Posted by: Habib Ahmad | 30 Januari 2013

Pengaruh Ilmu Aqliyyah dalam Bidang Aqidah Islam dan Kemunculan Ilmu Kalam Sunni

Pengaruh Ilmu Aqliyyah dalam Bidang Aqidah Islam dan Kemunculan Ilmu Kalam Sunni

Dalam bidang aqidah pula, kepincangan golongan Mu’tazilah, Mujassimah, Jabbariyyah dan sebagainya sedikit sebanyak mencetuskan semangat keintelektualan baru dalam institusi ulama’ Islam khususnya dalam merangka suatu wacana keilmuan dalam membendung fahaman-fahaman tersebut. Suatu disiplin ilmu dilihat perlu disusun khususnya dalam mengetengahkan perpaduan manhaj antara naqli dengan aqli.

Pada awalnya, perpaduan manhaj dalam bidang aqidah hanya dilihat dalam risalah-risalah berbentuk perdebatan antara para ulama’ Sunnah dengan golongan-golongan pinggiran. Maka, ia berkembang dalam bentuk Ilmu Jidal (ilmu perdebatan) sehinggalah sebahagian ilmu tersebut difokuskan kepada perbahasan aqidah, maka ianya kemudian dikenali sebagai Ilmu Kalam.

Sheikh Ibn Khaldun terlebih dahulu telah memberi takrifan terhadap ilmu kalam versi sunni ini dengan berkata:

“(Ilmu Kalam) ialah ilmu yang mengandungi hujah-hujah terhadap aqidah-aqidah yang dipercayai dengan bukti-bukti secara Aqliyyah (pembuktian secara logikal) dan menolak golongan bid’ah yang terpesong daripada aqidah salaf dan ahlus-sunnah”. [Muqoddimah Ibn Khaldun, Al-Fashl Al-Asyir: fi Ilm Al-Kalam: 225]

Dalam risalah ringkas berjudul Risalah fi Istihsan Al-Khaudh fi Ilm Al-Kalam oleh Imam Abu Al-Hasan Al-Asy’ari r.a. sendiri menjelaskan sandaran-sandaran ilmu kalam daripada Al-Qur’an dan As-Sunnah. Bahkan, beliau turut mengkritik golongan yang terlalu keras dalam menolak ilmu kalam khususnya setelah ianya dimurnikan oleh manhaj sunni yang dikembangkan oleh beliau sendiri terutamanya dalam kitab Al-Luma’.

Dalam muqoddimah kitab Al-Iqtisad fi Al-I’tiqad, Imam Al-Ghazali r.a. juga ada mengkritik keterlaluan dua golongan iaitu golongan yang menolak sama sekali penggunaan akal dalam bab aqidah seperti golongan Hasyawiyyah dan golongan yang berlebih-lebihan dalam menggunakan akal dalam bab tersebut seperti golongan Mu’tazilah. Menurut Imam Al-Ghazali r.a., manhaj yang tepat dengan suluhan ajaran murni Islam adalah manhaj yang adil dalam penggunaan akal dan naql.

Sebagaimana yang didefinisikan oleh Imam Ibn Khaldun tentang ilmu Kalam ini, kita dapat fahami bahawasanya ia suatu disiplin ilmu yang menggabungkan penghujahan akal dan naql (nas) dalam bidang aqidah secara terperinci.

Imam Az-Zarkasyi juga menjelaskan bahawasanya:

“Tidaklah suatu penghujahan, petunjuk, pembahagian dan pembatasan bagi kulliyyat (kaedah umum) ilmu-ilmu akal dan sam’iyyat (pengetahuan tentang perkara-perkara yang tidak diketahui melainkan dengan ajaran wahyu) melainkan kitab Allah telah menyebutkannya. Namun, kaedah-kaedah tersebut disebut secara ringkas sebagaimana adat masyarakat Arab, tidak berbentuk terperinci dan mendalam sebagaimana cara golongan mutakallimin”. [Al-Burhan fi Ulum Al-Qur’an 2/24-25]

Segala celaan sebahagian para ulama’ Salaf terhadap ilmu kalam berkisarkan kepada dua perkara utama:

Pertama: Celaan tersebut ditujukan kepada ilmu Kalam yang digunakan oleh golongan-golongan sesat seperti Mu’tazilah, Qadariyyah dan sebagainya.

Kedua: Para ulama’ salaf menzahirkan sikap wara’ dengan melarang golongan awam terlibat dengan perbahasan-perbahasan yang dibahaskan oleh golongan-golongan tersebut.

Namun, adakah golongan-golongan sesat tersebut perlu dibiarkan tanpa dibantah dan dibendung? Adakah kepincangan dan kesesatan perlu dibiarkan berleluasa dalam masyarakat hanya dengan alasan ianya dilarang oleh para ulama’ pada sesuatu zaman? Kepincangan dalam setiap zaman tidak sama. Ianya mempunyai peringkat-peringkatnya. Pada zaman salaf, fahaman-fahaman pinggiran dan sesat tidak dapat berkembang meluas kerana tidak mempunyai jaringan perhubungan yang meluas. Jadi, cukup dengan tidak terlibat membahaskan sesuatu perkara, ianya boleh menjaga masyarakat awam daripada fahaman-fahaman tersebut.

Ketika fahaman-fahaman tersebut semakin meluas dan ramai masyarakat awam sudah tidak lagi belajar ilmu agama daripada para ulama’, maka mereka lebih terdedah kepada fahaman-fahaman sesat tersebut, apatah lagi tatkala berkembangnya jaringan perhubungan dalam masyarakat. Jadi, dengan perkembangan sebegini menyebabkan para ulama’ tidak boleh berdiam diri daripada kepincangan yang berlaku. Oleh sebab itulah, ilmu kalam akhirnya mendapat sentuhan dan pemurnian daripada ramai para ulama’ yang memahami kepentingan usaha tersebut.

Setelah Ilmu Kalam versi Sunni ini dikembangkan oleh para ulama’ Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyyah, hampir tidak ada lagi ulama’ yang menolak ilmu kalam secara mutlak melainkan sebahagian Hanabilah yang masih tidak melihat kepentingan ilmu Kalam dan mereka yang terpengaruh dengan fahaman Tajsim namun bersembunyi di sebalik kelompok Hanabilah. [rujuk Daf Syubah At-Tasybih oleh Imam Ibn Al-Jauzi r.a.]

Imam Al-Baihaqi r.a. berkata:

“Bagaimana (ilmu) Kalam versi Ahlus-Sunnah wal Jamaah suatu yag tercela di sisi Imam As-Syafi’e sedangkan beliau sendiri berdebat dengan orang yang berdebat dengannya (dengan kaedah tersebut)…” [Manaqib As-Syafi’e: 1/454-455, Maktabah Dar At-Turath, Kaherah]

Adapun Ilmu kalam ini, sejak ianya diperkenalkan dalam versi Sunni oleh dua tokoh ulama’ besar iaitulah Imam Al-Asy’ari dan Imam Al-Maturidi, maka, ianya terus dikembangkan oleh para murid mereka dan para murid kepada murid-murid mereka. Ada orang cuba menukilkan kritikan para ulama’ Salaf (seperti Imam As-Syafi’e, Imam Ahmad, Imam Abu Hatim Ar-Razi dan sebagainya) terhadap ilmu kalam sebelum kemunculan ilmu kalam versi sunni (Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyyah) ini dalam menolak ilmu kalam versi sunni ini, maka ianya adalah istidlal yang rosak dan usaha meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Ini jelas sebagaimana yang cuba dimaksudkan oleh Imam Al-Baihaqi ketika mengulas isu ini dalam kitab Manaqib As-Syafi’e tersebut.

Secara ringkasnya, kita dapat lihat, antara perkembangan awal ilmu kalam versi sunni ini adalah, ketika Imam Abu Al-Hasan Al-Asy’ari r.a. mengarang kitab berjudul Al-Luma’ fi Ar-Radd ‘Ala Ahl Az-Zaigh wa Al-Bida’ yang mengandungi hujah-hujah mempertahankan aqidah murni Islam dalam bentuk aqliyyah (hujah menggunakan kaedah akal) dan naqliyyah (hujah menggunakan sumber dan nas). Bahkan, beliau juga mengarang sebuah risalah ringkas berjudul Risalah fi Istihsan Al-Khaud fi Ilm Al-Kalam yang menjelaskan kepentingan ilmu kalam versi Sunni ini. Orang-orang yang menilai sesuatu disiplin ilmu berdasarkan penilaian para ulama’ sebelum kemunculan disiplin ilmu tersebut adalah orang yang jahil tentang sejarah perkembangan sesuatu disiplin ilmu itu sendiri.

Di samping Imam Al-Asy’ari, Imam Abu Mansur Al-Maturidi juga ada mengarang sebuah kitab berjudul At-Tauhid yang merupakan perpaduan antara hujah-hujah akal dan nas dalam bidang aqidah. Beliau bermazhab Al-Hanafi dan mendalami fiqh Hanafi daripada Imam Abu Bakr Ahmad Al-Juzjani yang berguru dengan Imam Abu Yusuf (w: 182 H) dan Imam Muhammad As-Syaibani (w: 189 H) yang mana kedua-duanya berguru kepada Imam Abu Hanifah r.a. (w: 150 H). Kitab At-Tauhid mendapat penerimaan meluas dalam bidang ilmu kalam khususnya di sisi para ulama’ Ahnaf (Hanafiyyah).

Ilmu Kalam manhaj Imam Al-Maturidi dikembangkan oleh Imam Muhammad Al-Bazdawi (w: 493 H) yang mana beliau mengambil ilmu kalam tersebut daripada ayahandanya Imam Abdul Karim Al-Bazdawi (w: 390 H) daripada ayahandanya Imam Abdul Karim yang berguru kepada Imam Al-Maturidi r.a. (w: 333 H). Kitab karangan beliau berjudul Usuluddin fi Tabsith Al-Mazhab.

Ilmu Kalam berteraskan manhaj Imam Al-Asy’ari pula bahkan mempunyai kronologi perkembangan yang lebih pesat. Bermula dengan usaha giat para murid Imam Al-Asy’ari, sehinggalah generasi-generasi setelah itu, ilmu Kalam versi Asya’irah sangat berperanan dalam mengembangkan aqidah Ahlus-Sunnah wal Jamaah secara meluas di samping ilmu Kalam golongan Maturidiyyah.

Kemuncak perkembangan terawal ilmu kalam adalah pada zaman Imam Al-Baqillani (w: 402 H) melalui kitab beliau Al-Inshaf dan Tamhid Al-Awa’il, Imam Ibn Furak (w: 406 H) melalui kitab beliau Mujarrad Maqalat Al-Asy’ari dan Imam Al-Baihaqi (w: 458 H) melalui kitab-kitab beliau seperti Al-I’tiqad ‘ala Mazhab As-Salaf Ahl Sunnah wal Jamaah dan Al-Asma’ wa As-Sifat. Kemudian, ianya dikembangkan oleh Imamul Haramain Al-Juwaini melalui kitab Aqidah Nizhamiyyah, As-Syamil dan sebagainya, dan murid beliau Imam Al-Ghazali r.a. (w: 505 H) melalui karya-karyanya yang berjudul: Iljam Al-‘Awam dan Al-Iqtishad fi Al-I’tiqad.

Mengenai kitab Al-Iqtisad fi Al-I’tiqad sendiri, ianya adalah merupakan kesimpulan awal bagi manhaj Al-Asy’ari dalam bidang aqidah dengan pendekatan yang ringkas dan padat. Pun begitu, bentuk-bentuk hujah dan perbahasan di dalamnya masih dinilai sebagai tinggi bagi melihat situasi sebenar masyarakat Islam kini termasuklah dari kalangan penuntut ilmu. Begitu juga berkembangnya kitab-kitab yang mempunyai perbahasan yang mendalam yang dipengaruhi perbahasan-perbahasan falsafah dan hujah akal yang tinggi seperti kitab Nihayah Al-Iqdam fi Ilm Al-Kalam oleh Imam As-Syahrastani (w: 548 H), Thowali’ Al-Anwar oleh Imam Al-Baihdhawi (w: 685 H), Al-Mawaqif fi Ilm Al-Kalam oleh Imam Al-Iji (w: 765 H), Al-Maqasid dan Syarh Al-Maqasid oleh Imam At-Taftazani (w: 792/3 H).

Maka, ilmu kalam versi sunni ini terus berkembang dan dilengkapkan pada zaman Imam As-Sanusi (w: 895) khususnya melalui kitab-kitab beliau: Al-Aqidah Al-Kubra (Aqidah Ahl At-Tauhid) dan syarahnya, Al-Aqidah Al-Wusta dan syarahnya, Al-Aqidah As-Shughra (Umm Al-Barahin) dan syarahnya, Syarh Jawahir Al-Ulum Li Idhh fi Ilm Al-Kalam dan sebagainya. Pada peringkat ini, ilmu kalam as’yari sudah tersusun dengan perbahasan sifat 20.

Adapun kitab Umm Al-Barahin sendiri merupakan suatu kitab yang mendapat penerimaan ramai para ulama’ Al-Asya’irah lalu ianya dikhidmati oleh ulama’-ulama’ terkemuka setelah Imam As-Sanusi terutamanya dalam mensyarahkan kitab tersebut.

Pada zaman pemerintahan khalifah Uthmaniyyah pula, banyak dari kalangan khalifah membina pusat-pusat pengajian untuk mengembangkan lagi bidang ilmu dalam masyarakat Islam. Antaranya adalah seperti Sultan Urkhan (680-761 H) yang sangat mencintai bidang keilmuan. Beliau dan adiknya membuka sebuah Madrasah Aliyyah di Niqiyyah untuk dijadikan tempat pendidikan bagi golongan yang tidak berkemampuan. Begitu juga dibuka Madrasah di Iznik. Bahkan, di zaman beliau juga, seorang ulama’ bernama Al-Maula/Al-Mula Khalil Al-Jandrli diangkat menjadi menteri.

Ketika zaman Sultan Muhammad Al-Fateh, beliau yang berjaya membuka kota Konstantinopel (Constantinople) lalu menamakan kota tersebut sebagai Islambol (kini dikenali sebagai Istanbul). Beliau juga banyak menyumbang dalam bidang pendidikan dengan mengembangkan madrasah-madrasah dan sebagainya, khususnya dengan membina lapan Madrasah besar di Konstantinopel setelah pembukaannya. Antara ulama’ yang mengajar di madrasah-madrasah tersebut adalah: Imam Sinan Al-‘Ajami, Imam Muslihuddin Al-Qasthollani, Imam Hasan As-Shomsuni, Imam As-Syarif Hamiduddin Al-Husaini, Imam Ahmad Basya bin Maula Khudari Bek (w: 927 H), Imam Husein At-Tabrizi dan sebagainya.

Bahkan, sebuah gereja menjadi masjid yang mana ia dikenali sebagai Aya Sofya. Pada zaman beliau, antara ulama’ terkemuka adalah Imam Syamsuddin Al-Khayali yang merupakan seorang ulama’ yang kuat mengembangkan pegangan ahlus-sunnah wal jamaah. Di samping itu juga, Sultan Al-Fateh juga mampunyai ulama’ yang khusus untuk mengajar beliau dalam ilmu agama iaitulah Imam Maula Khairuddin.

Dua tokoh besar iaitu Imam Sa’ad At-Taftazani (w: 791 H) menerusi kitab Al-Maqasid fi Ilm Al-Kalam, Syarh Al-Maqasid dan Tahzib Al-Kalam wa Al-Mantiq dan Imam As-Syarif Al-Jurjani (w: 816 H) menerusi kitab Syarh Al-Mawaqif adalah antara rujukan kepada para ulama’ Turki Uthmaniyyah di samping para ulama’ lain dalam mengembangkan ilmu kalam.

Maka, antara para ulama’ Turki Uthmaniyyah yang mengembangkan ilmu Kalam adalah seperti Sheikh Kamaluddin Ismail Al-Qarmani melalui kitab Hasyiyyah ‘ala Syarh Al-Mawaqif li Al-Jurjani, Sheikh Sinan Ad-Din Al-Yakani melalui Hasyiyah ‘ala Syarh Al-Mawaqif dan sebagainya.

Di belahan Mesir pula, dua tokoh terkemuka dalam mengembangkan bidang ilmu kalam adalah Imam Ahmad Ad-Dardir Al-Khalwati (w: 1209) dan murid beliau Imam Ahmad As-Showi Al-Khalwati (w: 1241 H). Ilmu kalam versi Asy’ari juga terus berkembang pasat sehingga ke Nusantara.

Ilmu Kalam ini mendapat penerimaan meluas dalam institusi ulama’ Islam kerana kepentingannya untuk berhadapan dan berdebat dengan musuh-musuh Islam dalam membuktikan kebenaran aqidah murni Islam secara aqli yang menjadi suatu lapangan yang disepakati oleh kedua-dua pihak. Orang-orang kafir sukar untuk sekadar menerima aqidah Islamhanya kerana ianya disebut dalam sumber agama, tetapi akallah alat paling utama yang menyebabkan seseorang menerima sesuatu kebenaran termasuklah menerima dan mempercayai sumber agama itu sendiri. Oleh kerana itulah, ilmu kalam yang meletakkan akal sebagai tempat perbahasan merupakan sautu ilmu yang paling banyak menjelaskan kebenaran aqidah Islam kepada orang-orang kafir khususnya dalam kalangan ahli akedemik.

Maka, demi kepentingan ini jugalah, ilmu kalam dalam bidang aqidah terus dipertahankan terutamanya di pusat pengajian ilmu agama yang mewarisi ilmu-ilmu agama secara sahih dengan sanad ilmu yang jelas. Ilmu kalam itu sendiri mempunyai beberapa tingkatan dan peringkat perbahasannya yang mengikut kesesuaian tahap-tahap setiap golongan, samada awam, penuntut ilmu, para ulama’ dan sebagainya.

http://rajamukhlis.blogspot.com/2013/01/pengaruh-ilmu-aqliyyah-dalam-bidang.html


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: