Rasulullah SAW pernah berdoa yang maksudnya: “Ya Allah, berikanlah kecintaan kami kepada Madinah seperti mana Engkau berikan kecintaan kepada Makkah, atau lebih daripada itu dan bersihkanlah ia serta berkatilah kepada kami dalam makanan dan bekalnya dan gantikan wabak penyakitnya dengan juhfah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW telah berhijrah ke Madinah dan menjadikannya sebagai medan dakwah seterusnya sebagai Tanah Suci kedua selepas Tanah Suci Makkah al-Mukarramah. Ia kaya sejarah yang jelas terkandung dalam al-Quran. Sebelum Rasulullah SAW memasuki Madinah, ia negeri bersarangnya penyakit.
Antara kelebihan dan keistimewaan Madinah ialah buminya yang subur dan makmur. Bumi Madinah mengeluarkan tamar Ajwah yang mempunyai khasiat lebih daripada khasiat terdapat pada tamar lain.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang pada waktu pagi makan tujuh biji kurma Ajwah, pada hari itu dia tidak akan terkena racun mahupun sihir.”

Masjid Nabawi terletak di tengah-tengah kota Madinah. Asalnya ia pusat pengeringan tamar dan kebun tamar milik dua anak yatim iaitu Suhail dan Sahl.

Rasulullah SAW telah membeli tanah itu daripada mereka dan membangunkan masjid bersama kaum Ansar dan Muhajirin.

Pahala solat di Masjid Nabawi

Sabda Rasulullah SAW: “Pahala solat di masjidku ini adalah 1000 kali lebih baik daripada solat di lain-lain masjid kecuali di Masjidil Haram.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Seperti Makkah, Madinah juga adalah tanah haram. Ia menjadikan setiap umat Islam sentiasa berwaspada dan memelihara diri daripada melakukan perkara yang dimurkai Allah SWT ketika berada di sana.

Rasulullah SAW bersabda: “Madinah adalah tanah haram, letaknya antara Bukit Eir dan Bukit Tsur, sesiapa yang melakukan kezaliman (maksiat) atau melindungi orang yang melakukan kezaliman di dalamnya maka ke atasnya laknat Allah SWT, malaikat dan manusia seluruhnya dan semua amalan sama ada yang wajib atau sunat tidak diterima oleh Allah SWT daripadanya pada hari kiamat kelak.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Itu antara kelebihan atau keistimewaan Madinah. Maka tidak hairanlah jika sekali bumi Madinah dipijak, akan terasa kerinduan untuk mengunjunginya lagi kerana suasana di Madinah cukup aman dan damai serta penuh dengan ketenangan.