Dakwaan sifat 20 dari falsafah Yunani adalah dakwaan palsu dan jahat daripada golongan penentang. Dakwaan ini dapat dibantahkan dengan hujjah berikut:

PERTAMA: Sesiapa saja yang mempelajari sifat 20 pasti mengetahui setiap sifat bersandarkan kepada dalil naqli (Al-Quran Hadis) dan dalil aqli. Tiada suatu sifat direka-reka berasaskan fikiran semata-mata.

KEDUA: Tiada satu sifat pun dihuraikan berlandaskan kaedah dan penghujjahan daripada ahli falsafah Yunani. Bahkan ahli falsafah Yunani kebanyakkannya cenderung kepada penafian agama dan melepaskan diri daripada terikat dengan mana-mana agama. Sedangkan perbincangan sifat 20 bersekitar kesempurnaan sifat Tuhan sekalian alam.

KETIGA: Tokoh-tokoh falsafah Islam bukan terdiri daripada ulama Asyairah yang menyusun sifat 20. Antara ahli falsafah Islam ialah Al-Kindi, Al-Farabi, Ibn Sina dan Ibn Rushd. Mereka mempunyai asas perbincangan tersendiri yang berbeza dengan penghujjahan sifat 20. Bahkan tidak sedikit pandangan ahli falsafah Islam dikritik oleh ulama Asyairah.

KEEMPAT: Dalil naqli yang menjadi sumber kepada Asyairah ialah Al-Quran dan As-Sunnah. Bahkan As-Sunnah yang menjadi dalil mempunyai syarat yang ketat seperti hadis mutawatir yang qati’e thubut dan qati’e dilalah. Oleh itu, hadis Ahad tidak diterima sebagai sumber kepada usul aqidah. Ini menunjukkan pengajian sifat 20 amat menekankan aspek ketelusan dalil yang digunapakai. Berbeza dengan golongan penentang sifat 20 yang menjadikan hadis ahad, hadis mudhtarib, hadis dhaif dan qaul dhaif sebagai asas aqidah mereka.

KELIMA: Ulama Asyairah ramai daripada kalangan ahli hadis besar seperti Imam Fakhruddin Ar-Razi, Imam Al-Baihaqi, Imam Ibnu Jauzi, Imam As-Sanusi, Imam Asy-Suyuthi dan lain-lain. Jika benar dakwaan sifat 20 daripada falsafah yunani maka sudah tentu ahli-ahli hadis tidak akan menerimanya sebagai pegangan aqidah mereka.

KEENAM: Jika terdapat sedikit persamaan antara sifat 20 dan falsafah Yunani maka ia tidaklah membenarkan dakwaan tersebut. Hal ini kerana aqidah dan falsafah berkongsi sifat yang sama iaitu membentuk kepercayaan dan keyakinan. Atas dasar ini persamaan yang ada tidak menunjukkan sifat 20 dicedok daripada falsafah Yunani. Bahkan sifat 20 mempunyai asas dan kaedah yang jauh berbeza dengan falsafah Yunani.

KETUJUH: Pengajian sifat 20 membawa kepada monoteisme (kepercayaan Tuhan tunggal). Hal ini berbeza dengan agama di Yunani yang berasaskan politeisme (kepercayaan banyak tuhan). Bagaimana orang yang mempunyai akal sihat boleh dakwa sifat 20 diambil daripada falsafah Yunani?

Berdasarkan keseluruhan hujjah-hujjah di atas, masih wujudkah manusia yang berani mendakwa sifat 20 daripada falsafah Yunani?

Disediakan oleh:
Ustaz Hafiz Al-Za’farani (HAZA)
——————————-
Sumber : https ://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2505204393097244&id=1697348283882863