[Kisah 45]

Disediakan oleh: Ustaz Owais Al-Qarni

Ada orang pernah bertanya kepada Ibrahim,

“Adakah tuan pernah mengalami perasaan gembira dalam hidup tuan?”

Ibrahim menjawab,

“Dalam hidupku sebagai seorang sufi, dua kali saya merasa gembira. Satu kali ialah di satu masa saya dengan rambut menggerbang dan pakaian compang-camping sedang duduk dalam sebuah perahu. Di kala itu datang seorang tukang lawak yang memperli saya dan menampar-nampar saya. Saya sungguh suka dengan peristiwa itu kerana dengan itu diriku terasa sangat terhina.

Di satu masa lagi ialah pada suatu masa, saya tertidur dalam sebuah masjid kerana terlalu penat. Tiba-tiba datang orang menarik kaki saya dan mencampak saya melalui tangga, dengan marahnya. Saya jatuh dari atas hingga ke bawah tangga. Kepala saya berdarah cedera dan kaki saya patah.

Tetapi pada setiap anak tangga tempat saya terjatuh itu, pengalaman Nur kerohanian jatuh ke dalam hati saya (keenakan rohani dirasakan di setiap anak tangga). Apabila sampai ke bawah, saya berasa sedih kerana tidak ada anak tangga lagi, dan tidaklah saya dapat lagi merasai pengalaman seperti itu seterusnya.”

Ibrahim juga pernah berkata,

“Suatu hari, seorang pelawak memerli saya di khalayak ramai. Saya sangat gembira lalu katakan kepada diriku, ‘sungguh kamu ini tidak berguna lagi.'”

“Apabila kutu masuk ke dalam pakaianku dan menggigit badanku, saya memujuk diriku supaya jangan sedih kerana tidak lagi memakai pakaian raja yang saya pakai dahulu.”

Di waktu yang lain ada orang bertanya kepada Ibrahim,

“Dari mana tuan mendapat makanan?”

Beliau menjawab,

“Tanyalah kepada Dia yang memberiku makan, tanyalah Dia kerana itu bukan urusan saya dan saya tidak ada masa menjawab pertanyaan yang remeh dan tidak berkaitan dengan saya itu.”

Ibrahim pernah berpesan,

“Sekiranya seseorang itu tidak sanggup berpisah dengan manusia dan anak-anaknya, dan tidak sanggup tidur seperti anjing sesat di timbunan najis pada malam hari, maka dia tidak layak masuk golongan Auliya (wali Allah).”

Suatu hari pada permulaan perjalanan beliau sebagai sufi, sekumpulan Auliya sedang duduk berbicara tentang kerohanian. Ibrahim pergi ke majlis mereka itu. Dengan segera mereka halau Ibrahim kerana ada bau kerajaan pada pakaiannya. Peristiwa itu menyebabkan beliau insaf dan kecewa kerana belum berjaya membuang semua kesan-kesan kerajaannya.

Ibrahim berkata,

“Buangkan dunia dan bersahabatlah dengan Allah. Inilah nasihatku. Lepaskan ikatan dengan harta dan ikatkan lidahmu. Jangan cakap banyak dan banyakkan sedekah.”

Ibrahim berkata,

“Kamu tidak dapat masuk dalam golongan Auliya Allah sekiranya kamu tidak sanggup menukar tidurmu dengan jaga, kekayaan dengan kemiskinan, kemuliaan dengan kehinaan, usaha dengan pemberian.”

Rujukan: Tazkiratul Auliyaa’, Syaikh Fariduddin Al-Attar, terjemahan bahasa Melayu, Pustaka Aman Press.

Nota: Ramai para wali menyebut, “barangsiapa mengenal diri, akan mengenal Allah”, maka ramailah yang menafsirkan dengan pelbagai tafsiran aneh dan falsafah yang pelik-pelik sehingga mengeluarkan teori yang langsung tidak berkaitan. Ada yang suruh mengenal diri secara batin, disertai dengan istilah-istilah pelik, mengenal kekuatan diri, keupayaan diri, roh, jasad, jiwa dan sebagainya.

Yang sebenarnya dimaksudkan para wali Allah dengan perkataan itu ialah “sedarlah diri itu hanya seorang yang hina”. Mengenal diri beerti mempunyai kesedaran tentang kedudukan diri. Kenal diri ini sebagai hamba dan hina. Kita tidak punya apa-apa kemuliaan dan kelebihan, hanyalah umpama tong najis yang dibawa ke sana ke mari. Hanya dengan ihsan Allah najis tidak berbau selagi ia tersimpan di dalam perut.

Jadi para wali berusaha keras untuk “redha” dengan kehinaan kerana apabila mereka pasrah dengan kehinaan, maka hati mereka bebas sebebasnya daripada segala penyakit hati. Orang yang bebas daripada penyakit hati, maka merekalah yang paling layak menjadi wali Allah kerana wali Allah itu bukan mereka yang banyak ilmu, zikir, ibadat, dakwah. Kerana semua usaha itu telah didahului oleh Iblis satu masa dahulu. Tetapi wali Allah ialah mereka yang hatinya bersih berkilat, tidak gembira dipuji, tidak marah dihina, sentiasa sedar diri hanya hamba yang tidak berkuasa. Inilah yang tidak didapati oleh Azazil padahal dialah paling banyak ibadat, paling banyak ilmu, paling tinggi makrifat ketuhanan, tapi sayangnya hatinya membusuk dan cintakan kemuliaan. Merasa diri lebih mulia dari nabi Adam. Maka dilaknat ia menjadi iblis hingga kiamat. Maka sesiapa yang masih cintakan kemuliaan dan bencikan kehinaan, maka tiada beza mereka dengan Iblis walaupun ibadat mereka hebat, zikir mereka beribu, dakwah mereka sedunia, ilmu mereka selautan. Wallahua’lam.

-admin Owais

Dapatkan Doa,Zikir,Tasbih serta Mutiara Kata di instagram kami : https://www.instagram.com/pondokhabib/

http://wordpress.com/refer-a-friend/x3gQEX8ule84pmWqXjl