Posted by: Habib Ahmad | 16 Mei 2012

Peranan ibu dalam melahirkan anak soleh

Peranan ibu dalam melahirkan anak soleh

Posted by epondok di Mei 16, 2012

Rate This

 

Oleh Mohd Fadly Samsudin

PALING AKRAB...ibu perlu melayan segala kerenah anak yang sedang melalui zaman peralihan hidup.
PALING AKRAB…ibu perlu melayan segala kerenah anak yang sedang melalui zaman peralihan hidup.

MARTABAT ibu lebih tinggi daripada bapa kerana hubungannya dengan anak lebih hampir kerana merekalah yang mengandung, melahirkan, menyusukan serta membesarkan anak.

Dengan kehadiran cahaya mata menjadikan tanggungjawab ibu semakin berat kerana perlu menggalas beberapa tugas dalam satu masa.

Ibu pastinya sentiasa meletakkan kepentingan anak dan keluarga melebihi dirinya. Sebab itu martabat ibu terletak pada kedudukan kedua tertinggi selepas mentaati Allah.

Perkara itu berdasarkan ‘tartibul kalimat’ iaitu susunan keutamaan seperti ditegaskan Allah menerusi firman-Nya dalam Surah al-Israa’ ayat 23 yang bermaksud: “Dan Tuhanmu perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.”

Imam Bukhari meriwayatkan kisah daripada Said bin Abi Burdah mengenai seorang lelaki Yaman yang bertawaf sambil mendukung ibunya.

Selesai tawaf, beliau bertanya Ibnu Umar: “Apakah dengan khidmat dan pengorbananku ini dapat membalas jasa bakti ibuku?” Jawab Ibnu Umar: “Tidak, apa yang kamu lakukan tadi tidak akan dapat menebus jasa ibumu sekalipun sekadar hembusan nafas ketika kesakitan melahirkan kamu.”

Martabat tinggi itu adalah berdasarkan peranan terbesar ibu mengandungkan anaknya yang tidak mampu dipikul seorang lelaki pun.

Apabila lahirnya anak ke dunia ini, ibu sebenarnya sudah diangkat menjadi pendakwah di dalam keluarga. Tugas yang perlu mereka laksanakan antaranya bertanggungjawab mendidik serta menerapkan akhlak terpuji kepada anak.

Maka, setiap ibu tidak terlepas daripada memikul tanggungjawab sebagai pendakwah. Sejak dari dalam kandungan lagi, ibu adalah guru dan sekolah pertama bagi anak.

Agenda utama dakwah ialah membina peribadi Muslim yang sempurna dan mantap.

Peranan ibu sebagai pendakwah di sini ialah dalam konteks melayan kerenah anak yang sedang melalui zaman peralihan hidup.

Ibu perlu memahami cabaran persekitaran dalam proses pembentukan anaknya.

Mereka perlu mempelajari teknik pembangunan anak seperti mengawal emosi, kaunseling, teknik membimbing anak bermasalah dan juga teknik memuji sebagai penghargaan.

Setiap kesilapan dan kesalahan yang dilakukan perlu diperbetulkan secara bijaksana. Cara menegur dengan leteran, menengking, marah atau ugutan amat tidak bersesuaian kerana ia akan menerbitkan perasaan dendam, sedih, malu dan memberi tekanan kepada anak.

Perunding motivasi syariah, Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanapi berkata, Imam Malik pernah ditanya bagaimanakah beliau memperoleh anak alim dan soleh mosleh.

“Jawapan beliau, aku pilih ibunya. Kisah ini bermaksud pendakwah yang disegani dalam skop perbincangan wanita bermula dari peringkat awal lagi iaitu pemilihan bakal isteri.

“Dari aspek pemilihan bakal isteri, nabi junjungan menyarankan kita memilih yang beragama. Seorang penyair Arab berkata, sang ibu itu samalah dengan sekolah, jika anda pandai menyesuaikannya… samalah seperti anda membangunkan suatu umat yang baik keturunannya… Oleh yang demikian, tidak dapat dinafikan lagi pentingnya peranan kedua ibu bapa dalam mendidik anak mereka menjadi insan yang berguna.

“Ibu adalah murabbi (pendidik). Betapa bahagianya ibu bapa dapat diumpamakan seperti, mereka dapat melihat buah (hasil) bahkan dapat juga berlindung di bawah pohon yang mereka tanam dahulu.

“Itulah ‘seni’ mendidik anak; perlu secara halus, dalam lembut ada tegasnya, dalam semangat ada berkat,”katanya.

Beliau berkata, ulama tersohor Abdullah Naseh Ulwan dalam kitabnya Tarbiyatul Aulad menggariskan lima panduan dalam kaedah mendidik anak serta mengekalkan disiplinnya.

“Pertama, menunjukkan contoh teladan iaitu mengambil Nabi Muhammad s.a.w sebagai ikutan.

“Kita pernah mendengar orang tua kata, anak adalah cermin ibu bapanya. Kalaulah ibu atau ayahnya seorang yang baik sudah pasti anaknya juga begitu.

“Kedua, memastikan disiplin anak dengan cara kebiasaannya. Pujangga Arab berkata, sesiapa yang terdidik dari kecilnya maka akan terbiasa sehingga dewasa.

“Bahkan imam Ghazali menyatakan, akhlak adalah perbuatan yang tidak perlu kepada berfikir dahulu, iaitu tindakan terus akibat menjadikan perbuatan itu adat kebiasaannya.

“Ketiga, menggunakan nasihat dan bimbingan. Anak mana yang sentiasa berdisiplin dan dengar kata. Sudah pasti ada kenakalan atau ragam mereka yang perlu kita tegur.

“Ini selaras dengan dasar pendidikan agama iaitu, nasihat. Bukan sekadar ibu bapa perlu menasihatkan anak, malah ibu bapa wajar meminta pandangan dan nasihat dari anak mereka.

“Keempat, pendidikan berterusan dengan pemerhatian serta pengawasan ibu bapa.

Apabila anak meningkat remaja ibu bapa perlu mengawasi anak daripada berbuat perkara yang menyalahi agama.

“Kelima, disiplinkan anak dengan denda dan hukuman. Ia bukan bersifat menghukum tetapi lebih kepada mendidik agar mereka mematuhi konsep tarbiah.

“Ajar anak dengan contoh persekitaran mereka seperti pencuri akan ditangkap polis dan dihukum. Ini satu bentuk gambaran kepada keterbatasan tindak tanduk anak, iaitu mereka boleh bergembira tetapi ada batasannya,” katanya.

Menurutnya, seorang ibu wajar berniat, aku adalah ibu yang terbaik kepada anakku dan isteri solehah kepada suamiku.

“Niat ini bukan saja doa malah menjadi ingatan kepada diri supaya tahu matlamat diri sendiri. Dalam Islam, tidak menjadi kesalahan bagi seorang ibu untuk bekerja.

“Malah, isteri yang reda dan ikhlas dalam bekerja bagi membantu suaminya mencari nafkah akan memperoleh ganjaran seumpama berjihad.

“Pepatah barat ada menyatakan, “you win some, you loose some”. Tiada kemenangan kepada kedua-duanya tetapi keseimbangan dalam pembahagian masa dan perhatian diperlukan dalam menangani konflik seperti ini.

“Tiada gunanya hebat dalam kerjaya tetapi membiarkan anak gersang kasih sayang.

Apabila rumah kosong dengan kasih sayang, mereka akan mencari kasih sayang di luar,” katanya.

Katanya, ibu sebagai pendidik dalam keluarga perlu membiasakan diri dengan sikap sentiasa mahu belajar.

“Jangan malu bertanya. Tambah ilmu serta bertukar pandangan dengan alim ulama atau menghadiri kursus keibubapaan bagi menajamkan kemahiran mendidik anak generasi kini.

“Kita perlu menambah maklumat yang boleh digunakan dalam mendidik anak bagi menjauhkan mereka daripada anasir negatif.

“Jangan sampai tersedar selepas anak disahkan menagih dadah, mengandungkan anak luar nikah atau ditangkap polis kerana melakukan jenayah.

“Peranan ibu bukan sekadar melahirkan malah mendidik dengan penuh keikhlasan supaya anak menjadi sebutir mutiara di celahan deraian kaca,” katanya.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: