Julai 3, 2013 — sulaiman
Rasullulah s.a.w. telah bersabda kepada sahabatnya “Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, penghulu segala bulan. Maka ucaplah selamat datang kepadanya. Telah datang bulan puasa yang membawa segala bentuk keberkatan, maka alangkah mulianya tetamu yang datang ini.( Riwayat At-Thabrani ).“ Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: “Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Ramadhan, menyerulah malaikat, katanya: “Wahai orang-orang yang mahukan kebaikan! Tampillah mengerjakannya dan wahai orang-orang yang hendak melakukan kejahatan! Berhentilah dari meneruskannya; ……” (Riwayat Tirmizi dan Nasa’i)

Bulan Ramadan adalah bulan yang sesuai sekali untuk melakukan perubahan seperti dijelaskan dalam hadith di atas. Misalnya jika seseorang ingin berhenti merokok, maka mulakanlah pada bulan ini.

Pada bulan Ramadan, Allah telah mengubah jadual makan kita dan menukar waktu kebiasaan kita makan. Namun matlamat puasa bukanlah sekadar meninggalkan makan dan minum, tetapi untuk melemahkan nafsu yang buruk.

Nafsu terhasil dari darah, dan darah terhasil dari makanan yang dimakan. Nafsu subur apabila makanan masuk kedalam badan. Makanan yang dimakan menghasilkan darah, air mani dan juga susu. Puasa dapat mengurangkan nafsu (yang jahat) kerana kurangnya makanan yang masuk kedalam badan dan darah.

Puasa Yang Bermutu

Selain itu kita hendaklah menjaga pantang-larang atau disiplin Ramadan dengan mengawal diri daripada melakukan perkara yang keji semasa berpuasa dan menjauhi aktiviti yang mengemukkan nafsu.

a) Menjaga mulut dari bercakap benda yang dilarang, mengumpat,

b) Menjaga mata dari melihat benda yang dilarang, misalnya menonton rancangan drama atau televisyen di siang hari.

c) Menjaga telinga dari mendengar benda yang dilarang seperti umpatan, muzik, lawak jenaka.

d) Menjaga anggota lain dari sebarang perkara mungkar, mislanya menjaga kaki dari menuju ke tempat maksiat.

Ramai orang yang berpuasa tapi mereka tidak dapat melakukan apa-apa perubahan ke atas diri mereka kerana tidak menjaga disiplin dan pantang-larang Ramadan. Mereka ini hanya memperolehi lapar dan dahaga.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Berapa banyak orang yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga.” Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.” (Riwayat Bukhari)