Bismillahirrahmanirrahim

Image may contain: ‎text that says '‎محماد Dari Anas ra. ia berkata; telah bersabda Rasulullah saw.: "Tidak beriman seseorang hamba hingga aku lebih dicintai daripada keluarganya, hartanya, dan seluruh manusia yang lainnya' [Mutafaq 'alaih]‎'‎

Tsauban r.a adalah seorang pemuda yang tertawan di suatu peperangan.

Kemudian, dibeli oleh Rasulullah s.a.w dan dimerdekakan. Rasulullah s.a.w yang telah menjadi sebab keislaman dan kemerdekaannya itu.

Tsauban r.a sangat kasih dan cinta kepada Rasulullah s.a.w. Beliau selalu berdamping dengan Rasullah s.a.w.

Suatu malam, Tsauban r.a tidak dapat tidur kerana asyik memikirkan dirinya yang tidak dapat terus bersama Rasulullah s.a.w saat itu.

Beliau berbisik kepada dirinya, “Ketika di dunia aku terpaksa berpisah dengan Rasulullah s.a.w. lebih-lebih lagi di malam hari, bagaimana pula di akhirat nanti?

Kalau aku di Syurga, Rasulullah s.a.w. sudah tentu di tingkat yang paling istimewa dan aku di tingkat yang lain.

Dan jika aku di neraka, sudah tentu aku tidak bertemu langsung dengan Rasulullah s.a.w.”.

Disebabkan asyik memikirkan hal itu, beliau tidak dapat tidur sepanjang malam. Pada keesokan hari menjelang Subuh, beliau ke masjid untuk melaksanakan solat subuh berjemaah yang diimamkan oleh Rasulullah s.a.w.

Sesudah solat, seperti biasa Rasulullah s.a.w. akan menghadap ke arah para sahabat. Tiba-tiba Baginda s.a.w terpandang wajah Tsauban r.a yang kedua-dua biji matanya merah. Baginda s.a.w pun memanggil Tsauban r.a ke hadapan.

Rasulullah s.a.w bertanya: “Adakah kamu sakit, wahai Tsauban?”

Tsauban menjawab:”Tidak wahai Rasulullah.”

Rasulullah s.a.w bertanya lagi: “Kenapa kedua-dua matamu merah?”

Tsauban pun menceritakan apa yang telah berlaku semalam.

Ketika itu Rasulullah s.a.w. diam tidak berkata apa-apa kerana Syurga bukanlah milik Baginda s.a.w.

Dalam keadaan begitu, Baginda s.a.w tidak dapat memberi jawapan yang pasti. Maka pada ketika itu, turunlah wahyu yang menjawab persoalan tersebut:

Allah s.w.t berfirman dalam surah An-Nisa’ ayat 69, yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di Syurga) bersama-sama orang yang telah dikurniakan nikmat Allah kepada mereka, iaitu nabi-nabi dan orang-orang yang siddiqin, dan orang-orang yang syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman dan rakan (kepada orang-orang yang taat itu)”.

Kemudian Baginda s.a.w bersabda yang diriwayatkan oleh Anas r.a. yang bermaksud:

“Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya ia telah mencintaiku, dan sesiapa yang mencintaiku, nescaya ia bersama-samaku di dalam Syurga.”