Posted by: Habib Ahmad | 3 Ogos 2013

Baca Yaasin Di Kuburan

Dalam bulan Ramadhan terutama sekali di hujung – hujungnya dan pada hari lebaran nanti, ramailah saudara-saudara kita mendatangi tanah – tanah perkuburan tempat persemadian insan-insan yang mereka sayangi. Bukanlah maksudnya bahawa menziarahi kubur itu hanya dihukumkan sunnat pada masa-masa tersebut sahaja. Ianya lebih kepada faktor masa yang terluang atau faktor suasana yang syahdu di hari yang mulia menghimbau ingatan kepada mereka-mereka yang telah tiada. Oleh itu, pada ketika itulah penuh segala pusara dengan para penziarah. Dalam ziarah biasanya akan dibaca surah Yaasin dan tahlil sebagai hadiah dan barakah kepada segala arwah tersebut. Jumhur ulama daripada keempat-empat mazhab Ahlus Sunnah wal Jama`ah, termasuklah mazhab asy-Syafi`iyyah dan al-Hanabilah, menghukumkan baik, mustahab, bahkan sunnat untuk membacakan al-Quran di sisi kubur. Syaikh al-Imam al-`Allaamah Muhammad bin Ahmad bin Salim as-Safaarini al-Hanbali rahimahullah (w. 1188H) dalam karya beliau “al-Buhur az-Zaakhirah fi `Uluum al-Akhirah” menyatakan, antara lain sebagai berikut:-

Tanbih: Pembacaan al-Quran di kubur dipandang sebagai mustahab oleh para ulama Mazhab Syafi`i dan ulama lain. Imam an-Nawawi menyatakan dalam “Syarah al-Muhadzdzab” bahawa dimustahabkan bagi penziarah kubur untuk membaca apa-apa yang mudah daripada al-Quran dan mendoakan bagi mereka. Hal ini merupakan nas atau pandangan yang datang daripada Imam asy-Syafi`i sendiri. Di tempat lain, yakni dalam karangan lain, ditambah bahawa jika dikhatamkan sekalian al-Quran itu di atas kubur tersebut, maka ianya adalah afdhal. Dan adalah imam kita, Imam Ahmad RA, pada permulaannya mengingkari amalan sedemikian, namun kemudian beliau telah menarik balik pandangannya tersebut setelah sampai hadis yang menjadi sandaran amalan ini kepada beliau.
Tokoh yang menjadi panutan puak Wahabi, Ibnu Qayyim al-Jawziyyah, murid Ibnu Taimiyyah al-Harrani telah menukilkan sebuah kisah mengenai pembacaan yaasin di kubur dalam karyanya “ar-Ruh” pada halaman 18 sebagai berikut:-
Telah mengkhabarkan kepadaku oleh al-Hasan bin al-Haitsam yang berkata: “Aku telah mendengar Abu Bakar bin al-Athrusy bin Bint Abi Nashr bin al-Tammar berkata: “Ada seorang lelaki yang selalu datang menziarahi kubur ibunya pada hari Jumaat lalu membaca surah Yaasin. Pada sebahagian hari-hari yang dia datang menziarahi kubur ibunya, dia akan membaca surah Yaasin. Selepas membaca Yaasin, dia berdoa: “Ya Allah, seandainya Engkau memberi pahala atas pembacaan surah ini, maka jadikannya bagi segala penghuni perkuburan ini”. Tatkala datang Jumaat berikutnya, datang seorang wanita kepada si lelaki tadi seraya berkata: “Adakah engkau si fulan anak si fulanah?” Dia menjawabnya: “Ya.” Wanita tersebut berkata lagi: ” Adalah anak perempuanku telah meninggal dunia dan aku telah bermimpi melihatnya duduk di tepi kuburnya, lalu aku menyapanya: “Kenapa engkau duduk di sini?” Dia menjawab: “Sesungguhnya si fulan anak si fulanah telah datang menziarahi kubur ibunya dan membaca surah Yaasin serta menjadikan pahalanya bagi segala ahli kubur, maka kami telah diberi kesenangan daripada yang sedemikian atau kami telah diampuni atau yang seumpamanya (yakni para ahli kubur tersebut mendapat kesenangan daripada hadiah pahala bacaan surah Yaasin tersebut atau mendapat keampunan atau yang seumpamanya).”
Oleh itu, janganlah kita membenci perbuatan saudara-saudara seagama yang membaca sesuatu daripada al-Quran di sisi kubur atau menghadiahkannya kepada mereka-mereka yang telah berpulang ke rahmat Allah. Rahmat Allah itu amat luas dan banyak jalan atau sebab untuk meraihnya.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: