Posted by: Habib Ahmad | 23 Jun 2012

Al-Shaykh Abdul Qadir Mandili: al-Mazhab atau Tiada Haram Bermazhab

Al-Shaykh Abdul Qadir Mandili: al-Mazhab atau Tiada Haram Bermazhab

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh; Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam; Selawat dan Salam ke atas Rasulullah SAW, Rahmat ke seluruh alam; Juga kepada ahli keluarga baginda dan para sahabat r.a. yang telah bertebaran di merata alam;
1. al-Marhum Al-Shaykh Abdul Qadir al-Mandili  merupakan salah seorang ulama’ Melayu yang mengajar di Masjidil Haram pada zamannya. Beliau ada menulis sebuah kitab tentang isu “Bermazhab” yang telah ditimbulkan oleh kaum Muda atau “Mudah” di tanah melayu suatu ketika dulu.
2. Al-Marhum al-Shaykh Abdul Qadir al-Mandili menyebut di muqaddimahnya:

“Amma ba’d, maka ini sebuah kitab yang kecil, yang mengandung ia akan hukum bermazhab dan taqlid, hamba susunkandia kerana permintaan Tuan Guru Haji Hasan Ahmad Fatani, yang memberi ia akan hamba sebuah risalah (al-Mazhab, Wajibkah atau Haramkan Bermazhab?) yang terbangsa kepada al-Fadil Tuan Hasan Ahmad Bandung, dan menyuruh akan hamba dengan menerangkan barang yang di dalamnya daripada segala yang menyalahi….”

3. Jelasnya, kitab di atas ditulis bagi menjawab persoalan yang telah ditimbulkan oleh Tuan Hasan Ahmad Bandung di dalam sebuah kitab yang bertajuk: “al-Mazhab: Wajibkah atau Haramkan bermazhab?”.
4. Ajaran dan fahaman kaum Muda yang dibawa oleh Ustaz Hasan Bandung pernah mempengaruhi ramai para pelajar IPTA di Malaysia pada suatu masa dahulu sehingga ada universiti yang tidak melakukan qunut, melakukan azan jumaat hanya sekali dan ada mahasiswa yang berpegang dengan pegangan bahawa aging babi tidak najis – hanya haram dimakan, dll. Alhamdulillah, fitnah tersebut semakin lama semakin ditinggalkan oleh masyarakat walaupun cuba dihidupkan oleh fahaman Salafi Wahhabi masa kini.
5. Ya, sejarah membuktikan bahawa mahasiswa-mahasiswi IPT yang bijak pandai juga  terdedah kepada fahaman dan ajaran yang menyeleweng dari aliran Ahli Sunnah dan Jama’ah. Maka berhati2lah wahai para mahasiswa di luar sana, ilmu pertama yang kamu timba dalam pengajian agama memberi kesan yang sangat besar di dalam diri kamu.
6. Pengalaman penulis dalam memberi khidmat nasihat kepada mereka yang terpengaruh dengan fahaman bid’ah mendapati bahawa “ustaz pertama/guru agama pertama” seseorang memberi implikasi yang sangat besar di dalam kefahaman agamanya kerana mereka belajar daripada “ustaz/guru pertama” ini dalam keadaan dada dan diri mereka kosong daripada ilmu-ilmu asas yang benar. Setelah fahaman tersebut berakar umbi di dalam diri mereka, maka proses “pembersihan” mengambil masa yang agak lama dan sukar. Illa man rahimallah.
5. Menurut pemerhatian penulis juga, fahaman Salafi Wahhabi masakini di Malaysia sebenarnya adalah merupakan fahaman gadungan daripada ajaran Wahhabiyyah yang dibawa oleh Muhammad Ibn Abd al-Wahhab  al-Najdi dan fahaman Salafiyyah yang dibawa oleh Jamaluddin al-Afghani, Sheikh Muhammad Abduh, dan Muhammad Rashid Ridha.  Kedua-dua fahaman ini sebenarnya mempunyai sebahagian persamaan dan perbezaan yang ketara; namun begitu penulis tidak bercadang untuk memperincikan persamaan dan perbezaan tersebut di dalam penulisan yang ringkas ini.
6. Ini sedikit berbeza dengan fahaman kaum Muda pada zaman awal yang lebih terpengaruh dengan gerakan pan-Islamism yang dibawa oleh Jamaluddin al-Afghani. Ya, ada yag benar-benar mengikuti fahaman Wahhabiyyah seperti ajaran Ittiba’ al-Sunnah di Kuala Pilah yang telah difatwakan sebagai sesat oleh Majlis Fatwa Kebangasaan.
7. Penulis tak dapat untuk memanjangkan perbincangan di dalam bab ini kerana hambatan masa dan tugas. Untuk download kitab yang dikarang oleh al-Shaykh Abdul Qadir al-Mandili tersebut, pembaca boleh klik di sini.
Moga perkongsian ini memberi manfaat. Amin.
Untuk lebih mengenali beliau, penulis memetik sejarah ringkas beliau dari sumber berikut [Pondok Habib]:

Syeikh Abdul Qadir al-Mandili Guru di Masjidil Haram

Bukan sedikit tokoh-tokoh ulama yang berketurunan Mandailing berhijrah ke Tanah Melayu. Antara tokoh terawal yang datang ke Tanah Melayu ialah Syeikh Junid Thala. Tokoh besar ini lahir pada tahun 1314 Hijriyyah bersamaan dengan 1897 Masehi. Beliau merupakan pendiri Madrasah ad-Diniyah di Padang Rengas, Kuala Kangsar Perak. Madrasah ini pernah menjadi pusat gerakan menentang penjajah satu masa dahulu.

Tokoh selanjutnya ialah Syeikh Abdul Qadir Bin Abdul Mutollib Al-Indonesi Al-Mandili. Beliau pernah menimba ilmu di Kedah dan kemudiannya menjadi tenaga pengajar di Masjidil Haram. Walaupun menjadi guru di Masjidil Haram, hubungan beliau dengan alim-ulama dan para penuntut ilmu di Alam Melayu sangat akrab. Beliau sangat mengambil berat tentang perkembangan semasa samada dari segi agama mahupun politik di Alam Melayu.

Nama penuh ulama ini ialah Abdul Qadir bin Abdul Mutollib bin Hassan. Beliau dilahirkan pada tahun 1910 Masehi di Sigalangang, Tapanuli Selatan sebuah wilayah yang terletak di bahagian Sumatera Utara dalam Pulau Sumatera. Latar belakang keluarganya adalah dalam bidang asas tani. Syeikh Abdul Qadir mendapat pendidikan awal di Sekolah Belanda pada tahun 1917 dan lulus Darjah Lima pada tahun 1923. Setahun selepas itu beliau berhijrah ke Kedah untuk mendalami ilmu agama.

Di peringkat awal, beliau menimba ilmu kepada Tuan Guru Haji Bakar Tobiar di Pondok Penyarum, Pendang. Selepas itu beliau berpindah ke Pondok Air Hitam untuk menimba ilmu kepada tokoh ulama di situ iaitu Tuan Guru Haji Idris dan Lebai Dukun. Pada tahun 1926, Syeikh Abdul Qadir memasuki Madrasah Darul Saadah Al-Islamiyah (Pondok Titi Gajah ) yang pada waktu itu dipimpin oleh Syeikh Wan Ibrahim Abdul Qadir yang lebih terkenal dengan panggilan Pak Chu Him) oleh masyarakat setempat.

Beliau menadah kitab kepada Pak Chu Him selama 10 tahun. Beliau sangat tekun belajar dan amat ringan tulang. Pada musim cuti, beliau akan bekerja mengambil upah memukul padi kerana pondok itu terletak di dalam kawasan padi. Diriwayatkan bahawa telah menjadi amalan beliau untuk menghafaz sambil memukul padi. Tidak hairanlah beliau menjadi anak murid kesayangan Pak Chu Him Selanjutnya beliau menjadi guru pondok membantu Pak Chu Him mengajar di situ tetapi dalam tempoh yang tidak lama. Ini adalah kerana beliau mengambil keputusan untuk berangkat ke Makkah untuk menimba ilmu kepada kakanda Pak Chu Him iaitu Syeikh Wan Ismail Abdul Qadir atau lebih dikenali sebagai Pak Da ‘Ail. Pak Da ‘Ail pada ketika itu merupakan tokoh ulama besar di Makkah.

Pada tahun 1936, beliau bertolak ke Makkah dan setibanya di sana, beliau bukan sahaja berguru dengan Pak Da ‘Ail tetapi juga tokoh-tokoh ulama lain seperti Syeikh Al-Maliki, Syeikh Hassan Al-Masyat, Syeikh Muhammad Al-Arabi, Syeikh Sayyid Al-Alawi, Syeikh Muhammad Ahyad, Syeikh Hasan Yamani, Syeikh Muhammad Nur Saif, Syeikh Umar Hamdan Mahrusi, Syeikh Yasin Isa Al-Fadani dan Syeikh Abdullah Lahji. Dengan mendampingi ulama-ulama besar ini, beliau telah mendalami ilmu khususnya dalam bidang Tauhid, Tasawwuf, Fiqh dan Hadith.

Ketika berada di Makkah beliau tambah tekun belajar. Diriwayatkan masanya banyak dihabiskan di Masjidil Haram dengan mengaji, menghafaz, mengerjakan tawaf dan minum air zam-zam. Saking alimnya beliau yang menguasai pelbagai bidang ilmu maka beliau kemudiannya diterima menjadi guru di Masjidil Haram. Bukan calang-calang orang menjadi guru agama di Masjidil Haram kerana Masjidil Haram menjadi tempat perhimpunan alim-ulama untuk menimba ilmu. Syeikh Abdul Qadir telah mendapat pengiktirafan tokoh-tokoh ulama di Makkah sehingga beliau diberi izin untuk mengajar di kota suci itu. Disebabkan itulah beliau telah digelar oleh seorang tokoh ulama Kedah iaitu Tuan Guru Haji Husein Che Dol[1] sebagai “al-Alim al-Fadhil wa al-Abdi al-Kamil As-Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Mutollib Al-Mandili al-Indonesi” yang menggambarkan tingginya tahap keilmuan beliau.

Halaqah pengajiannya sentiasa mendapat tempat di hati para penuntut ilmu khususnya penuntut yang datang dari Alam Melayu. Halaqah beliau dikatakan sentiasa penuh, tidak pernah kurang dari 200 orang pelajar. Beliau mengajar pelbagai bidang ilmu termasuklah ilmu Nahu, Sorof, Hadith, Musthalah Hadith, Tafsir, Fiqh Syafi`i dan sebagainya.

Ketika menjadi guru di Masjidil Haram, Syeikh Abdul Qadir pernah ditawarkan dengan pelbagai jawatan termasuk sebagai guru agama di Cape Town, Afrika Selatan. Presiden Sukarno dikatakan pernah menawarkan kepada beliau jawatan Mufti Indonesia manakala Al-Malik Saud, Raja Arab Saudi menawarkan jawatan sebagai Qadhi Al-Qudat dengan gaji yang besar tetapi beliau menolaknya kerana ingin menumpukan perhatian kepada pengajarannya di Masjidil Haram. Ini bersesuaianlah dengan gelaran yang beliau sendiri pakai iaitu “Khuwaidam Talabah al-Ilmu as-Syarif bil Harami al-Makki (Khadam kecil bagi penuntut ilmu di Masjidil Haram)”.

Syeikh Abdul Qadir tidak ketinggalan menghasilkan karya dimana ada di antara kitab-kitab yang ditulisnya itu masih lagi digunakan sebagai teks pengajian di pondok dan di masjid. Tulisan beliau meliputi pelbagai bidang seperti usuluddin, tasawwuf, fiqh, politik, pendidikan dan perundangan. Diriwayatkan sewaktu berada di Makkah, beliau telah menghasilkan 24 buah kitab dalam bahasa Melayu dan Arab. Antara hasil penulisannya ialah seperti seperti

  • Risalah Pokok Qadyani – Risalah ini mendedahkan kesesatan dan bahaya ajaran Mirza Ghulam Ahmad Qadyani.
  • Sinar Matahari Buat Penyuluh Kesilapan Abu Bakar Al-Asy’ari – Kitab ini ditulis pada tahun 1958 mengkritik pemikiran Kaum Muda.
  • al-Mazhab atau Tiada Haram Bermazhab – Kitab ini juga ditulis pada tahun 1958 mengkritik pemikiran Kaum Muda.
  • Pendirian Agama Islam – Kitab ini ditulis pada tahun 1956 dan membicarakan tentang masalah ideologi ciptaan manusia seperti kapitalisme, sosialisme dan komunisme serta percanggahannya dengan aqidah dan pemikiran Islam.
  • Senjata Tok Haji dan Tok Lebai – Kitab ini ditulis pada tahun 1949
  • Pembantu Bagi Sekalian Orang Islam Dengan Harus Membaca Quran dan Sampai Pahalanya Kepada Sekalian Yang Mati – Kitab ini ditulis pada tahun 1950
  • Tuhfat Al-Qari Al-Muslim Al-Mukhtarah Mimma Ittifaqa Alaih Al-Bukhari wa Muslim – Kitab ini ditulis pada tahun 1952
  • Bekal Orang Yang Menunaikan Haji – Kitab ini ditulis pada tahun 1953
  • Penawar bagi Hati – Kitab ini ada diterbitkan dalam versi Rumi oleh penerbit Hidayah Publishers
  • Perisai bagi Sekalian Mukallaf – Kitab ini ada diterbitkan dalam versi Rumi oleh Hidayah Publishers dan Jahabersa.

Buku-buku yang ditulisnya dalam bidang politik dan perundangan antaranya ialah seperti

  • Kebagusan Undang-undang Islam dan Kecelaan Undang-undang Ciptaan Manusia (1961),
  • Siasah dan Loteri dan Alim Ulama (1962) dan
  • Islam: Agama dan Kedaulatan (1959).

Syeikh Abdul Qadir sangat gigih mengajar tidak kira walaupun dalam keadaan sakit. Tidak langsung tampak kesakitan yang dideritainya sebaik sahaja beliau mula mengajar. Apabila ditanya oleh anak muridnya apakah beliau sudah sembuh, beliau menjawab, “kalau menangis pun bukan nak lega”. Begitulah hebatnya tokoh ulama yang berasal dari Alam Melayu ini yang sangat gigih berdakwah dan menabur ilmu kepada umat Islam tanpa mengira penat dan lelah. Pada tahun 1385 Hijriyyah (1965 Masehi), Syeikh Abdul Qadir bin Tholib menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah mengalami penyakit uzur di kakinya. Jenazahnya telah dimakamkan di perkuburan Ma`la Makkah Mukarramah.”

Wallahu a’lam, wa ilmuhu atamm, wa ma tawfiquna illa billah al-‘ali al-‘azim.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: