Posted by: Habib Ahmad | 20 Ogos 2012

Raikan Aidil Fitri ikut sunnah nabi

Raikan Aidil Fitri ikut sunnah nabi

Oleh AMINUDIN MANSOR
HARI Raya Puasa atau Hari Raya Aidilfitri adalah hari kebesaran yang disambut oleh seluruh umat Islam seluruh dunia. Ia besar bagi umat Islam yang dirayakan pada 1 Syawal setiap tahun setelah berakhir puasa di bulan Ramadan.

Aidilfitri adalah lambang kejayaan dalam menunaikan satu perintah Allah SWT. Ia merupakan kemenangan dalam bentuk maknawi. Aidilfitri juga adalah tanda tamatnya satu tempoh latihan kerohanian. Kegembiraan yang dirasai adalah atas dasar kesyukuran kerana mendapat sesuatu yang berharga iaitu iman dan takwa.

Pada hari itu juga segala dosa umat Islam yang telah menunaikan puasa Ramadan sebulan penuh dan membayar zakat fitrah akan dibersihkan sehingga seperti bayi yang baru dilahirkan ke dunia.

Hari Raya Aidilfitri seharusnya dirayakan mengikut sunah Nabi SAW. Antaranya disunatkan bangun pagi awal daripada biasa. Digalakkan memberus gigi dan membersihkan badan. Mandi sunat hari raya dan berpakaian indah mengikut syariat.

Umat Islam juga digalakkan memakai pakaian terbaik (yang tidak semestinya baru). Hal ini bagi mengelakkan supaya seseorang itu tidak berhutang atau melampaui batasan Islam dalam kesederhanaan berpakaian. Digalakkan memakai minyak wangi yang dibolehkan dibawa sembahyang.

Tunaikan solat hari raya, pada kebiasaannya bagi Mazhab Syafi’e dilakukan di masjid dan boleh juga dilakukan di kawasan terbuka jika masjid penuh iaitu di kawasan padang dan tanah lapang yang terbuka lagi bersih.

Digalakkan makan sedikit sesuatu yang manis pada Hari Raya Aidilfitri sebagai contoh kurma dengan bilangan ganjil, iaitu satu atau tiga biji kurma sudah memadai. Ini bagi mengelakkan perut terasa lapar sewaktu solat yang mengambil masa yang agak lama.

Disunatkan pergi ke tempat solat pada awal waktu bagi mengelakkan kesesakan di jalan dan terlambat dalam menunaikan solat Aidilfitri. Digalakkan berjalan kaki ke tempat solat hari raya, jika ia dalam lingkungan yang tidak jauh mengikut jarak perjalanan. Gunakan jalan yang berlainan pergi dan balik dari tempat solat Hari Raya Aidilfitri bagi mengenali jiran dan merapatkan silaturahim.

Mengikut mazhab Syafi’e digalakkan membaca takbir dengan kerap dan boleh dibaca dengan kuat. Apabila tiba di masjid lakukan solat sunat dua rakaat tanpa azan atau iqamah. Adalah dilarang untuk menunaikan solat sunat sebelum atau selepas solat hari raya di padang. Tetapi boleh dilakukan jika bersolat di dalam masjid , umpamanya solat Dhuha dan Tahiyatul Masjid.

Lakukan solat sunat dua rakaat apabila tiba di rumah iaitu setelah selesai solat sunat Aidilfitri. Selepas itu digalakkan menerima tetamu yang berkunjung ke rumah bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat kejiranan.

Semasa solat hari raya, dalam rakaat pertama , Rasulullah SAW akan membaca surah al-A’la dan surah al-Ghasiyaah dalam rakaat kedua. Boleh juga dibaca surah Qaaf pada rakaat pertama dan al-Qamar pada rakaat kedua.

Diriwayatkan pada zaman Rasulullah SAW, apabila selesai menunaikan solat hari raya baginda akan berdiri menghadap orang ramai yang sedang duduk dalam barisan mereka, memberi khutbah, mengeluarkan arahan dan memerintahkan umat Islam melakukan kebaikan.

Jika ingin menghantar tentera atau jemaah, baginda akan lakukan dan begitu juga mengeluarkan arahan yang khusus yang baginda inginkan.

Khutbah diberikan selepas solat hari raya. Khutbah hari raya adalah sunat tetapi mendengarnya adalah wajib. Adalah dilarang keras (haram) untuk berjalan sekeliling, berbual atau menunaikan solat semasa khutbah.

Hal ini penting bagi mendengar amanat yang ingin disampaikan oleh Imam kepada makmum. Jika para makmum tidak memberi perhatian yang khusus sudah tentu amanat yang ingin disampaikan tidak tercapai.

Bersalaman antara satu sama lain adalah dibenarkan tetapi janganlah dilakukan sebagai adat atau dengan keterlaluan.

Bertemu dengan orang yang datang dari jauh dengan berjabat tangan atau dengan berpelukan apabila bertemu mereka adalah dibolehkan.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: