Posted by: Habib Ahmad | 31 Mac 2013

Spekulasi, Pendirian dan Kesyahidan Syeikh al-Buti رحمه الله

Spekulasi, Pendirian dan Kesyahidan Syeikh al-Buti رحمه الله
Editor: Blog al-Faqir Ila Rabbih Ta’ala – Date: 28.3.13

Hingga kini ramai yang masih bingung tentang pembunuhan al-‘Allamah Syeikh al-Buti.. Saya juga masih bingung memikirkannya. Tambah dukacita lagi, apabila ada orang Islam yang bersorak gembira atas kematian beliau..

Mengapa beliau dibunuh? Apakah semata-mata kerana beliau menyokong Rejim Asad? Jika jelas apakah ada dalil syar’i yang membenarkan darah seseorang muslim itu halal semata-mata kerana zahirnya ia menyokong pemimpin yang zalim? Sedang Nabi SAW menyatakan, tidak halal darah seseorang muslim itu melainkan dengan tiga perkara; iaitu penzina yang sudah berkahwin, membunuh orang tanpa hak dan orang yang meninggalkan agamanya, yang berpisah daripada jemaah muslimin (muttafaq ‘alaih).

Dalam pada itu, satu kumpulan jemaah jihad mendakwa merekalah yang bertanggungjawab atas pembunuhan Syeikh al-Buti dan mengancam pula untuk membunuh Mufti Syria, Syeikh Hassun. Meskipun wujud spekulasi lain yang mengatakan, beliau dibunuh oleh Rejim Asad sendiri kerana beliau mula cenderung dengan perjuangan rakyat Syria..

Di saat ramai umat Islam berduka atas pembunuhannya, sebahagian umat Islam lain bergembira dan bersyukur atas pembunuhan tersebut.. Disebabkan perbezaan mazhab dan pemikiran, mereka bukan sekadar bergembira dan bersyukur, bahkan mencaci dan mencerca Syeikh al-Buti yang sudah kembali menemui Allah SWT.. La hawla wala quwwata illa biLlah… Apakah Nabi SAW menganjurkan kita mencaci dan mencerca orang muslim yang sudah mati?! Lalu timbullah alasan-alasan dan dalil-dalil rekaan yang cuba membenarkan perbuatan mereka..

Hanya pada Allah SWT saja kita serahkan semua urusan..

Jika diamati dan difikirkan, tidak mungkin seorang alim besar menyokong pemimpin yang zalim secara membuta tuli tanpa sebarang apa-apa alasan yang munasabah. Tidak mungkin Syeikh al-Buti rela dan redha dengan pembunuhan dan penyembelihan yang dilakukan oleh Rejim Asad terhadap rakyatnya sendiri. Pasti ada sebab lain… Tulisan-tulisan dan kata-kata Syeikh al-Buti tidak pun menggambarkan yang beliau telah terkeluar daripada usul syarak. Bahkan semuanya masih menunjukkan beliau seorang yang amat kuat berpegang dengan usul syarak.

Setidak-tidaknya pun dalam isu ini, beliau masih melihat dirinya berada di dalam lingkungan ijtihad, yang jika benar ia mendapat dua pahala, dan jika salah ia tetap mendapat satu pahala. Walaupun barangkali orang lain tidak berfikir begitu.

Sebenarnya bukan baru kini saja muncul pemimpin-pemimpin yang zalim, bahkan dalam sejarah Islam sendiri sudah menyaksikan kemunculan ratusan pemimpin-pemimpin yang zalim. Maka, sebagaimana para ulama pada zaman itu bertindak, begitu juga para ulama pada zaman ini bertindak. Pasti ada antara pro dan kontra. Secara zahirnya, tidak mungkin seorang muslim biasa yang waras redha dengan kezaliman mana-mana pemimpin, apatah lagi seorang alim..

Pasti ada sebab lain atas tindakan Syeikh al-Buti..

Yang pastinya, beliau menyokong Rejim Asad bukan kerana kebenaran rejim tersebut, tapi kerana tidak mahu berlaku perkara-perkara kemudharatan yang lebih besar terhadap masyarakat Islam Syria, penduduk Syam, yang disabdakan oleh Nabi SAW:
إِذَا فَسَدَ أَهْلُ الشَّامِ فَلاَ خَيْرَ فِيكُمْ.
“Jika binasa penduduk Syam, maka tiada kebaikan lagi pada kamu sekalian…” (HR al-Tayalisi, Ahmad dan at-Tirmizi, katanya: Hasan sahih).

Memang Rejim Asad itu suatu mudharat, namun huru-hara, kekacauan, kekejaman dan pembunuhan yang berlaku adalah suatu mudharat yang lebih besar. Ini menurut pandangan beliau. Meskipun ia bersesuaian dengan usul syarak, namun ia mungkin dilihat tidak sesuai dengan konteks dan faktor semasa menurut ramai ulama yang lain.

Bagaimanapun, setelah menyaksikan pelbagai kekejaman dan kebiadapan Rejim Asad, dikatakan Syeikh al-Buti di akhir hayatnya mula cenderung dengan perjuangan rakyat dan tidak mahu lagi menyokong Rejim Asad, sebagaimana menurut Syeikh Muhammad Abu al-Huda al-Ya’qubi.

Anak perempuan beliau juga menyatakan, ayahnya sebenarnya dipaksa dan diancam oleh Rejim Asad yang akan merosakkan maruah keluarga dan anak cucunya jika beliau tidak menyokongnya.

Beliau juga ditanya mengapa tidak mahu meninggalkan Syria, tapi beliau menjawab:
“أشعرني الله بانني في هذه المرحله إن تركت هذا البلد فسوف يكون شأني كشأن أب له أهل و أولاد وأطفال يتركهم الى حيث لا يعلم مصيرهم”.
“Allah menjadikan aku merasakan pada tahap sebegini, jika aku meninggalkan negara ini, maka keadaanku nanti akan menjadi seperti keadaan seorang bapa yang mempunyai isteri, keluarga dan anak-anak, lalu ia tinggalkan mereka tanpa mengetahui nasib yang bakal menimpa mereka”.

Dua minggu sebelum kejadian, al-Habib ‘Ali al-Jufri sempat menelefon Syeikh al-Buti dan beliau mengatakan;
“إنه لم يبق من العمر إلا أياما معدودة وإني لأَستروح الجنة من ورائها فلا تنس أخاك من الدعاء”…
“Tidak tinggal lagi umurku kecuali beberapa hari sahaja. Dan aku dapat mencium bau syurga di belakang hari-hari tersebut. Maka janganlah kamu lupakan saudaramu ini daripada doamu..”.

Seolah-olah beliau tahu beliau akan dibunuh dengan sebab perubahan pendiriannya.. Apa lagi yang dinantikan oleh seorang lelaki yang sudah lanjut usianya?…

Tiada yang menafikan kewarakan dan kealiman Syeikh al-Buti. Ketika beliau berkunjung ke Malaysia, saya sempat berjabat tangan dengannya dan cuba mencium tangan beliau.. Namun dengan pantas beliau menyentap tangannya. Rupa-rupanya bukan saja pada saya, bahkan itu juga berlaku kepada ramai orang dan rakan yang cuba mencium tangan beliau dek kerana sifat tawadhuk dan rendah diri beliau. Dengan sifat ulama seperti inilah kita mempelajari adab dan akhlak.

Bukan rahsia lagi, para pembenci beliau bersuka ria atas kematiannya.. Sebagaimana mereka juga pernah bersuka ria atas kewafatan Syeikh Muhammad ‘Alawi al-Maliki رحمه الله.. Mereka menggunakan hujah, harus bergembira dan bersujud syukur atas kematian ahli bidaah…??! Allah… Apakah ukuran dan ciri ahli bidaah di sisi mereka yang malang ini?? Mereka tidak pun peduli dengan bagaimana kewafatan Syeikh al-Buti yang sedang mengajar agama di dalam masjid dan pada malam Jumaat pula.. yang sedang berada di dalam satu taman daripada taman-taman syurga!…رحمه الله

Semoga Allah Taala merahmati roh Syeikh al-Buti dan menempatkan beliau dalam kalangan para anbiya’ dan para solihin. Di sisi Allah Taala Yang Maha Adil kelak akan bertemu segala permusuhan


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: