Posted by: Habib Ahmad | 18 Ogos 2013

Kelebihan puasa sunat

Puasa sunat mempunyai banyak hikmah dan kelebihan antaranya, tanda bersyukur kepada Allah atas rezeki serta kurniaan nikmat yang diberikan kepada hamba-Nya. Berpuasa juga membantu memelihara kesihatan jasmani dan rohani.
Sabda Rasulullah SAW: “Berpuasalah kamu, tentu kamu akan sihat.” Sabda baginda lagi: “Perut besar itu adalah sarang penyakit dan banyak makan itu punca segala penyakit.”

Berpuasa juga dapat mendidik nafsu amarah supaya berubah menjadi nafsu lawwamah, seterusnya meningkatkan kepada nafsu mutmainnah iaitu nafsu yang tenang tenteram.

Puasa juga akan menyucikan diri daripada sifat mazmumah seperti tamak, sombong, hasad dengki dan sebagainya. Apabila seseorang itu berpuasa ia akan membersihkan jiwa yang kotor dan secara tidak langsung merasa rendah diri terhadap orang lain.

Di samping itu, ia juga melatih dan mendidik jiwa dengan sifat belas kasihan terhadap orang lain yang hidup susah atau menderita. Dengan ini, kita akan merasai penderitaan hidup mereka yang kurang bernasib baik dan merasai keadaan hidup serba kekurangan.

Puasa sunat dapat membantu kita memperoleh kecerdasan akal dan fikiran seperti disebut dalam satu riwayat: “Orang yang berlapar perutnya itu tajamlah fikirannya dan teranglah hatinya.”

Latih jiwa tanggung kesusahan

Puasa sunat sangat dituntut bertujuan untuk menampung ibadah fardu. Puasa sunat adalah latihan jiwa yang luar biasa supaya kita bersedia menanggung segala kesusahan serta pelbagai cabaran dalam menempuh perjuangan hidup.

Abu Said al-Khudri berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak seorang pun daripada hamba Allah yang berpuasa sehari dengan niat kerana Allah, melainkan Allah akan jauhkan mukanya daripada kepanasan api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun lamanya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Setiap orang yang berpuasa dengan niat yang ikhlas kerana Allah, kemudian memelihara puasanya daripada amalan yang ditegah, Allah akan membalasnya dengan menjauhkan dirinya daripada api neraka sejauh tujuh puluh tahun perjalanan.

Sesungguhnya setiap amalan yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh meskipun sedikit tetap ada ganjarannya dan dinilai oleh Allah SWT. Ia menjadi saham yang boleh membantu manusia di akhirat kelak.

Aisyah berkata, bersabda Rasulullah SAW kepadaku pada suatu hari: “Wahai Aisyah! Adakah di sisi kamu sesuatu pun (untuk dimakan )? Aisyah berkata: Wahai Rasulullah! Tidak ada sesuatu pun (untuk dimakan). Baginda bersabda: (Jika begitu) maka aku berpuasa.” (Riwayat Muslim)

Latihan jiwa hasil daripada puasa akan menyebabkan manusia hampir kepada Allah dan lantaran ia dekat kepada Allah doanya mudah diperkenankan. Sebab itulah orang yang berpuasa digalakkan untuk banyak berdoa.

Ibadat puasa bukan saja menggandakan pahala untuk orang yang taat melakukannya tetapi ia menambah kekuatan spiritual melalui sifat ikhlas. Amalan puasa adalah antara manusia dengan Allah SWT. Dengan ini puasa menanam sifat jujur dan ikhlas dalam diri sendiri dan kepada Allah.

Puasa sunat lebih-lebih lagi puasa di bulan Rejab dan Syaaban banyak sekali kelebihannya di samping dapat membantu meningkatkan kekuatan serta persediaan dalaman sebelum tibanya puasa wajib di bulan Ramadan.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: