Perkataan ini sering kali kita dengar.

Sering dituju kepada para penuntut Ilmu yang hanya dilihat menyibukkan dirinya bertalaqqi, berteleku di hadapan gurunya serta menghabiskan kebanyakkan masanya dengan Ilmu.

al-Imam Abdul Wahhab As-Sya’rani rahimahullah telah menukilkan di dalam kitab beliau Tanbih al-Mughtarrin perkataan guru Mursyidnya al-Imam Sayyidi Ali al-Khawwas rahimahullah.

Kata Sayyidi Ali al-Khawwas rahimahullah :

ما من حامل علم إلا و هو يعمل به و لو في حق نفسه إذا ارتكب المعاصي ، لأنه يتوب و يندم إذا وقع فيها ؛ فلولا علمه بالحكم ، ما اهتدى لكون ذلك ذنبا و لا تاب منه.

فقد عمل هذا بعلمه من تلك الحيثية ، و إن كان من ارتكب المعاصي لم يعمل بعلمه على مصطلح الناس. أه‍

Maksudnya : [[Tidaklah seseorang yang menanggung Ilmu itu melainkan dia pasti akan beramal dengannya. Walaupun pada hak dirinya sendiri ketika melakukan maksiat.

Ini kerana , dia akan bertaubat dan menyesalinya jika terlibat dengan maksiat dan dosa tersebut.

Jika bukan kerana pengetahuannya tentang hukum tersebut, maka sudah tentu dia tidak akan tahu bahawa perkara yang dilakukannya itu adalah dosa dan sudah tentu dia tidak akan bertaubat daripadanya.

Maka hakikatnya dia telah beramal dengan ilmunya pada sudut tersebut.Walaupun menurut istilah orang ramai , golongan yang melakukan maksiat itu dianggap tidak beramal dengan ilmunya.]] Intaha.

Al-Imam Abdul Wahhab As-Sya’rani rahimahullah memberikan komentar beliau dengan mengatakan bahawa :

فافهم فالعلم نافع لصاحبه على كل حال

Maksudnya :[[ Fahamilah , bahawa Ilmu itu bermanfaat kepada pemiliknya walau dalam apa jua keadaan sekalipun.]]

Saya berkata : Belajarlah, dengan belajar sahaja kamu sudah dikira beramal dengan ilmumu.

Bagaimana ingin beramal kalau Ilmunya tidak dipelajari??

Buah Amal tidak akan dapat dipetik , melainkan daripada Pohonnya Ilmu.

Pohon Ilmu itu perlu disemai oleh Pekebun yang berpengalaman menerbitkan hasilnya.

Ajaibnya, buahnya ingin diambil, pokoknya ingin ditebang dan Pekebunnya dimusuhi ..

Ajibbb..

Mohd Nazrul Abd Nasir al-Azhari,
Syaikhul Ruwaq Jawi Kaherah.
23102019.