Posted by: Habib Ahmad | 21 Oktober 2013

Hukum Memotong Atau Memecah Tulang Binatang Aqiqah

Oleh : Mufti Brunei

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Antara cara ibu bapa melahirkan kesyukuran kepada Allah di atas anugerah cahaya mata atau zuriat keturunannya adalah dengan menghidupkan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bagi mencari keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala, melalui ibadat aqiqah.

Hukum aqiqah itu adalah sunat muakkadah iaitu sunat yang sangat digalakkan oleh Islam sebagaimana dikatakan oleh jumhur ulama. Ini berdasarkan sebuah hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Samurah Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: “Anak-anak tergadai (terikat) dengan aqiqahnya, disembelih (aqiqah) untuknya pada hari ketujuh (kelahirannya) dan diberi namanya serta dicukur rambutnya.”

(Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Maksud “anak-anak tergadai dengan aqiqahnya” menurut Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullahu Ta‘ala ialah anak itu tidak akan memberi syafaat kepada kedua ibu bapanya pada Hari Kiamat kelak jika dia tidak diaqiqahkan.

Betapa besarnya hikmah disebalik melakukan ibadat aqiqah sehinggakan anak yang telah diaqiqahkan itu nanti akan memberi syafaat di akhirat kelak kepada kedua ibu bapanya yang telah melakukan aqiqah bagi dirinya.

Begitulah juga halnya dengan perkara yang disunatkan ketika melakukan ibadat aqiqah itu, setentunya ada mengandungi hikmah kenapa ianya disunatkan. Antara perkara yang ada disebutkan mengandungi hikmah disebalik ianya disunatkan itu ialah perbuatan mengasingkan tulang-tulang binatang aqiqah mengikut
sendi-sendinya dan tidak dipecah-pecahkan sedaya yang mungkin.

Mengasingkan tulang-tulang binatang aqiqah mengikut sendisendinya itu selain hukumnya sunat, berbuat demikian juga bertujuan untuk bertafa’ul (menaruh harapan baik) terhadap tulang anak itu nanti tidak pecah dan tidak patah sebagaimana tidak pecah dan tidak patahnya tulang-tulang binatang aqiqah itu.

Perkara ini disebutkan oleh Imam Khatib ash-Syarbini Rahimahullahu Ta‘ala dalam kitab Mughni al-Muhtaj:

Ertinya: “Bahkan (sunat) dipotong setiap tulang (binatang aqiqah itu) mengikut sendi-sendinya sebagai bertafa’ul (menaruh harapan baik) terhadap keselamatan anggota anak yang dilahirkan.”

(Kitab Mughni al-Muhtaj: 4/370)

Begitu juga sunat tidak dipecah-pecahkan kesemua tulang binatang itu walaupun aqiqah itu dilakukan dengan berkongsi seekor unta atau lembu atau kerbau dengan mereka yang melakukan ibadat korban. Perkara ini disebutkan dalam kitab Hawasyi asySyarawani:

Ertinya: “Menurut pendapat yang aqrab (lebih dekat) sepertimana dikatakan oleh Syeikh (Zakaria al-Anshari Rahimahullahu Ta‘ala) sesungguhnya jika melakukan aqiqah dengan satu pertujuh bahagian dari unta dan merasa mudah membahagikan mengikut bahagian masing-masing (kepada tujuh bahagian) tanpa memecah tulang binatang itu maka berkaitlah hukum sunat tidak memecah (tulang aqiqah itu) pada kesemua tulang (binatang itu), kerana setiap dari bahagian unta itu juga ada sedikit bahagian aqiqah.

Maka jelaslah bahawa apabila melakukan aqiqah sunat tidak memecah tulang binatang aqiqah itu sedaya yang mungkin sama ada aqiqah itu dengan seekor kambing ataupun berkongsi dengan seekor unta ataupun seumpamanya seperti kerbau dan lembu.

Bagaimana pula jika tulang binatang aqiqah itu dipecahpecahkan?

Jika tulang aqiqah itu dipecah-pecahkan juga tanpa mengikut sendi-sendinya tidaklah ianya menjadi makruh akan tetapi hanyalah khilaf al-awla iaitu menyalahi yang utama. Perkara ini dijelaskan oleh Imam Khatib asy-Syarbini Rahimahullahu Ta‘ala dalam kitab Mughni al-Muhtaj.

Ertinya: “Jika dipecahnya (tulang binatang aqiqah)itu tidaklah dikira makruh kerana tidak ada dalil yang sabit menyebutkan mengenai larangan (makruh memecah sendi-sendi tulang binatang aqiqah) yang dimaksudkan, bahkan hukumnya adalah khilaf alawla (iaitu menyalahi yang utama).”

(Kitab Mughni al-Muhtaj: 4/370)

Jadi jelaslah bahawa memecah tulang binatang aqiqah itu tidaklah makruh dan jauh sekali menjurus kepada haram. Bahkan hanyalah khilaf al-awla (menyalahi yang utama). Jadi sesiapa yang beraqiqah dan memecah-mecah tulang binatang aqiqahnya itu tidaklah dia dikira berdosa.

Namun begitu, walaupun memecah-mecah tulang aqiqah itu tidak berdosa kerana hukumnya khilaf al-awla (menyalahi yang utama) sahaja, akan tetapi janganlah kita tidak memandang berat dalam perkara sunat kerana sememangnya ada tujuan dan hikmah kenapa disunatkan supaya memotong tulang binatang aqiqah itu mengikut sendi-sendinya sepertimana disebutkan sebelum ini. Beramal dengan perkara yang sunat adalah lebih baik kerana mendapat pahala dari melakukan perkara yang makruh dan menyalahi yang utama.

Sumber : http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2013/25%20September%202013.pdf


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: