Posted by: Habib Ahmad | 27 Oktober 2013

Pengertian Khilaf

Bahasa : Percanggahan. Iaitu apabila bercanggah pandangan antara satu sama lain[1]. Khilaf lawan bagi persepakatan.

Istilah : Satu ilmu penyelidikan yang mengkaji perbezaan pandangan antara para ulama’ mujtahidin dari cara penggubalan hukum mereka yang berbeza. Ia merangkumi penelitian percanggahan ulama’ mujtahidin dalam mengutarakan dalil-dalil secara rambang mahupun secara terperinci[2]. Pada dasarnya penggunaan kalimat “khilaf” (خلاف) dan “ikhtilaf” (اختلاف) berkongsi makna yang satu, iaitu percanggahan, perbezaan pandanga. Walau bagaimanapun terdapat sebilangan ulama’ yang meletakkan spesifik makna berbeza antara khilaf dan ikhtilaf kepada beberapa pandangan,

Imam al-Syatibi telah mengklasifikasikan dua kalimat tersebut dengan makna yang lebih terperinci. Menurut beliau “khilaf” membawa makna yang lebih luas, iaitu percanggahan pandangan secara umum. Definisi tersebut merangkumi segala percanggahan pandangan walaupun ia bertitik tolak dari emosi hawa nafsu tanpa ilmu yang jelas tidak dikehendaki oleh syarak. Manakala “ikhtilaf” pula adalah percanggahan pandangan yang berlandaskan garis panduan syarak mengikut disiplin ilmu Islam[3].
Imam al-Raghib al-Asfahani pula menyatakan bahawa “ikhtilaf” bermaksud perbezaan pandangan tanpa disusuli dengan konfrontasidan dendam. Sebaliknya istilah “khilaf” pula terdapat kebarangkalian wujudnya konfrontasi dan dendam antara pihak yang berbeza pandangan.
Imam al-Tahanawi berpandangan bahawa “Ikhtilaf” sesuai digunakan apabila berlaku perbezaan pandangan yang disandarkan dengan nas. Manakala “khilaf” sesuai digunakan apabila berlaku perbezaan pandangan yang tidak disandarkan pada nas[4].
Imam Abu al-Baqa’ menyatakan bahawa “ikhtilaf” berlaku apabila perbezaan pandangan yang mempunyai maksud dan kesan konklusi yang satu. Kesan “ikhtilaf” adalah rahmat. Manakala “khilaf” berlaku apabila mempunyai maksud dan jalan yang berbeza. “Khilaf” adalah dilarang dan kesannya adalah bidaah[5].
Syeikh ‘Athiyyah Muhammad Salim berpandangan bahawa “khilaf” berlaku pada suasana yang disusuli dengan unsur maksiat. Manakala “ikhtilaf” bermaksud perselisihan pandangan kerana variasi kefahaman terhadap suasana setelah diadakan kajian[6].
Terdapat sebilangan ulama’ yang berpandangan kalimah “ikhtilaf” sesuai digunakan apabila berlaku perbezaan pandangan antara dua kelompok yang berbeza. Contohnya, “Telah berlaku ikhtilaf antara ulama’ mazhab Syafi’i dan ulama’ mazhab Hanafi”. Manakala kalimah “khilaf” pula sesuai digunakan apabila berlaku percanggahan pandangan di dalam satu kelompok yang sama. Contohnya, “Telah berlaku khilaf antara ulama’ mazhab Hanafi”. Tetapi tidak tepat jika dikatakan, “Telah berlaku ikhtilaf di antara ulama’ mazhab Hanafi”. Hal ini kerana mereka terdiri dari kelompok yang sama. Pembahagian istilah tersebut merujuk kepada penggunaanya di dalam al-Quran.
….وَمَا أُرِيدُ أَنْ أُخَالِفَكُمْ إِلَى مَا أَنْهَاكُمْ عَنْهُ…

“… dan aku tidak berkehndak menyalahi kamu (dengan mengerjakan) apa yang aku larang…” (Surah Hud ayat 88)

Allah SWT menggunakan kalimah “khilaf” dalam menceritakan dakwah yang dilontarkan oleh Nabi Syuaib kepada kaumnya. Mereka adalah satu kelompok yang sama. Manakala dalam ayat lain, Allah SWT menggunakan kalimah “ikhtilaf” ketika menceritakan percanggahan yang berlaku antara pelbagai kelompok.

…..فَاخْتَلَفَ الْأَحْزَابُ مِن بَيْنِهِمْ

“Maka berselisih pandanganlah antara mereka (Yahudi dan Nasrani…” (Surah Maryam ayat 37)

Berdasarkan dua dalil yang telah diutarakan, kalimah khilaf lebih merujuk kepada perbezaan pandangan antara satu kelompok yang sama. Manakala kalimah “ikhtilaf” pula membawa pengertian perbezaan pandangan antara dua atau lebih kelompok yang saling berbeza[7]. Secara umum, kedua-dua kalimah ini (“khilaf” dan “ikhtilaf”) boleh digunakan apabila terdapat perbezaan pandangan antara ulama’ mujtahidin. Cuma didatangkan dengan definisi-definisi tersebut dengan harapan dapat mendedahkan kepelbagaian makna yang didatangkan oleh para ulama’ Justeru, di dalam buku ini penulis akan menggunakan kalimah “khilaf” dan “ikhtilaf” dengan kehendak makna yang sama, iaitu perbezaan pandangan terhadap para ulama’ mujtahidin. Selagi tiada kesepakatan para ulama’ dalam definisi-definisi tersebut, penulis bebas memilih untuk menyatukan dua istilah tersebut dalam bentuk yang umum.

[1]Dr Muhammad Ahmad & Syeikh Ali Jumu’ah, Ta’liq bagi kitab At-Tajrid lil Qadduri, jilid 1, m/s 20.
[2]Ibid
[3]Lihat Imam as-Syatibi, al-Muwafaqat, m/s 853-854.
[4]Dr Muhammad al-Amin, Mura’af Al-Khilaf Fi al-Mazhab Al-Maliki, m/s 87
[5]Ibid
[6]Ibid
[7]Lihat Ustaz Muhammad al-Rukay, Nazariyyah al-Taq’id al-Feqhi, m/s 210-211, Dr. Muhammad al-Amin, Mura’ah al-Khilaf Fi al-Mazhab al-Maliki, m/s 85-89.

Perbahasan dikutip dalam buku “Khilaf : Perselisihan Pandangan Dalam Agama”, m/s 12-14, Abdul Mu’izz, cetakan Percetakan Zafar Sdn Bhd


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: