Posted by: Habib Ahmad | 29 November 2012

Jalinan ukhuwah berkembang di hujung jari

Jalinan ukhuwah berkembang di hujung jari

Nik Salida Suhaila

Perintah membina silaturahim bagi melancarkan urusan kehidupan manusia kerana manusia tidak boleh hidup sendirian, sebaliknya kena saling bergantungan bagi melengkapkan keperluan masing-masing.

Rasulullah SAW bersabda: “Orang mukmin terhadap orang mukmin yang lainnya, tidak ubah bagaikan sebuah bangunan yang bahagian-bahagian menguatkan satu sama lain. Tanpa gandingan yang saling menyempurnakan, mustahil setiap mukmin mampu meneguhkan agama dan meluaskan syiarnya.
Membina silaturahim bukan sekadar mengucap salam kepada sesiapa saja yang kita temui. Ia juga tidak semudah berkirim salam kepada teman yang sudah lama tidak bertemu. Ukhuwah di bawah bumbung agama adalah kurniaan Allah SWT kepada Muslim tanpa mengira pangkat dan darjat.

Rasulullah SAW bersabda: “Bahawa seorang Muslim itu menjadi saudara seorang Muslim lainnya, kerana itu tidak diperbolehkan seorang Muslim itu menganiaya saudara Muslim yang lainnya. Juga tidak boleh seorang Muslim itu menghina saudara Muslim lainnya. Dan barang siapa memberikan pertolongan yakni memenuhi hajat keperluan saudaranya, maka Allah pun memenuhi dan menyelesaikan segala keperluan hajatnya dan barang siapa yang memberikan kemudahan atau memberikan kelapangan bagi kesusahan seorang Muslim, nescaya Allah melapangkan kesusahannya di hari Kiamat.”

Kemanisannya hanya dapat dirasai orang yang ikhlas melengkapkan kehidupan sesama manusia setelah menyempurnakan tanggungjawab yang wajib ditunaikan terhadap Allah SWT.

Silaturahim yang kekal adalah yang tidak tercemar oleh noda, hasad dan irihati serta saling menjatuhkan antara satu sama lain.

Kita kena tanamkan dalam diri apa yang ingin dilakukan ke arah kebaikan dan sentiasa mengharapkan bantuan daripada Allah SWT. Jika ada yang jelik, kita saling mengingatkan dengan cara paling baik tanpa menyakiti antara satu sama lain.

Hari ini, jalinan ukhuwah semakin mudah dengan adanya pelbagai medium untuk meneguhkan ikatan silaturahim. Malah, hubungan yang jauh boleh didekatkan dengan perkembangan kemudahan teknologi kini.
Tanpa masa yang panjang dan modal yang banyak, kita boleh bertanya khabar dan tahu perkembangan hanya di hujung jari.

Namun, tidak dapat dinafikan bahawa medium yang sama juga boleh melonggarkan ikatan ukhuwah jika ia tidak dimanfaat dengan baik. Justeru, harus diingat ukhuwah mestilah berpaksikan ketauhidan kepada Allah SWT.

Lebih dari itu, ukhuwah adalah tunjang kepada kekuatan ummah jika berasaskan takwa dan syariat, malah silaturahim menjauhkan manusia dari hasad dengki dan fitnah. Ukhuwah juga boleh menguatkan hubungan dengan Allah SWT kerana ukhuwah menjadikan akhlak manusia lebih baik.

Tetapi jika ukhuwah menjadi taruhan demi melampiaskan nafsu jahat, ukhuwah bukan saja merenggangkan hubungan dengan Allah, juga memisahkan kasih sayang sesama manusia.

Rasulullah SAW bersabda: “Bahawa seorang Muslim itu menjadi saudara seorang Muslim lainnya, kerana itu tidak diperbolehkan seorang Muslim itu menganiaya saudara Muslim yang lainnya. Juga tidak boleh seorang Muslim itu menghina saudara Muslim lainnya. Dan barang siapa memberikan pertolongan yakni memenuhi hajat keperluan saudaranya, maka Allah pun memenuhi dan menyelesaikan segala keperluan hajatnya dan barang siapa yang memberikan kemudahan atau memberikan kelapangan bagi kesusahan seorang Muslim, nescaya Allah melapangkan kesusahannya di hari Kiamat.”

Ukhuwah melengkapkan keperluan manusia dan boleh menjadi asas pembinaan sebuah unit masyarakat yang harmoni. Alangkah indahnya sebuah keluarga yang sarat dengan rasa hormat dan kasih sayang, menjadi tunjang perpaduan dalam kerangka hubungan manusia yang lebih luas.

Sekali gus menjadikan umat Islam kuat dan teguh mempertahankan saudara di bawah bumbung agama.

Firman Allah SWT: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah jadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan dan beramah mesra antara satu sama lain. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, bukan yang lebih keturunan atau bangsanya. Sesungguhnya Allah lebih Mengetahui lagi Maha Mendalam pengetahuannya akan keadaan dan amalan kamu.” (Surah Al-Hujurat, ayat 13)


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: