Posted by: Habib Ahmad | 15 Jun 2013

Asas-asas Pengetahuan Dalam Penerimaan Tafsir Saintifik (Al-Tafsir al-Ilmiy)

Asas-asas Pengetahuan Dalam Penerimaan Tafsir Saintifik (Al-Tafsir al-Ilmiy)

Pengenalan: Kemukjizatan Al-Qur’an

Dalam kepercayaan umat Islam, Al-Qur’an ialah salah satu daripada mukjizat Rasulullah SAW, yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada Baginda SAW melalui perantaraan Jibril a.s.. Bahkan, Al-Qur’an juga adalah mukjizat Rasulullah SAW yang kekal abadi. Ia mengandungi pelbagai rahsia dan ilmu pengetahuan di pelbagai lapangan dan setiap peringkat.

Mukjizat ada dua jenis iaitu:

Mukjizat Hissiyyah iaitu mukjizat berbentuk empirikal dan didapati oleh pancaindera.
Mukjizat ‘Aqliyyah iaitu mukjizat yang boleh didapati secara proses berfikir dengan menggunakan akal.

Mukjizat al-Qur’an disebut sendiri di dalam al-Qur’an betapa manusia lemah dalam mendatangkan seumpama al-Qur’an sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.” (Surah al-Isra’: 88)

Dalam surah al-Baqarah juga, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar. ” (Surah al-Baqarah: 23)

Antara perkara-perkara yang lemah untuk dicabar oleh manusia yang terkandung dalam al-Qur’an adalah dari beberapa sudut iaitu:

Kefasihan gaya bahasa dan kesusasteraannya dalam kaedah bahasa Arab. Hal ini diakui oleh pakar bahasa Arab sendiri yang hidup di zaman Rasulullah SAW, di mana mereka tidak mampu mendatangkan suatu penulisan sehebat gaya bahasa yang terkandung dalam al-Qur’an. Dalam riwayat ada menyebut bahawa ahli sastera Arab terkenal bernama Walid ibn al-Mughirah pernah mengakui di hadapan Abu Jahal tentang keagungan ayat al-Qur’an, yang tidak mampu ditandingi oleh mana-mana puisi dan syair Arab.

Ilmu pengetahuan yang terkandung di dalamnya yang merangkumi ilmu-ilmu tentang perkara-perkara ghaib, samada dalam alam ghaib (di luar batasan alam fizikal) ataupun perkara-perkara yang telah lama berlaku dan yang akan berlaku di masa hadapan.

Berkenaan dengan mukjizat ilmu pengetahuan dan maklumat yang terkandung dalam al-Qur’an inilah, maka berkembangnya suatu cabang penafsiran baharu yang dikenali sebagai al-Tafsir al-‘Ilmi (Tafsiran Saintifik) atau al-I’jaz Al-Ilmi (Kemukjizatan dari Sudut Saintifik). Ramai para ilmuwan Islam cuba menarik perhatian para cendikiawan Barat tentang keagungan al-Qur’an dari sudut metodologi Saintifik ini.

Asas-asas Yang Perlu Difahami Sebelum Membahaskan Isu Al-Qur’an dan Sains

Namun, dalam kita cuba membandingkan antara wahyu Al-Qur’an dengan prinsip dan metodologi saintifik, atau cuba mengaitkan ilmu Sains dengan kemukjizatan al-Qur’an, kita juga perlu memahami wasathiyyah dalam perkara ini, agar kita tidak terlalu taksub dalam mengaitkan Al-Qur’an dengan prinsip Saintifik sehingga mengabaikan asas-asas khitab (penyampaian) al-Qur’an yang lebih luas dan menyeluruh, sebagaimana kita juga tidak mengabaikan langsung kelebihan perkembangan sains moden dalam membantu membuktikan kebenaran al-Qur’an dari sudut kemukjizatannya.

Untuk mendapat keseimbangan tasawwur (konsep) antara al-Qur’an dengan prinsip dan metodologi Saintifik (atau ilmu Sains Moden), kita wajar memahami beberapa asas terutamanya dalam berinteraksi dengan al-Qur’an dan ilmu sains itu sendiri. Asas-asasnya adalah seperti berikut:

Pertama: Al-Qur’an ialah wahyu dari Allah s.w.t., Tuhan yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Di dalamnya mengandungi pedoman dan maklumat untuk manusia, samada tentang hakikat sesuatu, realiti sesuatu, nilai sesuatu dan tindakan yang baik untuk manusia, di segenap peringkat. Sebagaimana disebutkan dalam Surah Ali Imran ayat yang ketujuh, ayat-ayat al-Qur’an mengandungi dua bentuk iaitu Muhkamat dan Mutasyabihat. Ramai para ulama’ memahami bahawasanya, ayat-ayat Muhkamat ialah ayat-ayat yang hanya mengandungi satu makna sahaja, yang mana makna tersebut jelas dan tepat difahami dengan satu bentuk kefahaman sahaja. Berbeza dengan ayat-ayat mutasyabihat, maka ianya merupakan ayat-ayat yang boleh difahami dengan pelbagai makna dan takwilan.

Ayat-ayat Muhkamat difahami dengan satu bentuk kefahaman dan tafsiran yang muktamad seperti perkataan Aqimis Solah (dirikanlah solat), maka ianya difahami dengan makna melakukan solat dengan definisinya menurut syarak, di sisi para ulama’ secara muktamad. Adapun ayat-ayat Mutasyabihat, maka ianya difahami dengan pelbagai bentuk dan kefahaman selagimana ianya bersesuaian dengan kaedah bahasa Arab dan ajaran agama yang asas. Ayat-ayat yang membahaskan tentang alam fizikal (al-Kauniyyat) adalah antara ayat-ayat yang boleh difahami sesuai dengan perkembangan ilmu manusia termasuklah dengan prinsip Saintifik.

Kedua: Al-Qur’an mengandungi keluasan makna dan terus berkembang. Walaupun al-Qur’an bukan sebuah buku Sains Moden, namun ada sebahagian perkara-perkara saintifik dijelaskan di dalam al-Qur’an. Namun, kita perlu fahami bahawa, peringkat ilmu Sains Moden adalah suatu ilmu yang berkembang dari masa ke semasa, yang mana ianya pernah tidak diterokai dan tidak disusun terutamanya pada zaman penurunan al-Qur’an. Maka kita akan fahami bahawasanya, lafaz-lafaz al-Qur’an yang dikaitkan dengan maklumat Sains Moden pada masa kini difahami dengan cara berbeza pada zaman salaf terutamanya.

Bahkan, dalam ayat-ayat Mutasyabihat yang bersifat Zhonniyat al-Dalalah (petunjuk dan maknanya tidak muktamad), tidak boleh diputuskan satu makna secara muktamad sehingga menafikan makna-makna lain yang juga bersesuaian untuk difahami berkenaan ayat-ayat tersebut. Maka, kita katakan, penafsiran saintifik terhadap sesetengah ayat al-Qur’an adalah salah satu daripada makna yang boleh difahami daripada ayat tersebut, tetapi bukan satu-satunya makna bagi ayat tersebut secara mutkamad.

Ketiga: Tujuan utama maklumat-maklumat tentang alam fizikal (al-Kauniyyat) ini disebut di dalam Al-Qur’an adalah agar ianya menjadi petanda bagi kewujudan, keesaan, keagungan, kebijaksanaan dan ketuhanan Allah s.w.t., bagi mereka yang ingin menggunakan akal untuk berfikir mengenainya.

Allah s.w.t. menyebut tentang hal ini dalam Al-Qur’an yang bermaksud: “Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintah langit dan bumi dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.” (Surah Ali Imran: 189-191)

Maka, Al-Qur’an secara dasarnya menentang nilai Sains Moden yang dikembangkan oleh dunia Barat yang bersifat Sekular dan anti-ketuhanan, walaupun mengiktiraf ilmu Sains sebagai salah satu daripada cabang ilmu yang perlu diketahui. Maka, ketika kita cuba menjelaskan kepada dunia Barat Moden tentang hubungan al-Qur’an dengan Ilmu Sains Moden, kita juga perlu jelas tentang kepincangan yang berlaku di sebalik perkembangan ilmu Sains Moden terutamanya dari sudut nilai yang cuba diterapkan oleh para ilmuwan Sekular Barat dalam sistem pembelajaran subjek tersebut.

Bahkan, sebagai muslim, pandang alam (atau paradigma) kita jelas bahawa ilmu Sains Moden jika sekadar maklumat-maklumat tentang penjelasan terhadap apa yang berlaku dalam alam fizikal ini, tanpa mengaitkannya sebagai tanda kewujudan dan kebesaran Tuhan, bererti, ianya bukan sebuah ilmu yang bermanfaat. Ini kerana, dalam paradigma Islam (Namuzaj al-Ma’rifi al-Islami), ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang mendekatkan kita kepada Tuhan Maha Pencipta.

Keempat: Penafsiran al-Qur’an terbahagi kepada dua bahagian yang utama iaitu al-Tafsir bi al-Ma’thur (tafsiran salaf iaitu daripada Rasulullah SAW, para sahabat r.a. dan tabi’in) dan al-Tafsir bi Al-Ra’yi (tafsiran dengan pendapat berdasarkan penguasaan ilmu yang lengkap). Dari sudut keutamaan, sudah tentulah Tafsir bi al-Ma’thur lebih diutamakan, namun tidak menolak kepentingan Tafsir bi al-Ra’yi di sisi majoriti ulama’ tafsir. Adapun Tafsir Ilmiy (tafsir Saintifik) boleh disenaraikan sebagai sebahagian daripada Tafsir bi al-Ra’yi.

Kelima: Ilmu Sains Moden itu sendiri bukanlah suatu ilmu yang menduduki peringkat tertinggi dalam hiraki ilmu, samada dari sudut nilai gunanya mahupun nilai maklumatnya itu sendiri. Al-Qur’an sebagai wahyu daripada Allah s.w.t. sudah tentu tidak dapat diukur melalui prinsip Saintifik yang lebih rendah kerana prinsip dan metodologi Saintifik (Al-Manhaj al-‘Ilmiy) adalah suatu proses yang digunakan oleh para saintis untuk mencari penjelasan terhadap apa yang berlaku dalam alam ini dan hukumnya bagi meramalkan sesuatu yang akan berlaku dengan mengetahui hukum tersebut, sedangkan Al-Qur’an lebih tinggi daripada itu.

Antara peringkat-peringkat dalam metodologi Saintifik adalah: melakukan pemerhatian, membuat hipotesis atau andaian hukum di peringkat awal, melakukan ujikaji berkali-kali bagi membuktikan kesahihannya dan sebagainya. Metodologi dan prinsip Saintifik ini masih berkaitan dengan hukum adat iaitu alat yang digunakan untuk mengkaji dan menjelaskan hukum adat yang berlaku dalam alam ini, yang disusun dan ditadbir oleh Allah s.w.t. yang disebut sebagai Sunnatullah.

Adapun Al-Qur’an itu sendiri, sebagai wahyu daripada Allah s.w.t., diturunkan juga sebagai mukjizat kepada Rasulullah SAW. Jika ada penjelasan saintifik dan maklumat berkaitan dengan ilmu Sains Moden di dalamnya, ianya justeru menunjukkan kebenaran al-Qur’an sebagai wahyu daripada Allah s.w.t., bukan tulisan ataupun karangan manusia pada zaman tersebut, kerana ilmu-ilmu tersebut baharu sahaja dapat ditemui pada zaman moden, seribu tahun selepas al-Qur’an diturunkan.

Namun, dengan terkandungnya maklumat-maklumat saintifik dalam al-Qur’an justeru menunjukkan al-Qur’an menjangkau prinsip dan metodologi Saintifik itu sendiri kerana keajaibannya menjangkau hukum adat (khariq al-‘Adat) yang menjadi medan perbahasan ilmu Sains Moden dan metodologi Saintifik. Maka, disebabkan al-Qur’an ini adalah suatu mukjizat yang menjangkau adat (khariq al-‘Adat) bahkan menjangkau prinisp dan metodologi Saintifik sendiri, maka ada juga ilmu-ilmu di dalamnya tidak dapat dinilai melalui prinsip dan metodologi Saintifik seperti perkhabaran tentang alam ghaib dan sifat-sifat ketuhanan.

Dari sudut ini, sudah pastilah para ilmuwan Barat yang Sekular tidak dapat menerima sepenuhnya apa yang disampaikan oleh Al-Qur’an kerana membataskan keilmuan mereka hanya kepada perkara-perkara yang boleh dimuktamadkan melalui prinsip dan metodologi saintifik semata-mata.

Keenam: Pembahagian kewujudan kepada realiti (Al-Waqi’) dengan hakikat sesuatu (Nafs al-Amr). Realiti ialah apa yang boleh didapati secara langsung oleh deria manusia (pancaindera) yang mana ianya boleh disimpulkan secara tetap pada sepanjang peredaran zaman.

Sebagai contoh, kita dapati melalui pancaindera yang asas, bahawa air itu sifatnya halus, menyegarkan, jernih dan sangat sesuai secara fitrahnya untuk dibuat bersuci dan digunakan untuk minum. Begitu juga matahari, kita dapati dengan mata kita bahawa ianya sentiasa beredar di langit di mana ianya terbit di sebelah timur dan akan terbenam di sebelah barat.

Menurut Dr. Ali Jum’ah, antara pemerhatian yang didapati, wahyu (Al-Qur’an) berbicara kepada kita dengan penyampaian yang bersesuaian dengan realiti, iaitu apa yang boleh didapati secara langsung oleh pancaindera manusia tanpa sebarang perantaraan tambahan, bahkan dibinanya hukum syarak di atas perkara yang bersesuaian dengan pancaindera, tanpa bertentangan dan tanpa melarang tentang hakikat sesuatu. [al-Thariq ila al-Turath al-Islami, m/s: 28]

Adapun hakikat sesuatu itu adalah sesuatu yang tidak tetap di sisi manusia dan terus berkembang berdasarkan perkembangan alat penyelidikan dan teknologi. Ianya adalah sesuatu yang di sebalik pancaindera manusia yang langsung, seperti penemuan tentang hakikat sesuatu dengan menggunakan alat tambahan seperti mikroskop, teleskop dan sebagainya.

Air misalnya, di bawah pemerhatian melalui mikroskop, akan terzahir ribuan bahkan jutaan micro-organisma di dalamnya termasuklah bakteria, yang mana ianya akan menghilangkan ukuran ‘kemutlakan’ air mutlak bahkan menyebabkan jiwa manusia yang normal tidak sanggup untuk menggunakannya. Maka, sebab itulah, pencemaran dan percampuran air itu yang mengubah sifat ke’air’annya dari sudut hukum syarak, berdasarkan apa yang kelihatan oleh pancaindera. Namun, air di dalam pemerhatian mikroskop tidak akan mencapai tahap air mutlak yang bebas daripada campuran sama sekali.

Bulan purnama juga yang dipuji dalam puisi para penyair adalah berdasarkan pancaindera manusia yang melihat keindahannya dari jarak jauh. Namun, jika bulan diperhatikan melalui teleskop, ianya tidak seindah yang dipuji, bahkan mempunyai permukaan yang berlubang-lubang dan sebagainya. Begitulah hakikat sesuatu (nafs al-Amr) yang lain di mana ianya tidak sampai kepada penghujung dan pengetahuannya sentiasa berkembang. Sehingga air yang mengandungi mikro-organisma sendiri jika diperincikan pemerhatiannya, maka ianya berbentuk cantuman atom-atom.

Maka, kita menolak sebahagian golongan yang berpegang kepada teks al-Qur’an secara literal sehingga mengingkari kewujudan yang telah diterokai melalui penyelidikan saintifik kerana teks al-Qur’an sendiri sebahagiannya bersifat Mutasyabihat yang terdedah kepada pelbagai makna dan tafsiran. Begitu juga, sebahagian kaum muslimin telah tersalah langkah ketika mengingkari wahyu atau meraguinya, bahkan sehingga ada yang mengkufurinya ketika membela penemuan saintifik yang didapati daripada kewujudan kerana berpegang dengan hakikat sesuatu sebagaimana ia (Nafs al-Amr), ketika bertembung dengan zahir wahyu. [Dr. Ali Jum’ah, al-Thariq ila Al-Turath al-Islami]

Ketujuh: Penguasaan ilmu secara holistik dan tidak terpisah. Al-Qur’an menekankan tradisi ilmu yang holistik di samping meletakkan sesuatu pada tempatnya berdasarkan penilaian agama. Ia berbeza sepertimana dalam tradisi Barat Sekular yang menekankan konsep dualisme manusia, iaitu pemisahan antara jiwa dan jasad yang kemudiannya dimantapkan oleh ‘Cartesian Dualism’, yang melahirkan konsep dualisme ilmu antara bidang Ilmu Sains Tabi’ie dengan ilmu Sains Sosial. [Dr. Abdul Rahman Abdullah, Tradisi Falsafah Ilmu, 2002, m/s 127]

Wilhelm Windelband antara tokoh yang menyemarakkan Dualisme ilmu ini iaitu pemisahan dua jenis ilmu iaitu:-

Ilmu Nomotetik (Nomothetic Sciences) seperti Sains Tabi’e .
Ilmu Ideografik (Idiographic Sciences) seperti Sejarah

Pemisahan antara dua bidang ilmu ini adalah disebabkan kajian terhadap watak dan tingkah laku manusia berbeza dengan kajian tentang tingkah laku alam ini di mana dalam bidang Sains yang melibatkan kajian tentang alam, terdapat sifat-sifat umum (general) dan sejagat (universal) yang boleh merumuskan pola-pola hukum (nomos). Sedangkan, watak dan tindakan manusia pula mempunyai ciri-ciri idiosyncracy atau sifat kekhususan dan tersendiri antara setiap individu.

Namun begitu, Islam turut meletakkan ilmu sejarah di kedudukannya yang penting, terutamanya dalam hubungan kehambaan dengan Allah s.w.t.. Apa yang perlu kita pelajari daripada sejarah adalah iktibar yang dapat diambil daripadanya, dalam membentuk tindakan yang lebih baik di masa hadapan.

Tradisi Islam meletakkan kedua-dua ilmu di tempatnya, secara tawazun (seimbang) dan harmoni, menepati konsep wasathiyyah dalam prinsip Islami. Apa yang paling penting ialah unsur tauhid dalam ilmu-ilmu yang berkembang di mana ianya menjadi hidayah kepada keimanan kepada Allah s.w.t.. Dalam pandangan Islam, setiap ilmu mempunyai keistimewaannya dan tidak bersifat mutlak termasuklah sudut deterministik (boleh diramal) dalam prinisp Saintifik, begitu juga dengan ilmu sains sosial dan sejarah.

Al-Qur’an yang berbunyi (maksudnya): “Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhan lakukan terhadap kaum Ad? (Iaitu) penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi. Yang belum pernah diciptakan bangunan-bangunan seumpama itu di negeri-negeri lain. Dan kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadi Al-Qura tempat tinggalnya). Dan Fir’aun yang mempunyai bangunan-bangunan yang kukuh dan tinggi. Yang bermaharajalela di negeri (masing-masing). Lalu mereka melakukan kerosakan di negeri itu. Maka (dengan sebab itu), Tuhan menimpakan mereka (pelbagai) paluan azab (yang tidak putus-putus). Sesungguhnya Tuhanmu tetap menguasai (setiap amalan)” (Surah Al-Fajr: 6-14)

Firman Allah s.w.t. lagi yang bermaksud: “Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhan lakukan terhadap kaum Ad? (Iaitu) penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi. Yang belum pernah diciptakan bangunan-bangunan seumpama itu di negeri-negeri lain. Dan kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadi Al-Qura tempat tinggalnya). Dan Fir’aun yang mempunyai bangunan-bangunan yang kukuh dan tinggi. Yang bermaharajalela di negeri (masing-masing). Lalu mereka melakukan kerosakan di negeri itu. Maka (dengan sebab itu), Tuhan menimpakan mereka (pelbagai) paluan azab (yang tidak putus-putus). Sesungguhnya Tuhanmu tetap menguasai (setiap amalan)” (Surah Al-Fajr: 6-14)

Setelah kita memahami asas-asas yang disebutkan, barulah kita boleh melihat secara mendalam tentang isu kemukjizatan al-Qur’an dengan Ilmu Sains Moden secara harmoni dan adil, sesuai dengan paradigma Islam (Al-Namuzaj al-Ma’rifi al-Islami) atau Islamic Worldview.

Dr. Al-Qaradhawi: ‘Garis Panduan Penerimaan Tafsir Saintifik’

Dalam risalah berjudul Nazhoriyyat fi al-Tafsir al-‘Ilmiy li al-Qur’an yang disusun oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, beliau menggariskan beberapa syarat dalam penerimaan dan penggunaan Tafsir Saintifik ini.

Pertama: Penggunaan maklumat yang yang ingin dikaitkan dengan Al-Qur’an mestilah telah menjadi suatu fakta Saintifik yang terbukti benar di sisi para Saintis secara sepakat, yang mana ianya tidak mungkin akan diperbetulkan lagi. Adapun jika masih di tahap hipotesis, teori dan sebagainya, Tidak ada orang boleh mendakwa ilmu akan sentiasa berubah dan tidak mutlak. Maka, sudah pasti dalam ilmu sains sekalipun mempunyai fakta-fakta yang sudah muktamad.

Kedua: Tidak terlalu bertungkus lumus untuk menjadikan ayat sesuai dengan maklumat tersebut. Tetapi, kita mengambil sahaja makna-makna yang memang telah disebut oleh bahasa Arab dan digunakan sendiri oleh al-Qur’an bersesuaian dengan konteks asalnya. Antara penjagaan tersebut adalah dengan tidak menafsirkan lafaz Al-Qur’an dengan makna moden yang tidak tepat secara yakin.

Ketiga: Tidak mentohmah para ulama’ sebelum ini tidak memahami makna al-Qur’an terutamanya generasi Salaf setelah nas-nas tersebut diberi tafsiran Saintifik. Ini kerana, kefahaman terhadap al-Qur’an itu berbeza-beza di sisi para ulama’ dan tidak bermakna pengetahuan terhadap sesuatu makna menafikan makna yang difahami sebelum ini.

http://rajamukhlis.blogspot.com/2013/06/asas-asas-pengetahuan-dalam-penerimaan.html


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: