Kesimpulan:
Setelah paparan ringkas berkenaan al-Syaykh Ibn ‘Arabiy, terutamanya tentang pemikirannya, maka dapatlah dibuat beberapa kesimpulan:
5.1.1 Al-Syaykh Ibn ‘Arabiy adalah seorang ulama besar dan bertaraf wali Allah, malah beliau telah dianggap sebagai al-Syaykh al-Akbar Sultan al-‘Arifin, yang merupakan satu gelaran yang amat tinggi dalam kedudukan tasawuf.
5.1.2 Kajian ramai sarjana mendapati bahawa al-Syaykh Ibn ‘Arabiy adalah bebas daripada pemikiran wahdat al-wujud seperti yang ditafsir oleh pengkritik tasawuf. Pemikiran wahdat al-wujud yang disandarkan kepada beliau sebenarnya adalah pemikiran atau teori wahdat al-syuhud. Wahdat al-syuhud pula adalah satu teori tasawuf yang rata-rata mendapat komentar positif daripada ulama. Pengkritik Ibn ‘Arabiy telah tersilap memahaminya dan telah menganggapnya sebagai wahdat al-wujud.
5.1.3 Jika pengkritik Ibn ‘Arabiy tetap mahu mengaitkan beliau dengan pemikiran wahdat al-wujud, maka pemikiran ini hendaklah difahami sebagaimana yang telah dihuraikan oleh para sufi, bukannya sebagaimana yang dihuraikan oleh pengkritik tasawuf yang terang-terang menyimpang daripada kehendak mereka dalam penggunaan istilah tersebut.
5.1.4 Kata kunci dalam memahami konsep ini wahdat al-wujud terletak pada kefahaman berkenaan dengan konsep al-wujud dengan segala pecahannya; wahdat al-syuhud, al-wujudal-haqiqiy dan al-wujud al-wahmiy, al-wujud al-haqqiy dan al-wujud al-khalqiy atau wajib al-wujuddan wujud al-mumkinat, al-wujud al-haqq, al-wujud al-mutlaq, al-wujud al-wahid dan lain-lain.Persoalan yang timbul hanya berupa cara pengolahan, pengistilahan dan perumpamaan (tamsthil) yang cuba sedaya upaya dibuat oleh setiap tokoh. Masing-masing mahu menyampaikan apa yang adalah dalam minda tetapi ungkapan itu dikekang oleh keterhadan bahasa, kerana ilmu tasawuf itu keseluruhannya berasaskan dhawq.
5.1.5 Pemikiran al-Syaykh Ibn ‘Arabiy pada umumnya adalah selari dengan kaedah keilmuan dalam Islam. Banyak ilmu yang dicurahkannya dalam karya-karya beliau adalah merupakan ilmu Islam yang amat berguna.
5.1.6 Secara relatif, tahap pemikiran beliau adalah sangat tinggi dalam banyak tempat dalam karya-karya beliau sehingga sukar difahami atau boleh difahami sebaliknya. Pembacaan terhadap karya-karya beliau memerlukan kemampuan pembaca yang tinggi sama ada dari segi latar belakang ilmu, atau dari segi latar belakang pengalaman tasawuf.
5.1.7 Sebahagian pemikiran al-Syaykh Ibn ‘Arabiy mungkin sangat sukar difahami oleh orang biasa. Justeru, mengambil sikap sederhana terhadap idea-idea tersebut adalah lebih selamat berbanding mentakwil atau menolaknya.
5.1.8 Penafsiran yang dibuat oleh para sarjana berhubung doktrin tasawuf al-Syaykh Ibn ‘Arabiy tidak seharusnya diterima bulat-bulat kerana fahaman-fahaman tersebut hanyalah merupakan tanggapan sahaja. Ia bukan satu keyakinan yang mantap sebagaimana yang dikehendaki oleh al-Syaykh Ibn ‘Arabiy sendiri.
5.1.9 Penafsiran tentang hakikat al-wujud ini bukannya milik al-Syaykh Ibn ‘Arabiy seorang sahaja, atau mana-mana ahli sufi tertentu sahaja, malah ia adalah persoalan umum yang dibincangkan secara terbuka oleh ulama sufi. Ulama dan sarjana berselisihan pendapat dalam membuat kesimpulan tentang pemikiran ini sehingga ada yang menyimpulkannya bahawa ia adalah wahdat al-syuhud dan ada yang menganggapnya sebagai wahdat al-wujud. Sementara ulama yang menganggap pemikiran itu bercorak sebagai wahdat al-wujud pula mempunyai pandangan yang berbeza-beza tentang pengertian wahdat al-wujud. Maka ada yang menafsirkan secara positif dan ada yang menafsirkannya secara negatif dan boleh membawa kepada kufur.
Dr Sulaiman bin Ibrahim
Mantan Pensyarah Jabatan Pengajian Dakwah Dan Kepimpinan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
*Untuk bacaan penuh sila tekan:
http://www.muftins.gov.my/v1/2019/04/19/al-syaykh-ibn-arabiy-dan-pemikiran-wahdat-al-wujud/