Posted by: Habib Ahmad | 26 Oktober 2013

Terhakisnya nilai kemanusiaan

Posted by epondok di Oktober 25, 2013

Rate This

Oleh DR. AMINUDIN MANSOR
SEJAK akhir-akhir ini pelbagai gejala yang tidak baik berlaku yang menunjukkan manusia, khususnya kalangan remaja sudah mula terhakis nilai-nilai kemanusiaan. Unsur ganas dan zalim telah memenuhi ruang hati yang mengakibatkan manusia seperti kehilangan rasa kemanusiaan.

Pengaruh unsur keganasan ini berkemungkinan daripada pengaruh filem, aksi-aksi ganas di televisyen, Internet dan juga pengaruh rakan sebaya. Disebabkan terhakisnya nilai kemanusiaan, manusia sanggup memukul, membelasah rakan sebaya dan akhirnya membawa kepada pembunuhan. Iman dan amal perbuatan sangat berkait rapat dalam kehidupan Islam.

Justeru, Nabi SAW bersabda: “Allah tidak menerima iman tanpa amal perbuatan dan tidak pula menerima amal perbuatan tanpa iman.” (riwayat Ath Thabrani)

Ini fenomena yang sering berlaku dalam kalangan remaja belasan tahun iaitu antara usia 13 hingga 25 tahun yang kurang pengalaman dan kurang mantap akidah, ibadah dan akhlaknya sebagai umat Islam yang sejati. Di sekolah unsur-unsur ini sudah nampak melalui kumpulan-kumpulan tertentu yang terpengaruh dengan unsur keganasan dari luar.

Justeru, melalui anjakan ketiga Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang telah dilancarkan, jelas bahawa ia bertujuan untuk melahirkan rakyat yang menghayati nilai-nilai murni yang baik. Antaranya, mengukuhkan pendidikan agama Islam dan pendidikan moral dengan lebih tumpuan kepada perpaduan dan memupuk persefahaman yang erat antara murid.

Di samping itu, berusaha membangunkan murid secara holistik dengan mengukuhkan keperluan penyertaan murid dalam 1Sukan, 1Kelab, dan 1Badan Beruniform. Melaluinya murid akan dapat memahami erti nilai-nilai murni yang baik dan juga rasa kemanusiaan yang tinggi melalui perhubungan dan komunikasi dengan rakan sebaya.

Pendidikan hati

Selain itu, pendidikan hati juga sangat penting. Ini disebabkan hati adalah tempat pandangan Allah SWT. Hati merupakan tapak semaian iman, wadah fitrah, akal dan hikmah. Hati juga adalah raja bagi seluruh anggota badan.

Apabila hati itu baik, maka akan baiklah seluruh anggota badan dan apabila hati itu rosak, maka akan rosaklah seluruh anggota badan.

Oleh itu, banyak sekali nasihat dan tunjuk ajar yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah SWT kepada umatnya untuk mendidik hati.

Hanya melalui pendidikan akan dapat memupuk dan menanam kembali nilai-nilai murni yang berkaitan dengan nilai-nilai kemanusiaan iaitu nilai harga diri, bertanggungjawab, toleransi, kasih sayang, rasional, kesederhanaan, menghormati hak orang lain, hormat dan taat kepada anggota keluarga. Selain itu bertanggungjawab kepada keluarga, menghormati hak golongan kurang upaya, mematuhi peraturan dan undang-undang, hidup bersama secara aman, saling membantu dan bekerjasama ke arah kebaikan.

Oleh itu, sentiasalah mengamalkan sikap toleransi antara satu dengan yang lain dalam kehidupan seharian. Rakyat pelbagai kaum tanpa mengira agama harus bersatu untuk mewujudkan keamanan dan ketenteraman negara. Ini sangat penting dalam sebuah negara yang majmuk.

Setiap orang harus mengadakan perbincangan secara aman jika terdapat sesuatu masalah dalam kehidupan bermasyarakat. Musuh-musuh asing sukar membinasakan bangsa yang bersatu padu, masyarakat yang erat. Nabi SAW bersabda: Amalan yang paling disukai Allah ialah yang mudah meskipun sedikit. (riwayat Bukhari)

Setiap anggota masyarakat juga perlu bersedia menghulurkan bantuan kepada golongan yang menghadapi kesusahan agar kenikmatan dan kesenangan dapat dirasai bersama tanpa mengira agama, bangsa dan budaya.

Berakhlak

Hidup berbaik-baik antara satu sama lain akan menjuruskan kepada keamanan dan keharmonian. Nabi SAW bersabda: Lakukan apa yang kamu mampu amalkan. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehingga kamu sendiri jemu. (riwayat Bukhari)

Inilah akhlak yang harus ditunjukkan iaitu akhlak dan budi pekerti yang baik. Ini jelas melalui sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (riwayat Ahmad)

Justeru, membentuk Muslim yang terbaik akan menjadi ikutan kepada bangsa dan agama lain. Sebab itu manusia yang berakhlak dalam Islam dianggap orang yang menyempurnakan agama Islam itu sendiri. Rasulullah SAW pernah bersabda: Sesungguhnya orang yang paling baik daripada kalangan kamu ialah orang yang paling baik akhlaknya. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Pendidikan nilai-nilai kemanusiaan ini juga mestilah diterapkan dengan keimanan dan ketakwaan bagi menjadikan manusia sentiasa mempunyai hati yang penyayang dan pengasih kepada orang lain dan juga makhluk Allah SWT lainnya di dunia ini.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: