SEMINAR ANTARABANGSA SEMPENA PELANCARAN UNIVERSITI AS-SOFA

Tema:  Penghayatan Manhaj Nabawi Dalam Agenda Pendidikan Ummah

Tarikh: 16 JAMADILAWWAL 1433 / 8 APRIL 2012

Hari/Waktu: AHAD 9 PAGI – 5 PETANG

Tempat: DEWAN MUKTAMAR PUSAT

 

PENGENALAN

 

  1. Dalam dunia berasaskan pasaran yang berubah pantas pada hari ini, institusi-institusi pendidikan tinggi seperti universiti dan kolej sama ada yang dimiliki oleh sektor kerajaan atau swasta memainkan peranan strategik bagi menghasilkan masyarakat ilmu yang berasaskan maklumat yang benar, memiliki integriti dan etika yang tinggi dalam melaksanakan amanah dalam kehidupan profesional dan peribadi mereka. Meskipun dunia pasaran yang bergerak pantas ketika ini memberi tekanan hebat kepada institusi pendidikan tinggi untuk menumpukan kepada pengeluaran warga kerja yang akan memenuhi kehendak dunia pasaran semata-mata, institusi pendidikan tinggi tidak wajar lupa terhadap tujuan hakiki yang lebih mulia bagi keberadaan mereka dalam masyarakat dan negara.
  2. Usaha bagi menghasilkan manusia yang berintegriti dan beretika yang tinggi sejak dahulu lagi telah menjadi tujuan utama pembentukan universiti dan kolej bukan sahaja dalam dunia Islam malah dunia bukan Islam termasuklah di Barat. Istilah Universiti adalah merujuk kepada pembentukan Universal Maniaitu Insan Menyeluruh dan Bersepadu (Holistik) yang sebenarnya hasil cetusan Insan Jami’ atau Kamil dalam tradisi Islam. Dalam peradaban Islam, Universiti dinamakan Jami’ah atau Kulliyyah (asal istilah Kolej) bagi menandakan kesempurnaan Insan yang ingin dihasilkan dari sistem ilmu dan pendidikan tradisi Islam tersebut. Sudah barangpastilah Insan agung Nabi Muhammad Rasulullah (—) adalah idola atau model Insan Kamil yang sejak turun-temurun dijadikan ikutan dan panduan dalam sistem ilmu dan pendidikan peradaban Islam.
  3. Menyedari kegagalan sistem ilmu dan pendidikan kontemporari yang ditiru dari Barat yang tidak berupaya menghasilkan model insan berintegriti dan beretika jika dilihat dari kemelut sosio-ekonomi dan politik yang melanda umat Islam pada ketika ini, maka mengapa tidak dicuba pula satu agenda yang telah terbukti berjaya melakukan transformasi menyeluruh sekelompok masyarakat Arab Jahiliyyah menjadi pembina empayar gemilang umat Islam dalam tempoh yang begitu singkat dibawah panduan dan bimbingan Insan Kamil Nabi Muhammad (—). Apakah rahsia generasi awal yang bergraduasi dibawah Universiti Rasulullah (—) di Anjung Suffah, Masjid Nabi di Madinah al-Munawwarah?
  4. Atas keinsafan tersebut, maka UNIVERSITI AS-SOFA sebuah universiti yang berpegang teguh kepada faham Ahlu Sunnah wal Jama’ah mengambil inisiatif memperkenalkan Agenda Manhaj Nabawi sebagai satu strategi alternatif yang perlu dicuba oleh institusi pendidikan tinggi dalam dunia umat Islam untuk benar-benar menghasilkan insan berintegriti dan beretika berasaskan kefahaman dan penghayatan yang bersungguh-sungguh terhadap keperibadian Rasulullah (—) sepertimana yang telah direalisasikan oleh para sahabat Baginda (—). Penubuhan UNIVERSITI AS-SOFA itu sendiri adalah atas keinsafan bagi menjayakan Agenda Manhaj Nabawi sebagai metodologi sistem ilmu dan pendidikan umat bagi menggantikan sistem ilmu yang gagal membina integriti dan etika insan apatah lagi dalam soal karamah dan kemuliaan insan.

 

 

OBJEKTIF SEMINAR

 

  1. Memperkenalkan Agenda Manhaj Nabawi sebagai model pembentukan sistem ilmu dan pendidikan berteraskan Hakikat Kesempurnaan Rasulullah sebagai Insan Kamil di institusi pendidikan tinggi umat Islam sebagai alternatif bagi model ilmu Barat yang telah sekian lama mencengkam pemikiran dan tindakan institusi pendidikan tinggi umat Islam.
  2. Mengemukakan pandangan tokoh-tokoh ulama’ Ahli Sunnah wal Jamaah mengenai keperluan dan justifikasi Agenda Manhaj Nabawi dilaksanakan di institusi pendidikan tinggi umat Islam terutamanya dalam usaha menangani kemelut sosio-ekonomi dan politik umat yang semakin hari semakin parah akibat pengaruh model ilmu yang sekular dan liberal.
  3. Menyediakan platform percambahan pemikiran dan rangkaian kerjasama praktikal di kalangan institusi pendidikan tinggi tempatan dan antarabangsa yang prihatin untuk melaksanakan Agenda Manhaj Nabawi sebagai sumber jatidiri sistem ilmu dan pendidikan umat Islam bermula dari peringkat yang paling tinggi sehingga ke peringkat paling rendah.