Jun 3, 2013 — sulaiman
Isra [1] Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Israk ialah perjalanan Rasulullah s.a.w. yang diperjalankan oleh Allah s.w.t. dari Masjidilharam ke Majidil Aqsa, manakala Mikraj ialah perjalanan Baginda naik ke atas langit.

Rasulullah s.a.w. mengalami kesedihan setelah kematian dua insan yang amat disayanginya iaitu isteri Baginda Siti Khadijah r.a. dan bapa saudaranya Abu Talib. Kemudian Baginda berhijrah ke Taif untuk meneruskan dakwah tetapi tidak diterima penduduk Taif pada ketika itu sehingga berdarah kaki Baginda dilontar batu. Akhirnya, Allah SWT mengubat kesedihan Rasulullah dengan memperjalankan Baginda Mulia dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj

Pada malam Israk Mikraj, Nabi Muhammad s.a.w. tidur di rumah Ummi Hani (adik beradik Sayyidina Ali di Mekah). Lalu bumbung rumah Ummi Hani terbuka, turun dua malaikat (Jibrail dan Mikail) dari langit. Malaikat itu mengeluarkan jantung Nabi dan membersih darah kotor dari hati Baginda dan dimasukkan kembali sebelum Baginda di bawa ke langit. Hati yang bersih ini juga diberikan kepada para ahli syurga:

Al-Hijr [47] Dan Kami cabut akan apa yang ada di hati mereka dari perasaan hasad dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin masing-masing.

Semasa Rasulullah diperjalankan ke Baitul Maqdis dalam peristiwa Israk, ada daripada kalangan orang-orang Quraisy pergi berjumpa dengan Abu Bakar untuk menceritakan berita Israk Nabi itu dan bertanya ; Apakah engkau percaya berita itu ? Lantas jawab Abu Bakar “Betulkah dia (Rasulullah) menceritakan demikian ? Jawab mereka, “Betul !” Mendengarkan jawapan tersebut Abu Bakar pun segera menjawab, “kalau begitu tentulah sekali apa yang diceritakan itu benar, kerana dalam semua perkataannya ia benar semuanya. Dan aku membenarkannya dalam semua urusan yang lebih jauh dari itu dan aku telah membenarkannya dalam semua urusan wahyu dari langit tinggi.”. Semenjak itulah maka Abu Bakar digelar As-Siddiq (orang yang membenarkan).

Rasulullah s.a.w. telah menerima kontrak ibadah sembahyang semasa Baginda Mikraj (naik) ke satu tempat di atas langit.

Sabda Nabi s.a.w “Semua ibadat difardhukan di bumi melainkan sembahyang, dan ia difardhukan di langit antara dua qudratnya”.

Pada malam itu Baginda telah naik ke 17 tempat (bilangan rakaat sembahyang sehari semalam juga 17). Angka 8 pula terhasil dari 1+7 dan bilangan rakaat sembahyang pula ialah 17 rakat. Sembahyang itu juga adalah anak kunci syurga.

Dari Jabir r.a. katanya Rasulullah s.a.w bersabda “Anak kunci syurga ialah sembahyang”. Sembahyang adalah anak kunci yang mempunyai lima bilah iaitu lima waktu sembahyang.

Dalam sebuah hadith ada disebut “Sembahyang itu Mikraj orang Mukmin”. Orang mukmin ialah orang Islam yang patuh dan Mikraj pula bermaksud naik. Orang mukmin dinaikkan taraf atau status atau makamnya melalui ibadat sembahyang. Sembahyang boleh meningkatkan kedudukan rohani seorang Islam disisi Allah. Ada orang yang dinaikkan darjah kedudukannya menjadi wali kerana mengerjakan sembahyang sunat dengan banyaknya (selain sembahyang fardhu) semata-mata kerana Allah, tanpa melalui ilmu tarikat.

Allah sayang kita umat Muhammad, dan diberikan kontrak solat 5 waktu. (seperti kontrak dunia, lagi banyak kerjanya, lagi banyak bayaran). Asalnya Allah beri 50 waktu, tapi setelah Nabi Musa menasihati Nabi Muhammad agar meminta dikurangkan, maka tinggallah 5 waktu – kerana mengikut pengalaman dakwahnya manusia tidak mampu menyiapkan projek 50 waktu solat. Allah telah mengurangkan kontrak dari 50 waktu solat ke 5 waktu tetapi bayarannya tetap sama. Allah memberi kita pelbagai jenis kontrak seperti solat dan puasa agar kita dapat kedudukan yang tinggi di syurga.

Daripada Anas r.a katanya: ”Rasulullah s.a.w. telah bersabda :…(selain dari apa yang telah aku saksikan semasa aku dibawa israk dan mikraj pada malam itu), maka Allah fardhukan (atasku) dan atas umatku lima puluh sembahyang…lalu aku memohon kepada-Nya (supaya dikurangkan lagi bilangan sembahyang itu yang telah pun dikurangkan sehingga tinggal lima sahaja); maka Allah SWT berfirman:”Sembahyang fardhu (sehari semalam) itu tetap lima (dari segi bilangannya) dan ia juga tetap lima puluh (dari segi pahalanya); keputusan-Ku itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti…” ( Riwayat Bukhari )