Ketika hamba berada di daerah Tuban, Indonesia menziarahi makam Sunan Bonang, sewaktu berada di hotel penginapan – lebih kurang 1km dari kawasan makam – hamba mengikuti satu rancangan keagamaan di television, yang mana seorang Kyai yang masyhur di daerah Tuban berucap, diantara butirannya beliau menyebut bahawa Sunan Bonang pernah menuntut ilmu di Pulau Besar dengan Sultan Arifin, seorang Wali besar.

Beliau menambah bahawa rakyat Malaysia rata-rata kurang mengenali sejarah Wali Agung Pulau Besar itu oleh kerana tiada diangkat kisahnya sebagaimana yang berlaku di Indonesia. Begitulah secara ringkasnya yang diceritakan Kyai itu yang membuatkan hamba agak merasa malu kerana jahil mengenai kisah Wali Pulau Besar, yang mana sebenarnya boleh dikatakan sebagai suatu kebanggaan bagi kita.

Sultan Arifin atau nama sebenarnya Syaikh Ismail bin Saiyid Abdul Qadir bin Saiyid Abdul Jabbar r.a, beliau merupakan keturunan ke-18 Rasulullah s.a.w. Beliau dilahirkan pada 17 Rabi’ul Awwal 867H, bersamaan 1463M di Baghdad, Iraq. Beliauvjuga dikenali di kepulauan Melayu dengan gelaran Wali Lanang. Moyang beliau Sultan Al-Awliya’ Syaikh Abdul Qadir Al-Jailani, seorang waliyullah yang masyhur di seluruh dunia.

Menurut riwayat, ketika beliau berada di Madinah menziarahi Makam Nabi s.a.w, beliau terdengar satu suara yang menyuruh agar beliau pergi ke Kepulauan Jawa untuk mengembangkan ajaran Islam. Beliau akhirnya tiba di Pulau Besar bersama-sama sahabatnya seramai 16 orang termasuk guru beliau Syaikh Yusof As-Siddiq serta saudaranya Saiyid Ibrahim pada 1495M bersamaan 900H.

Di Pulau Besar, ajaran Islam berkembang dengan pesatnya serta beliau mempunyai anak murid dan pengikutnya yang ramai dari kepulauan Tanah Melayu termasuk India, Samudera Pasai, Champa dan Kelantan. Diantara anak muridnya yang sangat masyhur iaitu Raden Maulana Makdum Ibrahim atau Sunan Bonang dan Raden Paku atau Sunan Giri.

Beliau wafat pada 17 Rabi’ul Awwal tahun 925H dalam usia 58 tahun. Dan jasadnya dikebumikan di Pulau Besar. Al-Fatihah.

Dapatkan Doa,Zikir,Tasbih serta Mutiara Kata di instagram kami : https://www.instagram.com/pondokhabib/

والله أعلم بالصواب