Posted by: Habib Ahmad | 11 Julai 2013

Puasa untuk Allah

Oleh MOHAMAD DHIYAUDDIN ABDUL KADIR
Puasa merupakan ibadah yang tidak asing bagi seluruh umat Islam. Terdapat pelbagai bentuk ibadah puasa, namun puasa yang difardukan dalam bulan Ramadan istimewa di hati umat Islam.

Allah SWT telah memfardukan kepada hamba-Nya agar berpuasa dalam bulan Ramadan sebagaimana firman-Nya: Wahai orang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa (Ramadan) sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)

Pada surah yang sama, ayat ke 185 pula Allah berfirman: Sesiapa antara kamu menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya) maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu.

Bulan Ramadan juga merupakan bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT kerana di dalam bulan inilah al-Quran diturunkan sehinggakan ia dikenali sebagai bulan al-Quran.

Dalam bulan Ramadan, malaikat Jibril akan membacakan al-Quran dan menyemak bacaan Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dalam kitab sahihnya.

Kelebihan bulan Ramadan yang tidak ada pada bulan yang lain ialah dibelenggunya syaitan, dibuka pintu syurga dan ditutup pintu neraka. Rasulullah SAW bersabda: Apabila datang bulan Ramadan pintu-pintu syurga dibuka sedangkan pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Sementara dalam riwayat lain terdapat tambahan lafaz: “Maka Allah membebaskan orang-orang dari neraka dan ia berlangsung setiap malam (dalam Ramadan).” (riwayat Ibnu Majah, Al-Tirmizi dan Ibnu Khuzaimah)

Malam Lailatulqadar turut berada dalam bulan Ramadan. Allah SWT telah memilih malam ini untuk diturunkan al-Quran serta malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Allah SWT berfirman: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatulqadar dan adakah engkau mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatulqadar itu? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada 1000 bulan. (al-Qadr: 1-3)

Disebabkan itu Rasulullah menekankan umatnya untuk mencari malam Lailatulqadar dengan memperbanyakkan amalan pada sepuluh malam atau tujuh terutama pada malam yang ganjil terakhir sebagaimana yang terdapat dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Di malam tersebut umat Islam dituntut untuk memperbanyakkan ibadah terutama solat di malam hari.

Puasa bertindak sebagai benteng seorang Muslim terhadap ujian nafsu dan syahwat. Disebabkan itu mereka yang tidak mampu untuk berkahwin digalakkan memperbanyakkan puasa. Rasulullah SAW bersabda: “Wahai sekalian anak muda, barang siapa di antara kalian mampu, hendaklah dia menikah kerana sesungguhnya itu lebih menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Barang siapa tidak mampu hendaklah dia berpuasa kerana puasa mampu menjadi benteng baginya.” (riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Puasa memberikan ganjaran yang besar di sisi Allah. Mulut orang yang berpuasa pula di sisi Allah SWT lebih harum daripada minyak misk (kasturi). Rasulullah SAW bersabda: Sungguh bau mulut orang yang sedang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada harumnya minyak misk (kasturi), (Allah SWT berfirman) kerana dia meninggalkan makanannya, minuman dan nafsu syahwatnya kerana Aku. Puasa itu untuk Aku dan Aku sendiri yang akan membalasnya dan setiap satu kebaikan dibalas dengan 10 kebaikan yang serupa. (Muttafaq ‘alaihi).

Kelebihan orang yang berpuasa yang tidak diterima oleh orang lain ialah ganjaran syurga yang akan dimasuki melalui sebuah pintu yang digelar Al-Rayyan. Pintu syurga ini hanya akan dilalui oleh orang yang berpuasa dan akan ditutup selepas mereka melaluinya.

Rasulullah SAW bersabda: Di dalam syurga ada satu pintu yang disebut dengan Ar-Rayyan, yang pada hari Kiamat nanti tidak akan ada orang yang masuk ke syurga melalui pintu itu kecuali para soimun (orang-orang yang berpuasa). Tidak akan ada seorangpun yang masuk melalui pintu tersebut selain mereka. Lalu dikatakan kepada mereka; Mana para soimun? Maka para soimun berdiri menghadap. Tidak akan ada seorangpun yang masuk melalui pintu tersebut selain mereka. Apabila mereka telah masuk semuanya, maka pintu itu ditutup dan tidak akan ada seorangpun yang masuk melalui pintu tersebut. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim).http://epondok.wordpress.com/2013/07/11/puasa-untuk-allah/


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: