Posted by: Habib Ahmad | 30 Januari 2013

Penjelasan Kedudukan Hadis Tawassul Nabi Adam a.s. dan Tujuan Penciptaan Alam

Penjelasan Kedudukan Hadis Tawassul Nabi Adam a.s. dan Tujuan Penciptaan Alam

Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan Maha Pencipta, empunya sekalian alam. Selawat dan salam buat Saidina wa Nabiyyina Muhammad, rasul Allah yang teragung dan terakhir diutuskan, yang menjadi rahmat buat seluruh alam. Juga, selawat dan salam buat ahli keluarga, para sahabat r.a. dan mereka yang mengikuti jejak Rasulullah SAW sehingga akhir zaman.

Amma ba’du…

Sebahagian para penuntut ilmu –semoga Allah memuliakan mereka dan memberi kefahaman yang sahih kepada mereka dan kepada kita semua- telah bertanya kepada al-faqir tentang kedudukan hadis tawassul Nabi Adam a.s. dengan Rasulullah SAW di sisi Allah s.w.t.. Menurut mereka, telah tersebar tulisan yang menilai semula dan membahaskan tentang kedudukan hadis ini dan tujuan penciptaan makhluk ini.

Maka, al-faqir walaupun dengan penuh kekurangan, tetapi dengan bantuan Allah s.w.t., cuba untuk menulis beberapa catatan mengenai kedudukan hadis ini dan permasalahan tujuan penciptaan makhluk adalah Nabi Muhammad SAW sebagaimana disebutkan dalam hadis tersebut.

Perbahasan Pertama: Kedudukan Hadis Tawassul Nabi Adam as

Nas hadis:

عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ : ” لَمَّا اقْتَرَفَ آدَمُ الْخَطِيئَةَ ، قَالَ : يَا رَبِّ ، أَسْأَلُكَ بِحَقِّ مُحَمَّدٍ لَمَا غَفَرْتَ لِي ، فَقَالَ اللَّهُ : يَا آدَمُ ، وَكَيْفَ عَرَفْتَ مُحَمَّدًا وَلَمْ أَخْلُقْهُ ؟ قَالَ : يَا رَبِّ ، لأَنَّكَ لَمَّا خَلَقْتَنِي بِيَدِكَ وَنَفَخْتَ فِيَّ مِنْ رُوحِكَ رَفَعْتُ رَأْسِي فَرَأَيْتُ عَلَىَ قَوَائِمِ الْعَرْشِ مَكْتُوبًا لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ ، فَعَلِمْتُ أَنَّكَ لَمْ تُضِفْ إِلَى اسْمِكَ إِلا أَحَبَّ الْخَلْقِ إِلَيْكَ ، فَقَالَ اللَّهُ : صَدَقْتَ يَا آدَمُ ، إِنَّهُ لأُحِبُّ الْخَلْقِ إِلَيَّ ادْعُنِي بِحَقِّهِ ، فَقَدْ غَفَرْتُ لَكَ وَلَوْلا مُحَمَّدٌ مَا خَلَقْتُكَ ”

Maksudnya: Daripada Saidina Umar bin al-Khattab r.a. bahawa beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: “Ketika Adam as melakukan kesalahan lalu baginda berkata: “Wahai Tuhan, saya memohon dengan hak Muhammad, tidakkah kamu sudi mengampuniku?” Allah s.w.t. lalu berfirman: “Wahai Adam, bagaimana kamu kenal Muhammad sedangkan aku belum menciptakannya lagi?” Beliau menjawab: “Wahai Tuhan. Ia kerana, ketika Engkau menciptakanku dengan yadd (kekuasaan)-Mu, lalu Engkau tiupkan padaku daripada roh-Mu, lalu aku mengangkat kepalaku, maka aku mellihat di atas tiang-tiang Arasy telah tertulis “La ilaha Illallah Muhammadur Rasulullah’. Maka, aku ketahui bahawa Engkau tidak akan menggandingkan sesuatu kepada nama-Mu melainkan seseorang yang kamu paling sayang dalam kalangan makhluk-Mu di sisi-Mu.” Lalu Allah s.w.t. berfirman: “Benar wahai Adam, sesungguhnya Baginda adalah makhluk yang paling disayangi di sisi-Ku. Berdoalah kepada-Ku dengan hak Baginda. Maka sesungguhnya, Aku telah ampunkan kamu. Jika bukan kerana Muhammad, nescaya Aku tidak menciptakan kamu.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Hakim dalam kitab al-Mustadrak, Imam al-Baihaqi dalam kitab Dala’il al-Nubuwwah, Abu Muthi’ al-Misri dalam Amali beliau yang pertama, Imam Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq. Begitu juga ianya diriwayatkan oleh Imam al-Tabrani dalam Mu’jam al-Ausath dan Mu’jam al-Shaghir.

Secara sanadnya, hadisnya diriwayatkan melalui satu jalan di peringkat sahabat, iaitu Saidina Umar r.a.. Begitu juga, hadis ini diriwayatkan secara tafarrud atau gharib, iaitu setiap peringkat hanya diriwayatkan oleh seorang perawi. Dalam sanad hadis ini, tiada perawi yang lain yang meriwayatkan hadis ini selain Aslam al-‘Adawi. Kemudian, tiada perawi yang lain yang meriwayatkan hadis ini daripada Aslam kecuali anaknya, iaitu Zaid bin Aslam. Kemudian, tiada perawi yang meriwayatkan hadis ini kecuali ‘Abd al-Rahman bin Zaid bin Aslam al-‘Adawi.

Setelah itu, hadis ini diriwayatkan daripada ‘Abd al-Rahman bin Zaid al-‘Adawi oleh tiga perawi iaitu:

Isma’il bin Maslamah (dikeluarkan oleh Imam al-Baihaqi dalam Dala’il al-Nubuwwah, Imam al-Hakim dalam al-Mustadrak dan Abu Muthi’e al-‘Misri dalam Amalinya yang pertama)

‘Abdullah bin Mubarak (dikeluarkan oleh Imam al-Ajiri dalam al-Syari’ah)

Abdullah bin Isma’il (dikeluarkan oleh Imam al-Tabrani dalam al-Mu’jam al-Ausath dan al-Mu’jam al-Shaghir).

Kemudian, ramai para penilai yang menilai hadis ini sekadar mendatangkan sanad hadis ini daripada jalan yang dikeluarkan oleh Imam al-Baihaqi dan Imam al-Hakim.

Iaitu:

Saidina Umar r.a.
Aslam al-‘Adawi
Zaid bin Aslam
‘Abd al-Rahman bin Zaid bin Aslam al-‘Adawi
Isma’il bin Maslamah
‘Abdullah bin Muslim
Muhammad bin Ishaq
‘Amru bin Muhammad

Daripada ‘Amru bin Muhammad, Al-Hakim meriwayatkan hadis ini. Daripada al-Hakim pula, Imam al-Baihaqi meriwayatkan hadis ini. Hadis ini dinilai dha’if oleh para ulama’ hadis disebabkan oleh perawi yang bernama ‘Abd al-Rahman bin Zaid bin Aslam al-‘Adawi.

Imam Ibn Hibban berkata dalam ‘Kitab al-Majruhin’ bahawasanya, ‘Abd Al-Rahman bin Zaid ini sepatutnya ditinggalkan periwayatan daripadanya. Imam Ibn Hibban juga meriwayatkan daripada Imam Ahmad bahawa ketika ditanya tentang ‘Abd al-Rahman, beliau menjawab: “Kalau abangnya Abdullah, maka tidak mengapa (meriwayatkan hadis daripadanya).” Maksudnya, berbanding ‘Abd al-Rahman, abangnya Abdullah lebih utama diriwayatkan daripadanya kerana lemahnya ‘Abd al-Rahman.

Imam Ibn Ma’in ketika ditanya tentang hadis ‘Abd al-Rahman bin Zaid bin Aslam maka beliau menjawab: “dhaif”. Imam al-Bukhari dan Imam al-Nasa’ie juga menilai beliau sebagai dha’if. Imam ‘Ali al-Madini berkata: “Tiada dalam kalangan anak Zaid bin Aslam (iaitu Abd al-Rahman, ‘Abdullah dan Usamah) yang thiqah.” Di sisi Imam Ahmad pula, ‘Abd Rahman dan Usamah sahaja yang dha’if sedangkan Abdullah bin Zaid adalah thiqah. [al-Kamil fi Dhu’afa’ al-Rijal oleh Imam al-Jurjani]

Namun, kedudukan ‘Abd al-Rahman bin Zaid tidak terlalu lemah sehingga jatuh hadis ini ke peringkat yang tertolak secara mutlak atau ditohmah sebagai hadis maudhu’. Adapun melalui sanad Imam al-Hakim dan Imam al-Baihaqi, memang ianya sangat lemah, tetapi bukan kerana perawi bernama ‘Abd al-Rahman ini, tetapi seorang perawi lain iaitu ‘Abdullah bin Muslim Al-Fihari.

Menurut Imam Ibn Hajar dalam Lisan al-Mizan, beliau kemungkinan besar adalah ‘Abdullah bin Muslim bin Rasyid. Menurut Imam Ibn Hibban dalam kitab al-Majruhin, Abdullah bin Muslim bin Rasyid ini mereka-reka hadis daripada Ibn Lahi’ah dan sebagainya. Seterusnya, Imam Ibn Hajar al-Asqolani mengatakan bahawasanya, Abdullah bin Muslim ini meriwayatkan daripada Isma’il bin Maslamah daripada ‘Abd al-Rahman bin Zaid bin Aslam sebuah khabar yang batil yang padanya ada mengandungi: “wahai Adam, jika bukan kerana Muhammad, Aku tidak ciptakan kamu”. Al-Baihaqi meriwayatkannya dalam Dala’il al-Nubuwwah. [Lisan al-Mizan]

Kedudukan hadis ini melalui jalan ‘Abd al-Rahman bin Zaid dan Abdullah bin Muslim ini sememangnya sangat lemah kerana perawi bernama Abdullah ini tidak berapa dikenali oleh ramai ulama’ hadis. Bahkan, jika beliau ialah ‘Abdullah bin Muslim bin Rasyid yang dimaksudkan oleh Imam Ibn Hibban, maka dia ditohmah sebagai ada memalsukan hadis daripada Ibn Lahi’ah dan sebagainya.

Namun, melalui riwayat Imam Al-Tabrani dalam al-Mu’jam al-Ausat dan al-Mu’jam al-Shaghir, sanad hadis ini tidak melalui Abdullah bin Muslim ini. Sanadnya adalah:

Saidina Umar r.a.
Kepada Aslam al-‘Adawi
Kepada Zaid bin Aslam
Kepada ‘Abd al-Rahman bin Zaid bin Aslam al-‘Adawi
Kepada ‘Abdullah bin Isma’il
Kepada Ahmad bin Sa’id
Kepada Muhammad bin Daud
Kepada Imam al-Tabrani

Dalam sanad ini, tidak ada Abdullah bin Muslim yang ditohmah sebagai perawi yang sangat lemah sanadnya. Maka, memadai kedudukan hadis ini sekadar dha’if dan masih boleh dirujuk dalam masalah keutamaan, kemuliaan seseorang dan sebagainya. Hadis ini dengan sanad yang diriwayatkan oleh Imam al-Tabrani tidak sewajarnya dinilai serendah tahap hadis palsu. Bahkan, jalan ini menguatkan jalan hadis yang lemah riwayat Imam al-Baihaqi dan Imam al-Hakim yang akhirnya tidak juga membawa matan hadis ini dinilai sebagai hadis palsu.

Bahkan, disebabkan itu juga, menurut Sheikh al-Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki dalam kitab beliau Mafahim Yajib an Tusahhah:

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dalam Dala’il al-Nubuwwah yang mana dalam kitab tersebut, beliau tidak meriwayatkan hadis-hadis maudhu’ (palsu) sebagaimana disebutkan pada muqoddimah kitab tersebut. Begitu juga ianya disahihkan oleh Imam al-Qastalani dan Imam al-Zurqani dalam al-Mawahib al-Ladunniyyah [1/62] dan Imam al-Subki dalam Syifa’ al-Siqam.”

Imam al-Suyuti juga meriwayatkan hadis ini dalam al-Khasa’is al-Kubra dan tafsir al-Dur al-Manthur. Kesimpulannya, hadis ini tidak sampai ke tahap palsu dan di sisi sebahagian ulama’, ianya boleh digunakan, terutamanya dalam bab kelebihan.

Sheikh Muhammad Alawi al-Maliki dalam kitab Mafahim Yajib an Tusohhah, menyebut beberapa hadis sokongan terhadap hadis ini antaranya yang diriwayatkan oleh Imam Ibn al-Jauzi dalam tafsirnya. Begitu juga diriwayatkan oleh Imam Abu Nuaim dalam al-Dala’il. Antara hadis sokongan yang lain juga menurut beliau adalah yang dikeluarkan oleh Imam Ibn al-Munzir dalam tafsirnya.

Percanggahan dengan al-Qur’an

Sebahagian orang mendakwa bahawasanya, hadis ini bercanggah dengan sebuah ayat al-Qur’an lalu menghukum hadis ini sebagai hadis palsu. Ini adalah dakwaan yang timbul dari seorang insan yang tidak langsung mencium haruman ilmu Usul al-Tafsir mahupun ulum al-Qur’an yang asas sehingga tidak mengetahui sememangnya wujud perbezaan pendapat dalam penafsiran sesuatu ayat yang mana perbezaan tersebut selagimana boleh diharmonikan (taufiq), maka para ulama’ tidak terus menganggap antara satu tafsiran dengan tafsiran yang lain sebagai saling bercanggahan.

Ayat tersebut adalah ayat ke-37 dalam surah al-Baqarah:

فَتَلَقَّى آَدَمُ مِنْ رَبِّهِ كَلِمَاتٍ فَتَابَ عَلَيْهِ إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; Sesungguhnya Allah, Dia lah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Baqarah: 37)

Adapun menurut sesetengah pihak, al-Kalimat (beberapa kalimah) yang diberikan atau diajarkan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Adam a.s. secara muktamad adalah sebagaimana dalam ayat yang lain iaitu:

قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya: Mereka berdua merayu: “Wahai Tuhan kami, Kami telah menganiaya diri Kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan Kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah Kami dari orang-orang yang rugi”. (Surah al-A’raf: 23)

Ini adalah sebuah pernyataan yang mengandungi fakta yang benar tetapi dibentangkan dalam bentuk yang salah. Memang benar, ramai para ulama’ tafsir menyatakan bahawasanya, al-kalimat yang dimaksudkan dalam ayat ke-37 pada surah al-Baqarah adalah ayat ke-23 pada surah al-A’raaf dan saya juga bersetuju dengan demikian kerana memang ianya paling rajih (kuat) dipegang oleh ramai para ulama’. Namun, di sisi para ulama’ tafsir, ia adalah salah satu daripada pelbagai tafsiran lain terhadap ayat ke-37 (Surah al-Baqarah) ini, bukan satu-satunya tafsiran kepada ayat tersebut sehingga tafsiran-tafsiran lain dinilai sebagai percanggahan dengan ayat al-Qur’an.

Imam al-Tabari dalam tafsir beliau sendiri mendatangkan pelbagai tafsiran bagi perkataan ‘al-kalimat’ pada ayat ke-37 surah al-Baqarah ini. Asasnya, memang ada perselisihan pendapat dalam tafsiran bagi apa yang dimaksudkan dengan al-kalimat dalam ayat tersebut. Imam al-Tabari yang faham hakikat ini menjelaskan:

اختلف أهل التأويـل فـي أعيان الكلـمات التـي تلقاها آدم من ربه

Maksudnya: Ahli Ta’wil (tafsir) telah berbeza tafsiran tentang perkataan-perkataan yang Adam a.s. terima daripada Tuhannya…”

Sudah pastilah, perselisihan ini adalah khilaf mu’tabar iaitu perbezaan yang diterima kerana melibatkan tokoh-tokoh ahli tafsir salaf yang muktabar. Antara ahli tafsir yang berbeza pendapat dalam menafsirkan ayat ini adalah: Saidina Ibn ‘Abbas r.a., Qatadah, Al-Hasan, Abu al-‘Aliyyah, Yazid bin Mu’awiyyah, Mujahid dan sebagainya.

Adapun para ulama’ tafsir yang mengatakan bahawa maksud al-kalimat dalam ayat tersebut adalah ayat ke-23 dalam surah al-A’raaf adalah seperti Mujahid, Qatadah dan sebagainya, di samping ada tafsiran-tafsiran lain yang diriwayatkan daripada mereka. Begitu juga, Saidina Ibn ‘Abbas r.a. yang dinilai sebagai ahli pentafsir ummah juga, menurut Imam al-Tabari, memberi tafsiran yang berbeza daripada ayat ke-23 bagi surah al-A’raaf ini.Adakah kita sewenang-wenangnya mendakwa bahawa tafsiran Ibn ‘Abbas dan sebagainya adalah palsu kerana bercanggah dengan tafsiran yang dipilih iaitu ayat ke-23 daripada surah al-A’raaf?

Bahkan, Imam al-Suyuti dalam tafsir beliau al-Durr al-Manthuri meriwayatkan hadis tawassul Nabi Adam a.s. ini sebagai hadis pertama dalam menafsirkan ayat ke-23 surah al-Baqarah ini tanpa membuat komen bahawa ianya bercanggah dengan tafsiran-tafsiran yang lain.

Sememangnya banyak tafsiran-tafsiran yang diberikan oleh para ulama’ salaf termasuklah salah satunya, adalah hadis tawassul Nabi Adam a.s. tersebut sebagaimana dinukilkan oleh Imam al-Suyuti, Imam al-Alusi dalam Ruh al-Ma’ani dan sebagainya. Maka, tidak ada masalah pun jika Allah s.w.t. mewahyukan kepada Nabi Adam a.s. banyak bentuk kalimah, bukan sekadar satu bentuk sahaja, untuk menggabungkan semua bentuk tafsiran ini selagimana tidak bertentangan secara jelas.

Perbahasan Kedua: Tujuan Penciptaan Makhluk

Secara hikmah ketuhanan, berdasarkan ayat al-Qur’an yang menyebut:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. (Surah al-Zariyat: 56)

Ia secara jelas menunjukkan tujuan-tujuan khusus bagi manusia dan jin adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.. Tetapi, dalam ayat surah al-Baqarah, ketika Allah s.w.t. berkehendak untuk menciptakan Nabi Adam a.s., Allah s.w.t. menyebut bahawasanya, Dia ingin menciptakan seorang khalifah di bumi ini, iaitulah Nabi Adam a.s. dan zuriatnya.

Maka, adakah dua tujuan ini merujuk kepada pertentangan antara satu sama lain, ataupun ianya saling menjelaskan antara satu sama lain. Para ulama’ sejak dahulu sehingga hari ini tidak menganggap tujuan manusia diciptakan di bumi ini sebagai khalifah di muka bumi bertentangan dengan tujuan mereka diciptakan untuk menyembah diri kepada Allah s.w.t.. Para ulama’ secara jelas menjelaskan bahawasanya, tujuan manusia diciptakan secara asalnya adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dan menjadi khalifah di muka bumi ini adalah sebahagian daripada bentuk pengabdian diri kepada Allah s.w.t..

Ini juga menunjukkan kekhususan jenis manusia berbanding jin kerana manusia mempunyai sekurang-kurangnya dua tujuan daripada penciptaannya iaitulah sebagai hamba dan khalifah kepada Allah s.w.t.. Maka, dalam berinteraksi dengan nas-nas, sewajarnya mempunyai fikiran yang tidak tergesa-gesa atau sewenang-wenangnya mempertentangkan antara satu nas dengan nas yang lain dengan begitu mudah.

Kita dapati dalam ayat al-Qur’an, banyak menceritakan bahawasanya, pada penciptaan makhluk-makhluk ini, ada tujuannya iaitulah sebagai ayat atau tanda bagi kebesaran Allah s.w.t.. Dalam ayat yang lain Allah s.w.t. menjelaskan bahawa, alam ini beribadah dan menghambakan diri kepada Allah s.w.t. tetapi manusia tidak mengetahui keadaan mereka. Dalam masa yang sama, tidak menafikan bahawasanya, seluruh alam ini, walaupun diciptakan untuk menjadi tanda kebesaran Allah s.w.t., untuk mengabdikan diri dan patuh kepada Allah s.w.t., alam juga diciptakan untuk manusia, agar mereka mengambil manfaat daripadanya.

Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Baqarah ayat ke-29:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُمْ مَا فِي الأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya: Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi

Allah s.w.t. berfirman:

وَسَخَّرَ لَكُمْ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ جَمِيعًا مِنْهُ إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: Dan Dia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti. (Surah al-Jathiyyah: 13)

Adakah ayat-ayat ini menyanggahi ayat lain yang menjelaskan bahawa, makhluk-makhluk lain juga dijadikan dalam rangka untuk menyembah Allah s.w.t. dengan cara yang hanya Allah s.w.t. sahaja yang mengetahuinya? Sudah tentulah tidak, kerana sesuatu perbuatan itu boleh dilakukan dengan beberapa tujuan.

Maka, hadis tawassul Nabi Adam a.s. juga mempunyai fungsi dan maksud yang sama. Iaitu, Allah s.w.t. menjadikan Nabi Adam a.s. sebagai tempat untuk mengalirnya baka manusia untuk seterusnya daripada Nabi Adam a.s.-lah, lahirnya Nabi Muhammad SAW. Hadis ini menunjukkan keutamaan Nabi Muhammad SAW berbanding Nabi Adam a.s. di sisi Allah s.w.t. dan ianya memang suatu perkara yang tepat dalam aqidah Islam.

Hatta Sheikh Ibn Taimiyyah sendiri menjelaskan perkara ini dengan penjelasan yang sangat baik:

ومحمد سيد ولد آدم . وأفضل الخلق وأكرمهم عليه ومن هنا قال من قال : إن الله خلق من أجله العالم أو إنه لولا هو لما خلق عرشا ولا كرسيا ولا سماء ولا أرضا ولا شمسا ولا قمرا . لكن ليس هذا حديثا عن النبي صلى الله تعالى عليه وسلم لا صحيحا ولا ضعيفا ولم ينقله أحد من أهل العلم بالحديث عن النبي صلى الله تعالى عليه وسلم بل ولا يعرف عن الصحابة بل هو كلام لا يدرى قائله .

ويمكن أن يفسر بوجه صحيح كقوله . { سخر لكم ما في السماوات وما في الأرض } وقوله : { وسخر لكم الفلك لتجري في البحر بأمره وسخر لكم الأنهار وسخر لكم الشمس والقمر دائبين وسخر لكم الليل والنهار وآتاكم من كل ما سألتموه وإن تعدوا نعمة الله لا تحصوها } وأمثال ذلك من الآيات التي يبين فيها أنه خلق المخلوقات لبني آدم ومعلوم أن لله فيها حكما عظيمة غير ذلك [ ص: 97 ] وأعظم من ذلك ولكن يبين لبني آدم ما فيها من المنفعة وما أسبغ عليهم من النعمة .

ويمكن أن يفسر بوجه صحيح كقوله )) سخر لكم ما في السماوات وما في الأرض (( … وأمثال ذلك من الآيات التي يبين فيها أنه خلق المخلوقات لبني آدم ومعلوم أن لله فيها حكما عظيمة غير ذلك وأعظم من ذلك … والله خلق السموات والأرض وما بينهما في ستة أيام وكان آخر الخلق يوم الجمعة وفيه خلق آدم وهو آخر ما خلق خلق يوم الجمعة بعد العصر في آخر يوم الجمعة . وسيد ولد آدم هو محمد – صلى الله تعالى عليه وسلم – آدم فمن دونه تحت لوائه – قال صلى الله تعالى عليه وسلم )) إني عند الله لمكتوب خاتم النبيين وإن آدم لمنجدل في طينته (( أي كتبت نبوتي وأظهرت لما خلق آدم قبل نفخ الروح فيه كما يكتب الله رزق العبد وأجله وعمله وشقي أو سعيد إذا خلق الجنين قبل نفخ الروح فيه .

فإذا كان الإنسان هو خاتم المخلوقات وآخرها وهو الجامع لما فيها وفاضله هو فاضل المخلوقات مطلقا ومحمد إنسان هذا العين… كان كأنها غاية الغايات في المخلوقات فما ينكر أن يقال : إنه لأجله خلقت جميعها وإنه لولاه لما خلقت فإذا فسر هذا الكلام ونحوه بما يدل عليه الكتاب والسنة قبل ذلك .

Maksudnya: Dan Muhammad itu adalah penghulu anak Adam dan makhluk paling utama dan mulia di sisi Allah s.w.t.. Oleh sebab itulah, ada orang mengatakan bahawasanya, Sesungguhnya Allah s.w.t. menciptakan alam ini kerana Baginda SAW atau kalau bukan kerana Baginda SAW, nescaya Allah s.w.t. tidak menciptakan Arasy, Kursi, Langit, bumi, matahari mahupun bulan. Tetapi, ia bukan suatu hadis daripada Nabi SAW (di sisi Ibn Taimiyyah- ulasan al-faqir) samada sahih mahupun dhaif. Bahkan, tidak diriwayatkan satu pun dalam kalangan ahli hadis mengenainya daripada Nabi SAW, bahkan bukan juga daripada para sahabat r.a.. Bahkan, ianya adalah perkataan yang tidak diketahui orang yang memperkatakannya (di sisi Ibn Taimiyyah. Sedangkan ianya diriwayatkan dalam banyak kitab-kitab seperti Imam al-Suyuti, Imam al-Baihaqi, Imam al-Hakim dan sebagainya. Wallahu a’lam- catatan penulis).

Mungkin, boleh ditafsirkan dengan tafsiran yang sahih seperti firman Allah s.w.t.: ((Dia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi,))… dan ayat-ayat yang seumpamanya yang menjelaskan padanya bahawa semua makhluk diciptakan untuk anak-anak Adam. Diketahui juga bagi Allah s.w.t. pada kejadian tersebut, hikmah-hikmah yang lain yang besar selain itu dan yang lebih besar daripada itu (hikmahnya)….

Dan Allah s.w.t. menciptakan langit-langit dan bumi dan antara kedua-duanya selama enam hari, sedangkan yang terakhir diciptakan adalah pada hari jumaat, iaitulah Nabi Adam a.s. yang merupakan makhluk terakhir diciptakan pada peringkat itu, iaitu pada hari Jumaat, selepas Asar.

Adapun penghulu anak-anak Adam iaitu Muhammad SAW yang mana Adam a.s. dan semuanya berada di bawah panji baginda SAW, yang mana Nabi SAW menyebut: ((Aku di sisi Allah telah tertulis sebagai penutup para nabi sedang Adam masih dalam tanahnya.)). Iaitu, telah ditulis kenabianku dan telah terzahir ketika kejadian Adam a.s. sebelum ditiupkan roh ke dalamnya, sebagaimana ditulis rezeki seseorang hamba, ajalnya, amalnya, celaka atau bahagia, ketikamana sebelum ditipkan roh ke dalam janin.

Maka, jika seorang insan itu adalah penutup para makhluk dan yang terakhir, maka dialah yang menghimpunkan segala yang ada padanya. Maka semulia-mulianya adalah semulia-mulia makhluk secara mutlak, yang mana insan tersebut adalah Muhammad SAW… Maka, seumpama, Baginda SAW-lah tujuan segala tujuan-tujuan yang lain pada makhluk ini. Maka, tidaklah diingkari bahawasanya, diciptakan segalanya (makhluk) dengan sebab Baginda SAW yang mana kalau bukan kerana Baginda SAW, makhluk tidak diciptakan. Jika ditafsirkan kalam ini dan sebagainya dengan apa yang ditunjukkan dalam al-Qur’an dan al-Sunnah, maka bolehlah diterima perkataan tersebut.” [Majmu’ Fatawa Ibn Taimiyyah, al-Adab wa al-Tasawwuf, Kitab al-Tasawwuf, Bab Man Takhallala Abu Bakr bi al-‘Iba’ah…11/85-97]

Jelaslah hatta menurut Sheikh Ibn Taimiyyah sendiri, perkataan ini tidak bercanggah dengan mana-mana ayat al-Qur’an mahupun aqidah yang sahih. Apatah lagi, ianya diriwayatkan secara bersambung daripada Rasulullah SAW walaupun dengan sanad yang lemah, tetapi tidak palsu, bahkan dinilai baik oleh sebahagian ulama’ yang lain.

Wallahu a’lam.

Al-Faqir ila Rabbihi al-Jalil
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin al-Azhari
‘Amalahullahu bi Lutfihi al-Khafiy
13 Rabiul Awwal 1434 H


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: