama Al-Imla’ Al-Mukhtashor Fi Syarhi Gharib As-Sirah.
raudhu
Tidak lupa juga Syarah Imam Abdur Rahman As-Suhaili Al-Andalusi yang dikebumikan di Marrakech, Maghribi. Kitab beliau ini yang diberi nama Ar-Raudhul Unuf adalah syarah bagi Mukhtashor Ibnu Hisyam. Ia adalah sebuah kitab yang amat bernilai, sarat dengan ilmu dan faedah, penuh dengan penerangan darjat sohih dan dhoif, kaya dengan penerangan masalah Bahasa dan nasab keturunan, serta memudahkan perkara-perkara yang susah. Imam Az-Zahabi (748H) telah meringkaskan Ar-Raudhul Unuf dan menamakan kitab beliau tersebut Bulbul Ar-Raudh.
Wallahua’lam.
*Terjemahan dan olahan kitab مصادر السيرة النبوية وتقويمها karangan Dr. Faruq Hamadah, ms/89-94.
Ditulis oleh Ustaz Zainul Islam

[1] Abu Bakar Muhammad Bin Ishak Bin Yasar (151H). Sejarawan Islam pertama. Rujuk Siyar A’lam An-Nubala 7/33, Cetakan Muassasah Ar-Risalah.
[2] Lihat maklumat lanjut berkenaan Ibnu Ishak dalam: Taqrib At-Tahzib, 2/144. Khulasoh Tahzih Al-Kamal, 278. ‘Uyunul Atsar, 1/8. Dan lain-lain.
[3] Maklumat ini di sebut oleh seorang ilmuan orientalis bernama Josef Horovitz dalam artikel beliau yang disiarkan dalam majalah ‘Islamic Culture’ di India yang kemudiannya diterjemah oleh Husain Nasshar dan dibukukan dengan tajukالمغازي الأولى ومؤلفوها. Buku ini amat bagus tetapi dipenuhi dengan fahaman-fahaman songsang oriantalis.
[4] Al-Maghazi Al-Ula, 84.
[5] Fathul Bari 7/421,461.
[6] Fathul Bari 7/441.
[7] Lihat: Uyunul Atsar, 2/41. Fathul Bari, 7/278.
[8] Lihat: Fathul Bari, 7/285.
[9] Sohih Muslim: Bab Peperangan Badar, hadis: 1779.
[10] Zadul Mi’ad, 1/99.
[11] Lihat Al-Maghazi 209&269.
[12] Lihat Sirah Ibnu Hisyam.

http://www.aswj-rg.com/2015/11/imam-ibnu-ishak-berdasarkan-neraca-ilmu.html

Lazada Malaysia

%d bloggers like this: