Tak berubah status Nabi ﷺ walaupun sesiapa menghina Nabi ﷺ, walaupun sesiapa mencerca Nabi ﷺ.

Semakin dicerca akan semakin harum namanya.

Semakin diburukkan akan semakin dikenali sifatnya.

Bukankah dahulu juga orang melemparkan pelbagai tohmahan kepada Rasulullah ﷺ?

Bahkan sebahagian daripada mereka ditugaskan menjaga di pintu masuk kota Mekah setiap tahun untuk menyebarkan maklumat palsu tentang Rasulullah ﷺ kepada jemaah haji yang datang.

Mereka menyebarkan – Muhammad itu begitu dan begini, maka jangan percaya cakapnya, yakni mereka ini menghina Nabi ﷺ.

Mereka melakukan propaganda dengan memburukkan Rasulullah ﷺ. Tipu muslihat itu dikembalikan kepada mereka.

Orang-orang yang masuk ke Mekah mendengar banyak berita tentang Rasulullah ﷺ sehingga mereka jadi ingin tahu siapa baginda yang sebenarnya.

Mereka pun pergi berjumpa dengan Rasulullah ﷺ. Ketika berjumpa Nabi ﷺ – mereka mendengar penjelasan Nabi ﷺ dan akhirnya mereka beriman kepada Nabi ﷺ.

Siapa yang jadi penyebab mereka ini pergi berjumpa kepada Rasulullah ﷺ? .

Itulah mereka-mereka yang menunggu di pintu kota Mekah dan menyebarkan berita itu dan ini tentang Rasulullah ﷺ. Itulah yang menjadi hidayah kepada orang-orang Ansar dan orang-orang luar kota Mekah.

Semakin mereka kurang ajar dalam mencerca baginda Rasulullah ﷺ akan semakin TERANGKAT nama Rasulullah ﷺ.

– disunting daripada tausiyah Maulid Bulanan Majlis Ta’lim Darul Murtadza oleh Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid | 01032019 | Masjid Muaz bin Jabal.

#darulmurtadza #maulidnabi #cintanabi #kasihnabi #adab #malaysiaku #rapatkansaf #janganhinanabikami #sayangnabi #habibalizaenalabidinalhamid #habibalizaenalabidin