Muhasabah Diri; “Dan hendaklah kamu merendahkan diri kamu. Sifat merendah diri adalah sifat orang-orang soleh. Agama ini adalah agama yang beradab kepada Allah سبحانه وتعالى maka janganlah kamu merasa takabbur. Janganlah kamu merasa lebih baik, lebih besar daripada makhluk yang lain hatta seekor anjing kurap sekalipon.”

“Hendaklah kita mengusahakan untuk mencapai mati sebelum mati, apakah mati sebelum mati? Mematikan segala kudrat kita, pencapaian kita, bukan kita yang dapat solat, dapat hadir ke majlis ilmu, dan semuanya itu, adalah taufik dan hidayah serta kehendak Allah سبحانه وتعالى. Bukan kita, Allah سبحانه وتعالى yang mengizinkan. Allah سبحانه وتعالى yang memperjalankan, matikanlah segala pengakuan dan penyaksian di dalam diri kita dan serahkan segalanya kepada Allah.”

“Dan jika semua manfaat dan mudarat daripada Allah سبحانه وتعالى, adakah kita akan merasa kagum, ujub, riak dengan kelebihan dan kemampuan diri kita? Tidak. Kerana dia telah memahami yang dia hanya berjalan diatas skripnya Allah, semuanya telah tertulis didalam luh mahfuz. Allah سبحانه وتعالى lah yang memberi kudrat kepada kita diatas segala apa yang kita lakukan.”

“Lalu, Mengapa manusia ego bila berdiri dan berasa hina bila bersujud?
Manusia bila mereka berdiri, akal mereka berada di atas, yakni tempat yang paling atas, daripada semua anggota badan. Maka itulah letaknya ego manusia. Manusia berasa akal mereka adalah satu perkara yg paling Mulia kerana tempatnya berada di atas.”

“Maka bilamana mereka sujud, barulah mereka sedar bahwa akal mereka itu terletak di tempat yg paling rendah. Maka seorang mukmin yg beriman, mereka akan merasakan bahwa akal mereka itu bukan sesuatu utk dibanggakan malah ianya hina jika kosong dengan ilmu Allah سبحانه وتعال.”

“Bacalah doa; “Ya Allah, sesungguhnya aku ini masih banyak yang tidak faham dan kekurangan, maka lindungilah kelemahan dan kekurangan ini dgn sesuatu amal yg bermanfaat.”

“Dan di dunia ini, tidak ada apa apa utk dibanggakan kerana ketinggian, kemegahan itu sifatnya bukan kekal melainkan Allah سبحانه وتعالى lah Yang Maha Kekal. Tidak ada awal dan akhir bagi Allah سبحانه وتعالى.”

“Dan, Kamu tidak akan mencapai hakikat tasawuf itu sendiri, jika kamu masih melihat diri kamu lebih baik daripada orang lain. Hakikat diri kamu sendiri adalah fana, binasa, perish. Dalam diri kamu itu tiada apa apa. Allah سبحانه وتعالى yang menciptakan kamu. Yang ada, hanyalah Allah سبحانه وتعالى.”

“Ada satu kisah, satu hari di zaman Rasulullah ﷺ. Pada waktu itu Rasulullah bersama para Sahabat yang lain berada di dalam masjid, para Sahabat terlihat seorang lelaki dimana lelaki ini melihat bahawa dirinya lebih baik daripada orang sekelilingnya.”

“Lalu ditanyakan oleh Rasulullah kepada Para Sahabat; “Apakah pandangan kalian kepada lelaki itu?” Dijawab oleh para Sahabat; “Lelaki ini layak dikatakan padanya, apabila dia merisik pasti diterima. Dia pasti akan dikahwinkannya. Apabila dia meminta, pasti tidak ada orang yang akan menolaknya.”

“Rasulullah ﷺ hanya diam sahaja.”
“Lelaki itu masuk sambil duduk dengan kemegahan.” Kemudian. Setelah itu, masuk pula seorang lelaki yang miskin secara zahirnya tetapi mempunya sifat yang jujur kepada Allah سبحانه وتعالى dan ketaqwaan yang tinggi. Akan tetapi dia miskin papa kedana.”

“Lalu ditanyakan soalan yang sama oleh rasulullah ﷺ kepada Sahabat. Dan Sahabat menjawab; “Wahai Rasulullah, Lelaki ini layak dikatakan padanya. “Apabila dia merisik, tentu tidak ada siapa yg mahukannya kerana dia tidak ada apa apa padanya. Dan apabila dia meminta, tentu tiada siapa yg akan memberinya.”

“Rasulullah ﷺ kemudian menjawab; “Orang yang ini adalah lebih baik daripada orang yang memiliki dunia ini serta isinya seperti orang yang tadi itu. “Lalu Rasulullah menuju kepada lelaki yang masuk ke masjid itu dengan keadaan yang bermegah itu.”

“Ditanya oleh Rasulullah; “Seketika kamu masuk ke dalam masjid tadi; “Adakah kamu berkata di dalam hati kamu bahwa kamu adalah orang yg lebih baik daripada manusia yang lain?” Dijawab oleh lelaki itu; “Ya! Sungguh aku tidak mampu untuk menipu mu, Ya Rasulullah.”

“Lalu Rasulullah ﷺ menjawab; “Sesungguhnya, aku telah nampak bintik bintik hitam di wajah kamu.” Janganlah kita suka merasa diri kita, lebih baik daripada orang lain, berasa megah dengan kealiman yang ada pada diri, berasa diri lebih hebat daripada orang yang lain.”

“Mereka yang bangga diri, didalam angan-angan. Aku yang soleh, aku yang baik, aku yang alim, aku yang buat semua ini. Semua aku, aku. Semuanya adalah berpunca dari segala sifat keakuan diri sendiri iaitu dipanggil sebagai hawa nafsu didalam diri manusia. Tidak akan masuk syurga orang yang ada sifat takabur didalam dirinya walau sebesar zarah sekalipon. Jadi, mari kita lihat diri kita sendiri.”

“Allah سبحانه وتعالى kurniakan kita dua mata. Satu mata untuk melihat kebaikan orang lain, dan satu mata lagi untuk melihat keburukan diri kita sendiri. Dan semua orang mengetahui bahawa masing-masing ada keaiban diri, masing-masing ada zaman kegelapan yang orang lain tidak tahu.”

“Akan Tetapi Allah سبحانه وتعالى masih tutup lagi keaiban itu, kegelapan itu daripada mata orang lain, daripada pengetahuan orang lain. Jika kamu memahami perkara tersebut, bagaimana kamu boleh bersangka buruk kepada orang lain?”

“Kamu boleh menganggap kamu lebih baik dari orang lain. Sedangkan kamu juga mempunyai aib. Maha suci Allah yang menutup aib manusia. Mana mungkin kamu melihat sedemikian, kamu juga mempunyai aib seperti mereka. Orang lain juga bukan Nabi. Mereka juga bukan Rasul, bukan Malaikat.”

Guru mulia kami. Tasawwuf. Darul Mujtaba. Maulana Iqbal Zain Al-Jauhari.

Dapatkan Doa,Zikir,Tasbih serta Mutiara Kata di instagram kami : https://www.instagram.com/pondokhabib/