Posted by: Habib Ahmad | 15 Oktober 2012

Imam al-Baghawi – Keimanan Para Nabi

Imam al-Baghawi – Keimanan Para Nabi

Imam al-Baghawi atau nama penuhnya al-Imam, al-Hafiz, al-Faqih, al-Mujtahid, Muhyis Sunnah, Ruknuddin, Abu Muhammad al-Husain bin Mas`ud bin Muhammad al-Farra’ al-Baghawi asy-Syafi`i rahimahullah adalah seorang ulama besar bermazhab Syafi`i. Beliau adalah seorang ulama yang mengabdikan dirinya untuk kitab al-Quran yang mulia dan as-Sunnah an-Nabawiyyah, dengan mempelajari, mengajar, menulis dan menyingkap perbendaharaan dan rahsia – rahsia keduanya. Yaqut al-Hamawi dalam “Mu’jam al-Buldaan” menyatakan bahawa Imam al-Baghawi dilahirkan pada tahun 433H, namun az-Zarkali dalam “al-A’lam” menyebut tahun 436H sebagai tahun kelahiran beliau.

Imam al-Baghawi mempunyai ramai guru, antaranya, al-Imam al-Qadhi Husain bin Muhammad al-Mirwazi (al-Maruzi / al-Marwazi) asy-Syafi`i, Syaikh `Abdul Wahid bin Ahmad bin Abil Qasim al-Mulaikhi al-Harawi, al-Faqih Abul Hasan ‘Ali bin Yusuf al-Juwaini, Musnid Khurasan Syaikh Abu Bakar Muhammad bin `Abdus Shamad at-Turaabi al-Mirwazi, Imam Abul Qasim `Abdul Karim bin Hawazin al-Qusyairi dan ramai lagi, sehingga dikatakan jumlah guru- guru beliau adalah sekitar 460 orang rahimahumullahu ta`ala jami`an.

Imam al-Baghawi telah dipuji oleh ramai ulama atas ketinggian ilmu dan ketakwaan beliau. Qadhi Ibnu Syuhbah dalam “Thabaqaat asy-Syafi`iyyah” memuji beliau sebagai: “seorang yang kuat beragama, alim dan beramal dengan jalan para salaf”. Imam az-Zahabi menulis dalam “Siyar A’laam an-Nubala`”: “Adalah al-Baghawi digelar sebagai “Muhyis Sunnah (penghidup ajaran sunnah) dan “Ruknuddin (Sendi/Tiang Agama)”, beliau adalah pemimpin, Imam yang `Alim lagi `Allaamah, seorang yang zuhud serta sentiasa bersikap qana`ah”. Imam as-Sayuthi pula dalam “Thabaqaat al-Huffaz” menyatakan: “Dan telah diberkati baginya (yakni al-Baghawi) dalam karya-karya beliau kerana niatnya yang baik, sesungguhnya beliau adalah termasuk dalam kalangan ulama rabbani yang sentiasa beribadah dan mengabdikan dirinya kepada Allah dan memiliki sifat qanaah yang tinggi.” Dalam “Thabaqaat al-Mufassirin”, Imam as-Sayuthi menyebut Imam al-Baghawi sebagai: “Beliau adalah Imam dalam tafsir, Imam dalam hadits dan Imam dalam fiqh”. Imam Ibnu Katsir dalam “al-Bidayah wan Nihayah” menyatakan bahawa: “Beliau (Imam al-Baghawi) adalah orang yang paling `alim di zamannya, kuat berpegang dengan agama, seorang zahid yang warak, ahli ibadah dan seorang yang sholeh.” Qadhi Ahmad bin Muhammad al-Barmaki al-Irbili asy-Syafi`i @ Ibnu Khallikan dalam “Wafayaat al-A’yaan” menyebut Imam al-Baghawi sebagai: “al-Faqih, asy-Syafi`i (pengikut mazhab Syafi`i), al-Muhaddits, al-Mufassir, Lautan Ilmu.”

Imam al-Baghawi rahimahullah meninggalkan karya-karya bernilai dalam berbagai bidang, antaranya:-
Tafsir Ma`aalim at-Tanziil;
at-Tahdzib fi fiqh al-Imam asy-Syafi`e;
Syarhus Sunnah;
Mashaabiihus Sunnah;
al-Anwaar fi Syamaail an-Nabi al-Mukhtar;
al-Jam`u bayna ash-Shahihain;
Majmu`ah min al-Fatawa.
Tafsir “Ma`aalim at-Tanziil” atau lebih masyhur disebut sebagai “Tafsir al-Baghawi” adalah tafsir bil ma’tsur yang amat bernilai sehingga Ibnu Taimiyyah al-Harrani pernah menyatakan bahawa: ” Tafsir al-Baghawi adalah ringkasan bagi Tafsir Tsa’labi akan tetapi beliau telah menapisnya daripada hadits-hadits yang maudhu` dan pendapat – pendapat yang bid`ah.”

Imam al-Baghawi rahimahullah wafat dalam bulan Syawwal tahun 516H dan jenazah beliau disemadikan bersebelahan dengan makam guru beliau, al-Imam al-Qadhi Husain rahimahullah. Mudah-mudahan Allah sentiasa merahmati beliau dan menempatkan beliau bersama dengan para anbiya`, syuhada` dan shalihin.

Imam al-Baghawi ketika menafsir ayat ke-52 surah asy-Syura menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah “al-iman” dalam ayat tersebut adalah “segala syariat dan tanda keimanan”. Oleh itu, dapat difahami bahawa perkara yang tidak diketahui oleh Junjungan Nabi SAW sebelum wahyu diturunkan kepada baginda adalah mengenai hukum – hakam syariat baginda dan bukannya perkara yang menjadi akidah keimanan (`aqaaidul iman). Ayat tersebut tidak membawa maksud, yang sebelum diturunkan wahyu, baginda SAW tidak mengetahui perkara akidah keimanan dan tidak beriman kepada Allah SWT dengan akidah yang benar. Jauh sekali para nabi sekaliannya, apatah lagi Penghulunya Para Nabi, Junjungan Sayyidina Muhammad SAW daripada tidak beriman dengan segala simpulan keimanan / aqaidul iman kepada Allah SWT. Kita harus tahu membedakan antara “syariat” dan “aqidah”, jelas bahawa Imam al-Baghawi menyatakan yang tidak diketahui adalah “syara`i`ul iman'” dan bukannya “`aqaaidul iman”. Fahamilah dengan benar wahai ikhwah, agar kita tidak mencemar kehormatan para nabi secara sedar atau tanpa sedar. Sebagai penegasan mengenai keimanan para nabi ‘alaihimus sholatu was salam kepada Allah SWT dengan akidah yang benar dan jitu, walaupun sebelum mereka dilantik menjadi nabi, Imam al-Baghawi turut menyatakan bahawa:-

Para ulama usuluddin berpegang atas pandangan bahawasanya para nabi ‘alaihimus salam adalah orang – orang yang beriman sebelum wahyu diturunkan kepada mereka. Dan adalah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi was salam beribadah kepada Allah, sebelum diturunkan wahyu kepada baginda, atas agama / syariat Nabi Ibrahim dan ketika itu belum lagi dijelaskan bagi baginda akan segala syariat agama baginda (yakni segala syariat Islam yang diturunkan kepada Baginda Muhammad SAW).

Allahu … Allah, malang sejuta kali malang bagi sesiapa yang tidak menahan lidahnya daripada mencemar kehormatan para nabi. Mudah-mudahan kita diselamatkan Allah daripada perbuatan tersebut.


Responses

  1. Assalamualaikum Tuan. Saya mohon izin menyalin artikel-artikel ini ke blog saya buat renungan dan tatapan. InsyaAllah ia amat berguna. Terima kasih.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: