Image result for amazing madinah"

Kata Imam Ghazali dalam Minhajul Abidin (m/s 239):

“Hati ialah raja bagi segala anggota tubuh yang lain. Jika rajanya baik, maka rakyatnya akan turut baik. Jika rajanya rosak, maka rakyatnya juga turut rosak “.

Abu Hurairah RA berkata:

القلب ملك والأعضاء جنوده، فإذا طاب الملك طابت جنوده، وإذا خبث الملك خبثت جنوده.

“Hati adalah raja dan anggota badan yang lain adalah tenteranya. Maka apabila rajanya baik maka baiklah seluruh tenteranya. Apabila buruk rajanya maka buruklah seluruh tenteranya”.

Dalam sebuah hadith yang sahih menyebutkan:

أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ

“Dan ketahuilah bahawasanya dalam jasad manusia ada seketul daging. Jika baik, maka baiklah seluruh jasadnya. Jika rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya. Dan ketahuilah bahawa daging itulah hati”. (Bukhari dan Muslim, Hadith ke-6 dalam Hadith 40).

Dalam hadith yang lain disebutkan:

لا يستقيم إيمان عبد حتى يستقيم لسانه، ولا يستقيم لسانه حتى يستقيم قلبه

“Tidak akan lurus iman seseorang hamba sehinggalah lurus lidahnya dan tidak akan lurus lidahnya sehingga lurus hatinya” (Musnad Ahmad).

ALLAH MELIHAT HATI

إنَّ الله لا ينْظُرُ إِلى أجْسَامِكُمْ ، ولا إِلى صُوَرِكمْ ، وَلَكن ينْظُرُ إلى قُلُوبِكمْ وأعمالكم

“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada jasad kamu dan tidak pula rupa kamu, tetapi Allah melihat kepada hati kamu dan amalan kamu” (Sahih Muslim).

JAGA HATI – MUDAH MASUK SYURGA

Ibnu ‘Asakir menyebutkan dalam Tarikh Dimasyq bahawa Al-Akfani berkata:

أقصر طرق الجنَّة سَلَامة الصَّدر

“Jalan paling pendek untuk ke syurga ialah dada (hati) yang sejahtera”.

JAGA HATI ITU SUKAR

Imam Ghazali menukilkan dalam Minhajul Abidin (m/s 240) bahawa Abu Yazid Al-Bustami, berkata:

“Aku mengubati dan membaiki hati selama 10 tahun. Aku juga membaiki lisan dan nafsuku selama 10 tahun. Di antara ketiga-tiga perkara tersebut, hatilah yang paling sukar untuk diperbaiki. Oleh kerana itu, ambillah dan amalkanlah ilmu ini”.

Syahr Ibnu Hausyab pernah bertanya kepada Ummu Salamah RA tentang doa yang paling kerap dibaca oleh Nabi SAW. Jawab Ummu Salamah:

كَانَ أَكْثَرُ دُعَائِهِ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ.

“Doa yang paling banyak dibaca oleh Rasulullah SAW ialah: Wahai Allah yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu”.

Kemudian kata Ummu Salamah lagi:

فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا أَكْثَرَ دُعَاءَكَ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ قَالَ يَا أُمَّ سَلَمَةَ إِنَّهُ لَيْسَ آدَمِيٌّ إِلَّا وَقَلْبُهُ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللَّهِ فَمَنْ شَاءَ أَقَامَ وَمَنْ شَاءَ أَزَاغَ.

“Maka aku bertanya: Wahai Rasulullah (SAW), sungguh kerap kamu berdoa ‘Wahai Allah yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu’ (apakah sebabnya?). Sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya tiada seorang manusia melainkan hatinya berada di antara ‘usbu’’ Allah. Maka sesiapa yang Allah kehendaki, Allah luruskannya dan sesiapa yang Allah kehendaki, Allah pesongkannya”. (Sunan Tirmizi – beliau menilainya sebagai hasan).