Posted by: Habib Ahmad | 12 Julai 2014

Salafussoleh nafi batasan bagi Allah

Kita meneruskan lagi perbincangan mengenai penafian tempat bagi Allah oleh golongan salafussoleh.

Imam Abu Sulaiman Ahmad al-Khattabi berkata: “Bukanlah makna perkataan Muslimin bahawa Allah di atas arasy itu bahawa Dia menyentuhnya atau menetap di atasnya atau mengambil tempat daripada salah satu sudut daripada sudut-sudutnya.” (A’lamul Hadith)

Beliau berkata lagi: “Maha Suci Allah daripada memiliki tempat.” (Al-Risalah al-Nasihah)

Kemudian Imam Abu Uthman al-Maghribi Said bin Salam berkata (seperti dinukilkan oleh Imam al-Qusyairi): “Sesungguhnya Allah itu wujud tanpa tempat. Dia wujud kini seperti sediakala juga.” (Ar-Risalah al-Qusyairiah)

Salafussoleh juga menafikan batasan bagi Allah seperti yang dapat diperhatikan melalui kata-kata Imam Ahmad bin Faris dalam kitab Mujmal al-Lughah: “Had ialah suatu pemisah antara dua benda.”

Al-Allamah Ibn Manzhur dalam Lisan al-Arab berkata: “Had: Penghujung setiap sesuatu.”

Dalam erti kata yang lain, had atau batasan ialah penghujung bagi sesuatu.

Ia adalah sebahagian kelaziman bagi sesuatu jasad atau jisim sedangkan Allah tidak terdiri daripada jasad atau jisim. Maha Suci Allah daripada menyerupai jasad atau jisim.

Saidina Ali berkata: “Sesiapa yang beranggapan Allah kita mahdud (ada ruang lingkup tertentu atau ada had tertentu) bererti dia jahil mengenai Allah Maha Pencipta dan jahil mengenai Allah yang disembah.” (Hilyatul Auliya)

Imam Ali Zainal Abidin berkata: “Engkaulah Allah yang tidak mempunyai sebarang had.” (Ittihaf Saadah al-Muttaqin)

Sementara Imam at-Tahawi (meninggal pada 321 Hijrah) berkata: “Maha Tinggi dan Suci Allah daripada sebarang had.” (Matan al-Akidah at-Tahawiyah)

Imam Abu Bakar al-Razi (meninggal 370 Hijrah) berkata: “Ketahuilah Allah itu wujud dan bukanlah (Dia) jauhar yang memiliki batasan dan ukuran.” (Syarh Bad’ie al-Amali)

Selanjutnya, penafian keanggotaan dan juzuk bagi Allah. Keanggotaan atau bahagian anggota tubuh adalah kelaziman terpenting sesuatu jisim.

Dalam bahasa Arab sifat keanggotaan ialah suatu sifat jisim bagi sesuatu zat yang bercantum dengan sifat anggota badan yang lain lalu membentuk suatu formasi tertentu.

Asas terpenting bagi sifat keanggotaan ataupun juzuk daripada sesuatu zat ialah at-tarkib iaitu susunan antara sifat keanggotaan sesuatu zat berkenaan.

Ulama seperti Syeikh Said Fudah ketika menafikan tarkib (susunan) bagi Allah berkata: “Sesungguhnya kami (Ahli Sunah) menafikan usul tarkib (susunan secara mutlak) daripada Allah tanpa melihat kemungkinannya (sesuatu yang tersusun itu boleh dipisah-pisahkan ataupun tidak).

“Oleh yang demikian, kemungkinan itu turut terkandung dalam penafian terhadap usul tarkib itu sendiri.” (Al-Kasyif as-Shagir)

Imam at-Tahawi berkata juga: “Maha Tinggi dan Maha Suci Allah daripada sebarang had, sempadan, anggota dan alat.” (Matan al-Akidah at-Tahawiyah)

Penjelasan Imam at-Tahawi ini turut mewakili akidah Imam Abu Hanifah (meninggal pada 150 Hijrah), Imam Abu Yusuf al-Ansari, Imam Muhammad bin Hasan as-Syaibani dan lain-lain daripada kalangan mazhab Hanafi.

Mereka juga menafikan sebarang had, sempadan, batasan, keanggotaan, sifat dan alat bagi zat Allah.

Alhamdulillah pandangan ini menjadi pegangan kepada ulama mazhab Maliki, Syafie, Hanbali, Auzaie, al-Laithi, Tabari dan lain-lain.

Semua mereka mensucikan Allah daripada menyerupai mahluk. Maka segala puji bagi Allah.

Bantahan daripada ulama hadis

Doktrin mengkhayalkan Allah turut mendapat bantahan daripada ulama hadis, antaranya Imam Al-Hafiz Abu Bakr bin al-Husein al-Baihaqi asy-Syafie.

Beliau sering menjadi rujukan termasuk bagi sesetengah kelompok mujassimah yang cuba menisbahkan tempat bagi Allah.

Namun, beliau ada berkata: “Allah itu Maha Zahir kerana (kewujudannya) boleh didapati dengan bukti (daripada kekuasaan-Nya melalui alam ini) dan Maha Batin kerana tidak boleh didapati (kewujudan-Nya) secara bertempat.

“Sesetengah ulama kami (aliran Ahli Sunah) menafikan tempat bagi Allah dengan berpandukan kepada dalil sabda Rasulullah: ‘Kamu Maha Zahir yang tiada di atas kekuasaan-Mu sesuatu pun dan Maha Batin yang tiada di samping-Mu sesuatu pun.’”

Jika tiada di atas-Nya sesuatu dan tiada di samping-Nya sesuatu jelaslah bahawa Allah wujud tanpa bertempat.” (Al-Asma wa as-Sifat). – Bersambung

Penulis Penolong Setiausaha di Kementerian Dalam Negeri


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: