Mari kita hadami hadis Nabi Muhammad SAW dari Imam Bukhari yang berbunyi :
“Solatlah kamu sepertimana kamu melihat aku (Rasulullah) bersolat”.
Perlunya Merujuk Pada Mazhab.
Bermazhab adalah hakikat yang diakui di dalam Islam. Para Imam Mazhab yang bertaraf Mujtahid Mutlaq dengan penguasaan ilmu yang luas dan mendalam serta penuh amanah telah berusaha memahami nas daripada al-Quran dan menghalusi setiap hadis yang berkaitan dengan pembacaan dan perlakuan dalam solat. Lalu mereka mengistinbatkan (mengeluarkan) hukum dan cara perlaksanaan mengikut ijtihad masing-masing.
Oleh itu, cara solat yang seperti di ajar dalam mazhab adalah mengikut cara solat Nabi. Sedikit perbezaan dalam solat, hanyalah kerana para imam ini berbeza dalam berisitnbat dan beristidlal (berdalil) mengikut manhaj (method) masing-masing. Al-‘Allah al-Faqih Sayyid Muhammad asy-Syathiri (1422 H) menyebutkan :
“Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam asy-Syafi’i dan Imam Ahmad bin Hanbal dan selain mereka, semuanya telah menyelidik semua hadis keseluruhannya (tentang solat), membezakan antara hadis yang kuat dengan yang lebih kuat, antara hadis yang kuat dengan hadis yang lemah, antara hadis Mutawatir dan selainnya. Setiap seorang dari imam-imam mazhab yang empat ini membicarakan (tentang solat Nabi SAW) dengan apa yang dipegang dan apa yang zahir (jelas) bagi mereka masing-masing. Dari sinilah timbulnya khilaf (perselisihan) dan sebenarnya semua para imam ini bertemu pada satu lingkungan sahaja”. (Lihat Syarh al-Yaqut an-Nafis fi Mazhab Ibn Idris, Sayyid Muhammad bin Umar asy-Syathiri, Beirut: Dar al-Minhaj, Cetakan Kedua, 1427 H, m/s 155).
Sebab Terdapat Perbezaan Dalam Kalanggan Sahabat Meriwayatkan Hadis Tentang Cara Solat Nabi SAW.
Ini kerana cara Nabi SAW solat juga berbeza. Pelbagai riwayat hadis menunjukkan bahawa Nabi SAW solat :
Tidak hanya dalam satu keadaan.
Tidak hanya dengan satu cara.
Tidak hanya di satu tempat.
Selain solat dalam keadaan biasa, Nabi juga bersolat dalam keadaan musafir dan ketika peperangna. Pada suatu ketika, Nabi memendekkan solat dan dan pada ketika lain baginda memanjangkan solatnya. Para sahabat meriwayatkan mengikut apa yang mereka lihat. Ada juga di kalangan mereka yang tidak melihat apa yang dilihat oleh para sahabat lain.
Cara Memahami Hadis Di Atas.
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam sahihnya.
Para ulama’ menyebutkan di dalam kitab-kitab fikah mereka bahawa maksud hadis ini ialah :
رأى بصرية بالنسبة للصحابه وعلمية بالنسبة لمن بعد وفاة النبي أى صلوا كما علمتمونى كما فسر بذلك العلماء””
“(Maksudnya) melihat Nabi SAW solat dengan penglihatan mata bagi para Sahabat dan cara ilmu (mengetahui) bagi sesiapa (yang hidup) selepas kewafatan Nabi SAW, iaitu bermaksud, “Solatlah kamu seperti mana kamu mengetahui aku solat seperti yang dijelaskan tentang perkara (solat itu) oleh para ulama”.
Para ulama’ di sini adalah para ulama’ dahulu (mutaqaddimin) dan yang terkemudian (muta’akhirin) yang telah menjelaskan cara solat Nabi SAW secara lisan atau menulisnya di dalam kitab-kitab mereka seperti kitab-kitab fiqh mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’i atau Hanbali.
Mengambil Terus Dalil Daripada al-Quran dan al-Sunnah Tentang Solat Nabi?
Seseorang yang hidup selepas zaman sahabat – terutama sekali masyarakat awam zaman moden ini – tidak boleh secara terus mengambil dalil daripada al-Quran dan Hadis tentnag solat cara Nabi, lalu memahaminya mengikut kefahaman sendiri. Ini kerana :
Mereka tidak melihat bagaimana Nabi SAW solat.
Mereka tidak mampu memahami bahasa Arab dan kaedahnya.
Mereka tidak menguasai ilmu Usul al-Fiqh, Qawa’id Fiqhiyyah dan ilmu-ilmu yang berkaitan.
Persoalan fiqh hendaklah diserahkan kepada para fuqaha’. Para muhaddisin (ahli hadis) terdahulu, ataranya, Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam at-Tirmizi, Imam an-Nasa’i dan lain-lain menyerahkan persoalan fiqh kepada para fuqaha’ walaupun mereka juga berilmu tentangnya. Mereka hanya mengemukakan dalil-dalil fiqh dalam masa mereka berkecimpung dalam mengumpulkan hadis. Sikap mereka dengan para fuqaha’ jelas tertera dalam satu ungkapan yang mahsyur yang ditujukan kepada para fuqaha’ iaiu, “Kami yang menyediakan ubat, kamu adalah doktor”.
(Lihat Al-Bid’ah fi al-Mafhum al-Islami ad-Daqiq, Dr. Abdul Malik bin Abd ar-Rahman as-Sa’adi, terjemahan Muhammad Fadhli bin Ismail, Kuala Lumpur: Darul Nu’man, Cetakan Pertama, 2002 M, m/s 39).
Petikan dari Majalah Q&A, isu no. 4, m/s 25-26, penulis oleh Ustaz Muhadir Haji Holl, cetakan Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
assalammualaikum..ustaz sy nk bertanya?sy msih keliru!dlam al-Quran dan Hadis ada ke tidak nyatakan caa kita solat??sy masih belom mendapat jawapan dan masih tidak faham..harap ustaz dapat terangkan dengan secara teperinci..terima kasih ustaz..