Posted by: Habib Ahmad | 19 Mac 2012

Isu Bid‘ah : Berlapang Dadalah Wahai Saudara-saudaraku!

Isu Bid‘ah : Berlapang Dadalah Wahai Saudara-saudaraku!

Posted on Mac 4, 2012

0

 

Pengenalan

Isu bid‘ah seringkali menjadi perbincangan di mana-mana sehinggakan secara sedar ia telah melahirkan pelbagai “kumpulan” dengan “label-label” yang rencam dan mewujudkan “pertempuran-pertempuran” pemikiran yang sedikit sebanyak menyebabkan perpecahan dan keresahan di kalangan masyarakat Muslim. Meskipun sejak dahulu lagi terdapatnya perbezaan pendapat di kalangan salaf-us-ṣāliḥ dan ‘ulamā’ mu‘tabar serta sikap saling menghormati perbezaan tersebut, namun ia kelihatan tidak sebegitu diterima oleh sesetengah pihak yang amat “tegar” dengan fahaman tertentu, lagi bersikap “keras” dalam perkara-perkara khilāfiyyah.

Manakala di satu pihak yang lain pula, mereka “menggunakan” ruang-ruang khilāfiyyah sewenang-wenangnya tanpa pegangan yang benar kepada Al-Qur’ān dan As-Sunnah, juga tanpa rujukan kepada āthār dan ijmā‘ atau rujukan-rujukan lain yang diterima oleh jumhūr ‘ulamā’. Natijahnya, wujudlah amalan-amalan warisan atau adat yang bercampur-baur dengan perkara-perkara yang dibenarkan shara‘ seperti meletakkan suatu amalan berdasarkan bilangan hari atau dengan bilangan-bilangan tertentu.

Definisi

Dari segi bahasa, perkataan bid‘ah bermaksud baru dan apa-apa yang telah diada-adakan daripada agama setelah penyempurnaan(nya) [1]. Ia juga didefinisikan sebagai suatu yang baru di mana tiada seumpamanya sebelum (ini) sama ada ia (bid‘ah) yang terpuji atau tercela [2], juga ia membawa maksud mereka-reka satu jalan yang tidak pernah dibuat oleh (orang) yang terdahulu [3]. Bagi Imām Ibnu Ḥajar Al-‘Asqalanīy r.ḥ (meninggal 852H), bid‘ah ialah setiap sesuatu yang tidak pernah ada sepertinya sebelum ini, dari segi bahasa ia merangkumi yang dipuji dan yang dicela [4].

Bid‘ah , pembahagian, dan cara mengenalinya

Dari segi shara‘, Imām Al-‘Izz ‘Abd-us-Salām r.ḥ (meninggal 660H) berpendapat bahawa bid‘ah itu ialah perbuatan yang tidak pernah diketahui (berlaku) pada zaman RasūlulLāh Ṣ.‘A.W. Dan, ia terbahagi kepada bid‘ah yang wājib, bid‘ah yang ḥaram, bid‘ah yang sunat, bid‘ah yang makrūh, dan bid‘ah yang harus. Cara untuk mengenali demikian itu (jenis bid‘ah) adalah berpandukan kaedah-kaedah shara‘. Jika ia masuk di dalam kaedah-kaedah yang wājib, maka ia (menjadi) wājib, jika ia masuk di dalam kaedah-kaedah yang ḥaram, maka ia (menjadi) ḥaram, dan begitulah seterusnya. Misalnya, mempelajari ilmu nahu bagi (tujuan) memahami Kalam الله dan kalam Rasul-Nya adalah wājib. Demikian itu (hukum wājib) adalah kerana memelihara sharī‘ah itu wājib, dan tidaklah dapat memeliharanya, kecuali dengan mengetahui perkara tersebut (ilmu nahu). Apa-apa yang tidak (boleh) sempurna (pelaksanaan) yang wajib kecuali dengannya maka ia menjadi wajib [5].

Imām Ibnu ‘Arabīy r.ḥ (meninggal 543H), ketika mengulas matan ḥadīth (وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ) di mana beliau berkata : “Ketahuilah olehmu! bahawa perkara (-perkara) baru itu terbahagi kepada dua, (yang pertama) perkara baru yang tidak mempunyai asal kecuali (mengikut) kesukaan hawa nafsu, dan melakukan(nya) dengan cara seperti itu adalah bāṭil; dan (yang kedua) perkara baru yang selaras (dengan shara‘) , maka ini adalah sunnah khulafa’(-ur-rāshidīn) dan imām-imām yang utama. Dan, bukanlah (setiap) perkara baru dan bid‘ah itu dicela (dengan sebab) lafaz مُحْدَثٍ dan بِدْعَةٍ (kerana) ia bukanlah (membawa) makna (tersebut sahaja). Sesungguhnya الله telah berfirman (maksudnya): “Tidaklah datang (kepada) mereka daripada peringatan (yang diturunkan) daripada Tuhan mereka suatu (wahyu) yang baru, melainkan mereka mendengarnya sambil mereka mempermain-mainkannya (Al-’Anbiyā’:2) [6].” Imām Ibnu Kathīr r.ḥ (meninggal 774H) mentafsirkan perkataan مُحْدَثٍ di dalam ayat tersebut bermaksud baru (penurunannya) [7]. Jadi jelaslah bahawa lafaz مُحْدَثٍ bukanlah bermaksud dicela sahaja seperti tafsiran Imām Ibnu Kathīr r.ḥ itu.

Pembahagian bid‘ah juga turut dipersetujui oleh Imām An-Nawawīy r.ḥ (meninggal 676H) di mana bagi beliau bid’ah ialah perkara-perkara baru yang tidak pernah ada di zaman RasūlulLāh Ṣ.‘A.W, dan ia terbahagi kepada baik dan keji [8].

Pandangan Imām Ibnu Rajab Al-Ḥānbalīy r.ḥ (meninggal 795H)

Imām Ibnu Rajab Al-Ḥānbalīy r.ḥ mendefinisikan bid‘ah itu ialah apa-apa yang baru (yang) tidak ada asal (daripada) shara‘ yang menunjukkan atasnya, adapun suatu yang ada asal daripada shara‘maka ia bukanlah bid‘ah dari segi shara‘, sekalipun ia bid‘ah dari segi bahasa [9]. Jadi, sesiapa mencipta sesuatu yang baru dan menisbahkannya kepada agama, sedangkan ia tiada asal daripada agama yang dirujuk kepadanya, maka ia adalah (bid‘ah) yang sesat, dan agama bebas daripadanya sama ada dalam persoalan-persoalan ’i‘tiqād, amalan dan perkataan yang zahir dan batin [10].

Bid‘ah ḍalālah ialah yang tiada asal dan menyalahi shara‘

Adalah jelas daripada pandangan- pandangan para ‘ulamā’ yang tersebut bahawa bid‘ah yang dicela di sisi shara‘ yang mana pelakunya mendapat dosa ialah (bid‘ah) yang tidak ada asal (daripada) shara‘ yang menunjukkan atasnya. Inilah yang dimaksudkan daripada sabda RasūlulLāh Ṣ.‘A.W (mafhūmnya): “Maka sesungguhnya sebaik-baik perkataan (ialah) Kitāb الله, dan sebaik-baik petunjuk (ialah) petunjuk Muḥammad (Ṣ.‘A.W) , dan seburuk-buruk perkara (ialah) yang diada-adakan [11].” Bersandarkan mafhūm ḥadīth ini juga, Imām Ash-Shāfi‘īy r.ḥ (meninggal 204H) berkata: “ Perkara-perkara baru itu terbahagi kepada dua, (yang) pertama, iaitu apa-apa yang diada-adakan yang menyalahi Kitāb, sunnahāthār, atau ijmā‘, maka inilah bid‘ah yang sesat, dan (yang) kedua , iaitu apa-apa yang diada-adakan daripada kebaikan yang tidak menyalahi salah satu daripadanya, maka ini adalah perkara baru yang tidak dikeji [12].

Naṣ-naṣ mengenai perkara-perkara bid‘ah ḥasanah

Daripada Jarīr bin ‘AbdilLāh, beliau berkata : “Telah datang sekumpulan orang-orang ‘Arab (padang pasir) kepada RasūlulLāh Ṣ.‘A.W, mereka berpakaian daripada bulu kambing biri-biri. Baginda telah mendapati mereka dalam keadaan yang teruk dan sangat memerlukan (pertolongan). Lalu, baginda menyeru orang ramai supaya mereka (memberikan) sedekah, tetapi mereka agak keberatan sehinggalah terlihat (tanda-tanda kemurkaan) pada wajah baginda. Kemudian seorang lelaki daripada (golongan) ’Anṣār telah datang dengan uncang (berisi) daripada perak (dirham). Selepas itu datang (pula) yang lain dan seterusnya dikuti (oleh ramai orang) berturut-turut sehingga ternampaklah kegembiraan pada wajah baginda. Maka RasūlulLāh Ṣ.‘A.W bersabda (mafhūmnya): “Sesiapa menunjukkan satu jalan kebaikan pada Islām, lalu ia diamalkan dengannya (orang-orang yang) selepasnya, dituliskan baginya seumpama pahala orang yang beramal dengannya, dan tidak akan berkurangan pahala-pahala mereka sedikit pun. Dan, sesiapa menunjukkan satu jalan keburukan pada Islām, lalu ia diamalkan dengannya (orang-orang yang) selepasnya, dituliskan baginya seumpama dosa orang yang beramal dengannya, dan tidak akan berkurangan dosa-dosa mereka sedikit pun[13].”

Begitu juga perkataan ‘Umar (Al-Fāruq) r.‘a mengenai mendirikan (ṣalāt tarāwīḥ) di bulan Ramaḍān : Sebaik-baik bid‘ah (adalah) ini! [14]” Perkara ini tidak pernah berlaku di zaman RasūlulLāh Ṣ.‘A.W, sebab itu ‘Umar r.‘a menyebutnya sebagai bid‘ah.

Āthār daripada ‘Umar r.‘a tersebut direkodkan oleh Imām Bukhārīy r.ḥ (meninggal 256H) dan Imām Mālik r.ḥ (meninggal 179H). Daripada ‘Abd-ir-Raḥmān bin ‘Abd-il-Qārīy bahawasanya beliau berkata: “Aku telah keluar bersama-sama ‘Umar Al-Khattāb r.‘a ke masjid (pada) satu malam di bulan Ramaḍān, maka apabila manusia berpecah (dalam) pelbagai kumpulan, seorang lelaki berṣalāt sendirian, seorang lelaki (lain pula) berṣalāt dan sekumpulan orang mengikuti ṣalātnya, maka ‘Umar (r.‘a) berkata: “Aku berpendapat (lebih baik) sekiranya (dapat) aku kumpulkan mereka (berṣalāt) di belakang seorang pembaca (imām). Jadi, beliau membuat keputusan untuk mengumpulkan mereka di belakang ’Ubayy bin Ka‘ab. Kemudian, aku telah keluar bersama-samanya pada satu malam (yang) lain, dan semua orang berṣalāt di belakang seorang pembaca (imām). ‘Umar r.‘a berkata : “Sebaik-baik bid‘ah (adalah) ini!” dan orang-orang yang tidur (terlebih dahulu) lebih baik daripada mereka yang mendirikan (ṣalāt di awal malam). Beliau (‘Umar r.‘a) maksudkan (orang-orang yang tidur terlebih dahulu) untuk mendirikan ṣalāt di akhir malam, sedangkan ramai manusia (kebiasaannya) melakukan ṣalat di awalnya (malam) [15].”

Kesimpulan

Dalam menangani perkara-perkara furu‘ yang mana ia sangat terdedah kepada pelbagai pendapat di kalangan para salaf-us-ṣālih dan ‘ulamā’ mu‘tabar; sikap terbuka, berlapang dada, menghormati perbezaan-perbezaan tersebut, bersederhana, mencari keluasan dalam ilmu, dan seumpamanya wajarlah diamalkan oleh masyarakat Muslim masa kini. Adalah suatu yang amat malang jika masih wujud lagi di kalangan umat Islam yang gemar mengambil sikap “bermusuhan” dengan sesiapa yang tidak “sealiran” fahaman sehinggakan ia menjadi punca fitnah dan perpecahan. Persoalannya , apakah perkara ini (fitnah dan perpecahan) yang kita mahukan hasil daripada usaha menyempitkan perkara-perkara khilāfiyyah yang padanya mempunyai keluasan?

Namun demikian, kita juga wajar berhati-hati dalam melakukan amalan-amalan yang berbentukkhilāfiyyah , kerana ianya tetap tertakluk kepada memahami kebenaran naṣ-naṣ daripada Al-Qur’ān dan As-Sunnah serta rujukan daripada āthār para ṣaḥabat , ijmā‘ ‘ulamā’ atau rujukan-rujukan lain yang diterima oleh jumhūr ‘ulamā’. Oleh hal yang demikian, sekiranya perihal perkara-perkara khilāfiyyah itu masih lagi berlegar dalam lingkungan yang dibenarkan shara‘, maka berlapang dadalah wahai saudara-saudaraku!

Rujukan :

[1] Ibnu Manzūr (meninggal 711H), Lisān-ul-‘Arab, m.s 229, jil. pertama, Dār-ul-Ma‘ārif, Kaherah, Mesir
[2] Dr. ‘Izzat ‘Alīy ‘Aṭiyyah, Al-Bid‘ah Taḥdīduhā Wa Mawqif-ul-’Islām Minhā, m.s 157, cetakan kedua, Dār-ul-Kītab Al-‘Arabīy, Beirut, Lebanon, 1980
[3] ’Aḥmad Ḥamānīy, Ṣirā‘ Bayn-as-Sunnah Wal Bid‘ah , m.s 27 , t.t
[4] Imām Ibnu Ḥajar Al-‘Asqalanīy r.ḥ (meninggal 852H), Fatḥ-ul-Bārīy Bi Sharḥ Ṣahīḥ-il-Bukhārīy, Kitāb-ul-’I‘tiṣām Bil Kitāb Was-Sunnah, m.s 278, juz. ke-13, Dār-ul-Ma‘rifah, Beirut, Lebanon, t.t
[5] Imām Al-‘Izz ‘Abd-us-Salām r.ḥ (meninggal 660H), Al-Qawā‘id-ul-Kubra (Qawā‘id-ul-’Aḥkām Fī ’Islāḥ-il-’Anām), juz. ke-2, m.s 337, cetakan pertama, Dār-ul-Qalam, Damsyik, Syria, 2000
[6] Imām Ibnu ‘Arabīy r.ḥ (meninggal 543H), ‘Āriḍat-ul-’Aḥwadhīy Bi Sharḥ Ṣaḥīḥ-it-Tirmidhīy, Abwāb-ul-‘Ilm, Bāb Al-’Akhdhu Bi As-Sunnah, m.s 147, juz. ke-10, Dār-ul-Kutub Al-‘Ilmiyyah, Beirut, Lebanon, t.t
[7] Imām Ibnu Kathīr r.ḥ (meninggal 774H), Tafsīr-ul-Qur’ān-il-‘Aẓīm, m.s 332, jil. ke-5, cetakan pertama dan kedua, Dār Ṭayyibah Lin Nashr Wat Tawzi‘, 1997/1999
[8] Imām An-Nawawīy r.ḥ (meninggal 676H), Tahdhīb-ul-’Asmā’ Wal Lughāt, m.s 22, juz. pertama bah. ke-2, Dār-ul-Kutub Al-‘Ilmiyyah, Beirut, Lebanon, t.t
[9] Imām Ibnu Rajab Al-Ḥanbalīy r.ḥ (meninggal 795H), Jāmi‘-ul-‘Ulūm Wal Ḥikam, m.s 781, jil. ke-2, cetakan pertama, Dār-us-Salām, Kaherah, Mesir, 2004
[10] Imām Ibnu Rajab Al-Ḥanbalīy r.ḥ (meninggal 795H), ibid., m.s 783
[11] Imām Muslim r.ḥ (meninggal 261H), Ṣaḥīḥ Muslim, Kitāb-ul-Jum‘ah, Bāb Takhfīf-us-Ṣalāt Wal Khutbah, nombor 867; Imām Ibnu Mājah r.ḥ (meninggal 273H), Sunan Ibnu Mājah, Kitāb-ul-Muqaddimah, nombor 42; Imām ’Aḥmad r.ḥ (meninggal 241H), Musnad ’Aḥmad , nombor 16694; Imām Ad-Dārimīy r.ḥ (meninggal 280H), Sunan Ad-Dārimīy, Al-Muqaddimah, nombor 95; Imām At-Tirmidhīy r.ḥ (meninggal 279H), Sunan At-Tirmidhīy, Kitāb-ul-‘Ilm, Bāb Ma Ja’a Fil ’Akhdhi Bi As-Sunnah Wajtināb-il-Bid‘i – tanpa perkataan بِدْعَةٌ, nombor 2676
[12] Imām Bayhaqīy r.ḥ (meninggal 458H), Manāqib-us-Shāfi‘iy, m.s 469, juz.1, Maktabah Dār-ut-Turāth, Kaherah, Mesir, 1970
[13] Imām Muslim r.ḥ (meninggal 261H), Ṣaḥīḥ Muslim, Kitāb-ul-‘Ilm, nombor 1017
[14] Imām Bayhaqīy r.ḥ (meninggal 458H), ibid
[15] Imām Bukhārīy r.ḥ (meninggal 256H), Ṣaḥīḥ-ul-Bukhārīy, Kitāb Ṣalāt At-Tarāwīḥ, nombor 1906; Imām Mālik r.ḥ (meninggal 179H), Al-Muwatṭā’, Bāb Mā Jā’a Fī Qiyām Ramaḍān, nombor 252.

 

http://mohdtarmizi.wordpress.com/2012/03/04/isu-bidah-berlapang-dadalah-wahai-saudara-saudaraku/


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: