Posted by: Habib Ahmad | 17 Oktober 2013

ISU KALIMAH ALLAH – JAWAPAN KEPADA YANG MEMBENARKAN ORANG2 KRISTIAN MENGGUNAKANNYA.

October 17, 2013 at 8:02am

Umum mengetahui tentang isu tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh pihak-pihak tertentu di dalam negara terhadap kerajaan Malaysia. Masyarakat digemparkan dengan isu yang begitu hangat ini dan tidak kurang juga terdapat segelintir rakyat yang tidak mengambil peduli. Tidak perlu kita soroti kembali kronologinya, tetapi cukuplah sekadar bertanya kepada diri kita, kemanakah hilangnya rasa sensitif umat Islam terhadap isu yang boleh mengancam akidah ini?

Isu tuntutan penggunaan kalimah Allah terus menjadi hangat diperkatakan apabilaia bukan sahaja disiarkan melalui akhbar tempatan tetapi turut tersebar dilaman-laman web persendirian dan dibahas dengan meluas di dalam ruangan forum bebas tentang sama ada relevan atau pun tidak keputusan yang dibuat oleh kerajaan. Terdapat juga pandangan peribadi yang dinyatakan oleh sarjana Islam dalam negara yang berpendirian bahawa tuntutan mereka ini seharusnya dibenarkan dengan alasan kalimah Allah merupakan kalimah yang telah pun digunapakai danwujud sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w lagi.

Sehubungan itu, timbul pula dakwaan bahawa tokoh Islam terkemuka iaitu Syeikhal-Azhar telah memberi pandangan yang berbeza dengan keputusan yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia berkenaan isu ini.

Dakwaan tersebut dimuatkan dalam satu artikel di laman web akhbar Arab yang berpusat di Arab Saudi iaitu :http://www.alwatan.com.sa/news/newsdetail.asp?issueno=2654&id=35989bertarikh 2 Februari 2008. Halaman web tersebut memaparkan artikel berjudul ‘Malaysia Mengharamkan Penggunaan Kalimah Allah Bagi Penganut Bukan Islam’.

Setelah diteliti, sebenarnya Syeikh Al-Azhar tidak pernah mengeluarkan pandangannya berkaitan isu ini tetapi ia merupakan pandangan bekas Timbalan Rektor Universiti al-Azhar (Wakil al-Azhar) Syeikh Fauzi al-Zafzaf yang telah menolak keputusan Kerajaan Malaysia yang mengharamkan penggunaan kalimah Allah untuk menggambarkan maksud tuhan bagi penganut agama lain.

Beliau beralasan bahawa keputusan tersebut tidak mempunyai apa jua sandaran didalam Syariat Islam dan ia mustahil disebut oleh mana-mana ulama’ atau fuqaha’.Kenyataan Syeikh Fauzi al-Zafzaf berkemungkinan dibuat atas dasar kapasiti beliau yang kini menyandang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Dialog Antara Agama Universiti al-Azhar.Ia berkemungkinan atas dasar maslahah dakwah tertentu menurut pandangan peribadi beliau dan bukan kenyataan rasmi daripadaal-Azhar mahupun Syeikh al-Azhar sendiri.

Di dalam artikel itu juga turut memaparkan pandangan yang sebaliknya yang telah diutarakan oleh Penasihat Undang-undang Kementerian Kehakiman Arab Saudi,Syeikh Abdul Muhsin al-‘Abikan.Beliau menyatakan bahawa pendekatan Kerajaan Malaysia yang mengharamkan penggunaan kalimah suci ini kepada bukan Islam adalah baik dan bertujuan untuk mengelakkan berlakunya penyalahgunaan nama Allah melainkan hanya kepada Yang Maha Pencipta. Ia kerana terdapat agama-agama lain yang juga menggunakan kalimah Allah bagi agama mereka sedangkan mereka adalah penyembah berhala. Oleh itu nama Allah tidak sepatutnya digunakan bagi menggambarkan tuhan-tuhan yang selain-Nya.

Selain itu, terdapat juga pandangan yang dipaparkan dalam laman web milik Pergerakan Perlembagaan Islam (Islamic Constitutional Movement) Kuwait. Ia merupakan sebuah pertubuhan politik yang berideologi Ikhwan Muslimin (Mesir)serta mempunyai beberapa orang wakil di Parlimen Kuwait.

Menurut pandangan penulisnya yang bernama Syaikh Abdul Hamid al-Ballali, beliau menyokong penuh keputusan kerajaan Malaysia untuk tidak membenarkan penganut bukan Islam menggunakan kalimah Allah sebagai panggilan bagi tuhan mereka.Beliau beralasan bahawa keputusan tersebut amat signifikan bagi memelihara maksud istilah sebenar bagi kalimah Allah. Umat yang gagal memelihara istilah-istilah agamanya adalah umat yang leka. Sedangkan Allah SWT telah mengangkat umat ini sebagai sebaik-baik umat.

Menurutnya lagi umat Islam perlu sedar banyak istilah-istilah yang berasal daripada Islam pada hari ini telah cuba dieksploitasi, disalahguna atau dipesongkan maknanya oleh pihak tertentu.
Contohnya istilah ‘syahid’ yang juga digunapakai bagi penganut bukan Islam.Istilah ‘riba’ yang ditukarkan kepada ‘faedah bank’.
Istilah ‘khamar’ yang ditukarkan kepada ‘minuman rohani’. Istilah ‘liwat’ yang ditukarkan kepada istilah ‘hubungan sesama jenis’. Persoalannya adakah umat Islam sedar tentang fenomena ini sebagaimana kesedaran yang dipamerkan oleh Kerajaan Malaysia?

Di dalam isu ini,seharusnya kita bertanya “ Apakah maksud sebenar kalimah suci ini?”

Sebenarnya, lafaz Allah merupakan gantinama kepada Tuhan Yang Esa. Menurut Sarjana-sarjana Islam, perkataan Allah digunakan secara khusus oleh seluruh Muslim kerana perkataan Allah menunjukkan kepada Tuhan Yang Maha Esa.Asal perkataan Allah ialah daripada dua perkataan Arab iaitu (Al-) yang membawa ertikhusus dan (-ilah) memberi erti Tuhan. Dua perkataan ini apabila digabungkan membentuk perkataan Allah yang membawa maksud Tuhan Yang Maha Esa.

Perkataan Allah menurut Eksiklopedia Islam adalah merujuk kepada sebutan atau nama Tuhan yang tiada Tuhan selain Allah.

Kalimah ini dikenali sebagai ism al-zat iaitu kata nama yang melambangkan secara langsung zat Allah SWT yang Maha Agung. Ibn Qayyim al-Jauziyyah mengatakan bahawa nama Allah itu bersifat menyeluruh.
Oleh itu dengan nama tersebut disandarkan seluruh nama-nama-Nya (al-Asma’al-Husna) yang lain. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam Al-Quran :

“Dan bagi Allah, nama-nama yang Maha Baik”.

Imam Ibn Kathir menukilkan kata-kata ‘Ikrimah tentang perihal turunnya ayat ini. Berkata ‘Ikrimah: “Ketika orang Yahudi mengatakan: Kami menyembah ‘Uzair anak Allah. Orang Nasrani mengatakan: Kami menyembah al-Masih anak Allah.Majusi pula mengatakan: Kami menyembah matahari dan bulan.
Orang musyrikin pula mengatakan: Kami menyembah berhala. Lalu Allah SWTmenurunkan ke atas Rasulullah SAW surah al-Ikhlas yang bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad bahawa Allah itu Esa, Allah itu tempat bergantung segala makhluk-Nya, Allah itu tidak beranak dan tidak diperanakkan dan Allah itu tiada bagi-Nya sekutu”.

Menurut satu pendapat yang lemah, kalimah ini ialah kata nama yang kaku(jamid). Iaitu bukan berbentuk kata terbitan yang berasal daripada kata dasar tertentu. Ini kerana sesuatu kata terbitan mesti mempunyai akar perkataannya yang tertentu. Sedangkan nama Allah SWT itu bersifat sediakala (qadim). Qadim pula ialah sesuatu yang tidak mempunyai unsur asas atau asal. Ia menyerupai kesemua kata-kata nama khas yang tidak mempunyai asal tertentu serta tidakmempunyai sebarang maksud di sebalik penamaannya.

Bagaimanapun menurut pendapat yang kuat ialah kata nama Allah itu ialah kata terbitan yang mempunyai kata dasar tertentu. Namun para ulama berbeza pandangan tentang asal kalimah Allah tersebut.
Pendapat yang tepat ia berasal daripada kalimahalaha-ya’lahu-uluhatan-ilahatan-ilahiyyatan (أله-يأله-ألوهة-إلاهة-ألوهية). Ia membawa maksud ‘abada-‘ibadatan (عبد-عبادة)iaitu menyembah dan penyembahan. Daripada timbangan (wazan) ini lahirnya kalimah ilah (إله) yang bermaksud ma’luh (مألوه) iaitu “yang disembah” (ma‘bud).

Berasaskan pendapat ini, Ibn ‘Abbas r.a. pernah berkata: “Allah yang memiliki(sifat) ketuhanan (al-ilahiyyah) dan kehambaan (al-‘ubudiyyah) ke atas seluruh makhluk-Nya”. Di kalangan ahli nahu Arab termasyhur juga berpandangan sedemikian. Misalnya al-Kisa’i dan al-Farra’ mengatakan kalimah Allah itu berasal daripada kata al-ilah. Kemudian mereka membuang huruf hamzah dan menggabungkan (idgham) huruf lam yang pertama ke dalam huruf lam yang kedua.Kemudian terbentuk satu lam yang disabdukan (tasydid) dan dibaca dengan tebal dan berat.

Ibn Qayyim al-Jauziyyah pula berkata: “Yang benar, kalimah Allah ialah kata yang mempunyai asal, di mana asal katanya ialah al-ilah. Ini sebagaimana pendapat ahli bahasa terkenal Sibawaih dan majoriti sahabatnya kecuali beberapa orang yang berpendapat meragukan (tanpa sebarang asas). Lafaz Allah mencakup seluruh makna al-Asma’ al-Husna dan sifat-sifat-Nya yang Maha Tinggi.
Tidak diragukan lagi bahawa nama-nama ini merupakan terbitan daripada katadasarnya sedangkan nama-nama tersebut kekal bersifat qadim. Maksud nama-nama tersebut ialah kata terbitan, iaitu dari segi lafaz dan maknanya yang bertemu dengan kata-kata dasarnya. Bukan bererti nama atau sifat itu lahir seumpama lahirnya cabang daripada asal. Penamaan ahli nahu terhadap kata dasar dan kata terbitan itu dengan asal dan cabang bukan bermaksud salah satu daripada keduanya lahir daripada yang lain, tetapi ia memberi makna salah satu daripada keduanya mengandungi yang lain malah terdapat penambahan”.

Abu Ja’far ibn Jarir pula mengatakan: “Lafaz Allah itu berasal daripada kataal-ilah. Kemudian hamzahnya yang merupakan fa’ al-ism (iaitu sebutan dalam ilmusaraf bagi hamzah yang ada pada kata ilah, kerana wazan atau timbangan katailah adalah fi‘alun) digugurkan atau dibuang. Kemudian huruf lam yang merupakan‘ain al-ism bertemu dengan lam tambahan yang barisnya mati, lalu masing-masing digabungkan kepada yang lain. Maka kedua-duanya menjadi satu lam yang disabdukan. Manakala takwilan (tafsiran) kalimah Allah pula ianya berasaskan apa yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas r.a. bahawa “Dia lah (Allah) yang mempertuhankan-Nya segala sesuatu (ya’lahuhu kullu syai’in), dan yang disembahi oleh seluruh makhluk (ya‘buduhu kullu khalqin)”.

Diriwayatkan juga sebuah hadith daripada Abu Sa‘id secara marfu‘: “Bahawa Isa diserahkan oleh ibunya kepada seorang pengajar agar dapat mengajarnya menulis.
Lalu si pengajar berkata kepadanya: Tulislah dengan nama Allah. Isa berkata:Tahukah kamu siapa itu Allah? Allah ialah Tuhan bagi segala yang dipertuhankan”.

Ibn Qayyim kemudiannya menjelaskan lagi bahawa penamaan Allah itu menunjukkan bahawa Dia (Allah) adalah sebagai Yang dipertuhankan dan disembah.Dipertuhankan oleh semua makhluk dengan penuh kecintaan, pengagungan,ketundukan dan berlindung kepada-Nya dalam semua hajat dan musibah yangmenimpa.

Inilah sebenarnya maksud di sebalik kalimah Allah SWT. Ia bukanlah satu kalimah yang sekadar menjadi sebutan atau seruan atau panggilan bagi tuhan semata-mata.Sebaliknya ia merupakan nama yang melambangkan aqidah atau agama bagi orang yang menggunakannya.

Berdasarkan maksud yang telah disepakati oleh para Ulama’,maka jelaslah tuntutan mereka untuk menggunakan kalimah Allah adalah sama sekali tidak dapat diterima kerana Islam dan Kristian mempunyai maksud yang berbeza terhadap kalimah ini walaupun mereka cuba membuktikannya melalui dalil-dalil dariayat-ayat suci Al-Quran.

PERBEZAAN ISTILAH ALLAH ANTARA ISLAM DAN KRISTIAN

Walaupun mereka mendakwa bahawa perkataan Allah telah lama digunakan oleh orang-orang Kristian sejak sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w, namun lafaz Allah yang telah digunakan oleh mereka adalah berbeza sama sekali maksudnya berbanding dengan definisi yang telah kita nyatakan di atas. Lafaz Allah bagi penganut agama Kristian adalah merujuk kepada Tuhan Bapa iaitu salah satu oknum daripada 3 oknum di dalam akidah triniti.

Ini dapat kita perhatikan menerusi Kitab suci mereka, di dalam Perjanjian Baruyang menyebut :

Pada tengahari selama tiga jam, seluruh negeri itu menjadi gelap.Pada pukul 3 petang, Jesus berseru dengan suara lantang “Eli Eli lama sabakhtani?” yang bermaksud “Allah Allah mengapa Engkau tinggalkan aku?”. Beberapa orang di situ mendengar seruan Jesus lalu berkata “dia memanggil Elia” Seorang dari mereka mengambil bunga karang, lalu mencelupkannya ke dalam wain murah. Kemudian bungakarang itu dicucukkannya pada sebatang kayu, lalu dihulurkan ke mulut Jesus.Tetapi orang lain di situ berkata: “Tunggu, mari kita lihat kalau-kalau Elia datang menyelamatkan dia”. Kemudian Jesus berseru lagi dengan nyaring lalu menghembuskan nafas terakhirnya.

Dalam perjanjian baru turut menyebut;

Meskipun demikian, tidak seorang pun mengetahui hari atau waktunya, baik malaikat-malaikat di Syurga ataupun anak (Yesus); hanya Bapa yang tahu .

Dalam ayat lain pula menyebut :“Lalu Yesus berseru dengan suara lantang, “Ya Bapa,Aku serahkan diriKu kedalam tanganMu!” Setelah berkata demikian, Dia pun meninggal.”

Berdasarkan ayat-ayat di atas, jelaslah bahawa maksud penggunaan kalimah Allah oleh orang-orang Kristian adalah berbeza sama sekali dengan konsep ketauhidan di dalam Islam.

Konsep triniti juga dapat diperhatikan secara jelas melalui Perjanjian
Baru yang menyebut :

“Ada tiga saksi : Roh Allah, air dan darah dan ketiga-tiganya memberi kesaksian yang sama”.

Di dalam Perjanjian Baru juga menyebut :

Setelah Jesus dibaptis, Dia keluar dari air sungai itu. Tiba-tiba langit terbuka dan Jesus nampak Roh Allah turun seperti burung merpati ke atasNya.
Kemudian terdengarlah suara Allah berfirman : “ Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi.Dia menyenangkan hatiku”.

Di dalam Perjanjian Baru juga menyebut :

Setelah semua orang dibaptis, Jesus juga dibaptis. Ketika Dia berdoa, langit terbuka, dan Roh Allah berwujud burung merpati turun keatas-Nya. Lalu terdengar satu suara dari Syurga mengatakan : “ Engkaulah Anak-Ku yang Aku kasihi. Engkau menyenangkan hatiKu.”

Inilah dalil-dalil dari kitab Bible yang menunjukkan bahawa penggunaan kalimah Allah di dalam kitab mereka membawa maksud yang amat berbeza dengan apa yang dimaksudkan oleh Agama Islam.

PANDANGAN ISLAM TERHADAP KANDUNGAN PERJANJIAN LAMA DAN PERJANJIAN BARU

Sebenarnya, pada pandangan Islam, apa yang terdapat dalam Old Testament dan New Testament pada hari ini, terbahagi kepada tiga keadaan :
a) Terdapat sebahagian ayat-ayat yang tidak bercanggah dengan Al-Quran.Contohnya ajaran Tauhid di dalam Perjanjian lama menyebut;

Ingatlah wahai bangsa Israel! TUHAN satu-satunya ialah Allah kita.

Ini selari dengan tauhid yang ditegaskan di dalam Al-Quran :

Katakanlah wahai Muhammad Dia lah Allah Yang Esa.

b) Terdapat sebahagian daripada ayat-ayat yang bercanggah denganAl-Quran.Contohnya kisah penyaliban dan kematian Nabi Isa di dalam Perjanjian baru :

Pada tengahari selama tiga jam, seluruh negeri itu menjadi gelap. Pada pukul 3 petang, Jesus berseru dengan suara lantang “Eli Eli lama sabakhtani?” yang bermaksud “Allah Allah mengapa Engkau tinggalkan aku?”. Beberapa orang di situ mendengar seruan Jesus lalu berkata “dia memanggil Elia”. Seorang dari mereka mengambil bunga karang, lalu mencelupkannya ke dalam wain murah. Kemudian bungakarang itu dicucukkannya pada sebatang kayu, lalu dihulurkan ke mulut Jesus.Tetapi orang lain di situ berkata: “Tunggu, mari kita lihat kalau-kalau Eliadatang menyelamatkan dia”.
Kemudian Jesus berseru lagi dengan nyaring lalu menghembuskan nafas terakhirnya.

Ini bertentangan dengan dalil Al-Quran yang menafikan kematian dan kisah penyaliban Nabi Isa :

“Dan kerana ucapan mereka ‘Sesungguhnya kami telah membunuh Al Masih Isa anak Maryam pesuruh Allah.
Dan sebenarnya mereka tidak membunuhnya dan tidak pula menyalibnya tetapi (yangmereka bunuh itu ialah) orang yang diserupakan dengan Isa bagi mereka.Sesungguhnya orang-orang yang berselisih faham tentang (pembunuhan) Isa,benar-benar di dalam keraguan tentang yang dibunuh itu. Mereka tidak mempunyai keyakinan tentang siapakah yang sebenarnya dibunuh itu, kecuali mereka hanya menurut sangkaan mereka sahaja. Mereka tidak pula yakin bahawa yang merekabunuh itu, adalah Isa, tetapi (sebenarnya) Allah telah mengangkat Isa kepadaNya. Dan adalah Allah itu Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana.”

c) Terdapat sebahagian daripada ayat-ayat tersebut yang tidak diberikan penjelasan terhadap kedudukannya sama ada bercanggah atau tidak. Contohnya seperti nama khas atau nama tempat yang terdapat di dalam Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru.

Dalam hal ini Islam tidak menolak dan tidak pula membenarkan fakta tersebut.Ini bertepatan dengan apa yang disebut oleh Hadith Riwayat Bukhari;

“Jangan kamu membenarkan apa-apa yang diriwayatkan oleh ahli kitab dan jangan pula kamu mendustakannya tetapi katakanlah kami beriman kepada Allah dan apa-apa yang diturunkan kepada kami dan apa yang diturunkan kepada kamu, dan Tuhan kami dan kamu adalah Satu dan kami berserah diri kepadaNya”.

Oleh yang demikian, sekiranya kalimah Allah juga terdapat di dalam Old Testament dan New Testament sebagaimana yang dijadikan hujah oleh penganut agama Kristian, maka ini adalah semata-mata kerana wujudnya unsur-unsur ketauhidan yang telah dikembangkan oleh Nabi-Nabi yang diutuskan sebelum Rasulullah s.a.w. Namun konsep Tauhid yang telah dikembangkan oleh Nabi-Nab iyang diutuskan sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w telah tercemar dari tujuan asalnya.

Bagi mereka yang berpendirian bahawa tuntutan ini seharusnya dibenarkan dengan alasan kalimah Allah merupakan kalimah yang telah pun digunapakai dan wujud sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w lagi seharusnya memahami bahawa penggunaan kalimah Allah oleh orang-orang Musyrikin, Yahudi dan Nasara sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w adalah tidak menggambarkan kepada keesaan Allah. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud :

Dan orang-orang Yahudi berkata : “ Uzair anak Allah ” dan orang-orang Nasrani berkata “ Al-Masih Anak Allah “. Demikianlah ucapan yang diucapkan dengan mulut mereka. Mereka meniru ucapan orang-orang kafir yang terdahulu. Semoga Allah membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?

Maka, dengan memahami sirah dan sejarah yang telah berlaku hampir 1400 tahun dahulu, wajarkah kita memberi kebenaran kepada mereka untuk turut sama menggunakan kalimah yang amat suci ini sedangkan kita mengetahui perbezaan keyakinan mereka terhadap maksud kalimah Allah? Bahkan Rasulullah s.a.w diperintahkan oleh Allah SWT untuk membersihkan maksud kalimah Allah SWT inis etelah dicemari oleh fitnah mereka sebelum Rasulullah s.a.w membawa Islam.

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT bagi menjawab fitnah mereka ini :

Katakanlah wahai Muhammad Dia lah Allah Yang Esa.Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesiapa pun yang setaraf denganNya.

Berasaskan penggunaan kalimah Allah seperti yang ditetapkan dalam terminologi Islam maka jelaslah bahawa lafaz Allah adalah merujuk kepada penggunaan Tuhan Yang Maha Esa sahaja. Selain daripada itu, lafaz Allah juga tidak pernah disebut di dalam teks bahasa Greek yang merupakan bahasa asal penulisan Bible.Ini adalah kerana perkataan Tuhan di dalam bahasa Greek adalah ‘Theos’ bukannya Allah.

Bahkan dari sudut Fiqhiah juga, larangan kerajaan Malaysia terhadap tuntutan mereka ini juga dilihat menepati kaedah Sad Az-Zarai’e.

Selain itu juga, Mesyuarat Kabinet bertarikh 16 Mei 1986 juga telah memutuskan bahawa selain dari kalimah Solat, Kaabah, Baitullah, perkataan Allah juga adalah termasuk di antara kalimah-kalimah yang dilarang penggunaannya oleh mereka yang bukan beragama Islam.

Berdasarkan alasan-alasan yang telah dinyatakan kita dapati bahawa kalimah Allah yang dimaksudkan di dalam kitab Bible adalah amat berbeza dengan maksud kalimah Allah seperti keyakinan umat Islam. Oleh itu, amat wajarlah tuntutan penganut Kristian untuk turut menggunakan kalimah Allah ini dilarang sama sekali bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham apabila terminologi yang tidak tepat digunapakai oleh mereka.

Tulisan Asal Dari Ustaz Rashidy Jamil Muhammad Ar-Rashid.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: