Solat, zakat sumber kekuatan Islam
Posted by epondok di Mac 13, 2013
Rate This
Allah SWT menerangkan menerusi surah al-Baqarah, ayat 43: Dirikanlah solat dan keluarkanlah zakat.
Talhah bin Ubaidullah melaporkan: Ada seorang lelaki penduduk Najad datang menemui Rasulullah dengan rambutnya yang kusut masai. Kami mendengar suaranya tetapi tidak faham apa diperkatakannya.
Orang itu menghampiri Rasulullah dan bertanya mengenai agama Islam. Rasulullah menerangkan: Kami wajib sembahyang lima kali sehari semalam. Lelaki itu bertanya pula: Adakah saya wajib bersembahyang, selain daripada sembahyang lima kali sehari semalam itu? Rasulullah menjawab: Tidak ada, kecuali jika kamu ingin melakukan solat sunat.
Rasulullah menerangkan lagi: Kemudian kamu wajib berpuasa pada bulan Ramadan. Lelaki itu bertanya: Adakah saya wajib berpuasa pada bulan lain? Rasulullah menjawab: Tidak ada, kecuali jika saudara ingin berpuasa sunat.
Talhah menerangkan lagi: Kemudian Rasulullah menceritakan kepada orang itu berkenaan kewajipan membayar zakat.
Lelaki itu bertanya: Adakah saya wajib membayar lebih daripada kadar zakat itu? Rasulullah menjawab: Tidak, kecuali jika kamu ingin memberikan sedekah yang sunat.
Jamin keselamatan nyawa
Apabila lelaki itu hendak beredar, baginda sempat menerangkan: Demi Allah, saya tidak menambah-nambah kewajipan itu. Saya juga tidak menguranginya. Saya buat yang wajib saja. Justeru, Rasulullah berkata: Lelaki itu mendapat kebahagiaan jika benar apa yang dikatakannya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Abdullah bin Umar berkata, Rasulullah menerangkan: Saya mendapat perintah daripada Allah supaya memerangi manusia, sehingga mereka mengakui tiada tuhan selain Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah. Mereka bersembahyang dan membayar zakat. Jika mereka menurut perintah ini, saya jamin keselamatan nyawa dan harta mereka, kecuali sesuatu yang berkaitan hukum Islam. Manakala berkenaan amalan hati mereka, hanya Allah yang membalasnya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)