Posted by: Habib Ahmad | 26 Oktober 2013

Hukum Lafaz Niat Solat Sebelum Takbiratul Ihram.

Perbuatan melafazkan niat ketika hendak solat adalah amalan umat Islam sejak berzaman. Sesetengah orang mengatakan tidak perlu melafazkan niat, cukup menghadirkannya di dalam hati sahaja. Ada juga yang terlalu cepat menghukum sehingga mengatakan bahawa melafazkan niat itu tiada sandarannya bahkan bid’ahyang sesat. Benarkah begitu?

Maksud Melafazkan Niat.

Ia bermaksud melafazkan atau mengucapkan umpamanya, “Sahaja aku solat fardhu Zohor empat rakaat” sebelum takbiratul ihram ketika hendak mendirikan solat.

Hukumnya.

Qaul (pendapat) yang muktamad (yang dipegang) dalam mazhab Syafi’i mengatakan sunat melafazkan niat pada semua ibadat. Ia diqiaskan kepada perbuatan Nabi SAW bertalaffuzh (berlafaz) ketika mengerjakan haji dan umrah, berpuasa dan berkorban. Qias adalah salah satu sumber dalam mengistinbatkan (mengeluarkan) hukum dalam mazhab Syafi’i. Imam an-Nawawi di dalam kitabnya Minhaj atth-Tholibin, m/s 9, dalam bab Sifat as-Solah menyatakan, “Niat itu dengna hati dan dimandubkan (disunatkan) berlafaz sebelum takbiratul ihram”.

Dalilnya.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA yang berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW mengucapkan, Labbaik, aku mengerjakan umrah dan haji”. (Riwayat Imam Muslim)
Diriwayatkan daripada Aisyah yang berkata, Rasulullah SAW bertanya kepadaku pada suatu hari, “Wahai ‘Aisyah, adakah ada apa-apa di sisi kamu (untuk dimakan)?” Aisyah berkata, “Wahai Rasulullah! Tidak ada apa-apa di sisi kami”. Rasulullah SAW bersabda, “(Jika begitu) maka aku berpuasa”. (Riwayat Imam Muslim).
Diriwayatkan daripada Jabir yang berkata, “Aku pernah solat bersama Rasulullah SAW pada Hari Raya Korban. Ketika baginda berpaling, dibawa kepada baginda seekor biri-biri, lalu baginda pun menyembelihnya dan berkata, Dengan Nama Allahm inilah korban daripadaku dan untuk mereka yang tidak berkorban dari umatku”. (Riwayat Imam Ahmad, Imam Abu Daud dan Imam at-Tirmizi).
Sebab Sunat Melafazkan Niat Sebelum Takbiratul Ihram.

Di dalam Risalah Ketetapan Majlis Muzakarah Ulama’ Se-Malaysia di Kepala Batas, Pulau Pinang setelah merujuk kepada kitab an-Nihayah, at-Tuhfah, al-Muhazzab dan al-Mughni, sebabnya ialah :

Ia menolong hati untuk lebih tetap untuk solat.
Menjauhkan was-was.
Memelihara qaul (pendapat) yang mengatakan wajib berlafaz.
Qias kepada niat haji seperti riwayat Anas RA di atas.
(Rujuk Senjata Syari’at : Pakaian Ahl as-Sunnah wa al-Jama’ah, m/s 21).

Hujah Yang Lain Menunjukkan Bolehnya Perbuatan Itu.

1 – Berlafaz niat (Talaffuzh bi an-niyyah) bukan mahiyyah (diri/hakikat) solat.

‘Mahiyah’ solat ialah, “beberapa perkataan (rukun Qauli) dan beberapa perbuatan (rukun fi’li) yang dimulakan dengan takbiratul ihram dan disudahi dengan salam dengan beberapa syarat tertentu”. Melalui pengertian ini, jelaslah menunjukkan bahawa melafazkan niat bukanlah ‘mahiyyah’ solat kerana ia diucapkan di luar solat. Oleh itu, tidaklah bnar tuduhan yang mengatakan ia adalah bid’ah dholalah (sesat) di dalam solat.

2 – Melafazkan Yang Baik Mendapat Pahala.

Melafazkan niat termasuk di dalam amalan lidah. Lidah yang melafazkan sesuatu yang baik akan dicatat oleh malaikat sebagai kebaikan. Allah SWT berfirman,

مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

“Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulis). Surah Qaf (50) ayat 18.

3 – Bantu-Membantu Adalah Perkara Yang Baik.

Lidah yang melafazkan niat akan membantu hati dan fikiran untuk lebih fokus dalam solat. Ia adalah suatu perkara yang baik dan mendapat pahala. Firman Allah SWT,

…وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ

“Dan tolong menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan takwa”. (Surah al-Maidah ayat 2).

Kita boleh qiaskan kepada seseorang yang menghitung sesuatu umpamanya menghitung buah-buahan yang ada di dalam bakul. Menyebut bilangan hitungannya adalah lebih tetap hatinya dibandingkannya dengan hanya menghitungnya melalui hati. Jika dia menghitungnya dengan hati, ketika orang menyapanya atau dia terkejut, perbuatan itu mungkin melupakan ingatannya terhadap bilangan buah yang telah dihitungnya tadi.

Pendapat Mazhab Lain Dalam Hal Ini.

Di dalam kitab al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah (1/205), Syeikh Abd ar-Rahman al-Juzairi, menyebutkan :

“Disunatkan melafazkan dengan lidah akan niat seperti dia mengucapkan lidahnya, “Sahaja aku solat fardhu Zohor empat raka’at” kerana pada yang sedemikian itu peringatan bagi hati… Dan hukum ini disepakati di sisi Mazhab Syafi’iyah dan al-Hanabilah. Bagi Mazhab Malikiyah dan Hanafiyyah, melafazkan niat tidak disyariatkan pada solat, melainkan apabila orang yang solat itu was-was”.

Pendapat mazhab Hanafi dalam perkara ini boleh dirujuk dalam kitab Dur al-Mukhtar dan Syarhnya, Mazhab Maliki dalam Syarh ad-Dardir ‘ala Matn al-Khalil dan al-Mawaqi dan Mazhab Hambali dalam Kasyf al-Qina’ ‘ala Matn al-Iqna’.

Kesimpulan.

Melafazkan niat ketika hendak solat mempunyai dalil naqli dan ‘aqli.
Ia adalah perkara khilafiyyah. Orang yang melafazkannya, seharusnya bertasamuh (toleransi) dalam pendapat. Dengan erti kata lain, tidak menyalahkan antara satu dengan yang lain.
Orang awam hendaklah merujuk kepada pendapat ulama’ mazhab dalam perkara sebegini untuk mencari jawapan.
Dinaqalkan dari majalah Q&A, isu no. 6, m/s 68-69, penulis oleh Ustaz Muhadir Haji Joll, terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: