Program Kuliyyah al-Azhar Universiti As-Sofa

30/10/2011 5:11pm

KUALA LUMPUR – Yayasan Sofa akan menjalin kerjasama dengan Universiti Al-Azhar, Mesir bagi menjalankan program ijazah yang berteraskan pengajian Islam di negara ini tidak lama lagi.

Yang Dipertua Yayasan Sofa, Dr Yusri Mohamad berkata, program itu yang dikenali sebagai “Kulliyyah Al-Azhar” akan dilaksanakan di Universiti As-Sofa yang sedang dibangunkan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan dijangka beroperasi awal tahun hadapan.

“Bidang pengajian awal yang akan ditawarkan program ini ialah Usuluddin dan Syariah yang akan disusuli dengan Bahasa Arab dan Pengajian Al-Quran.

“Pengajian dikendalikan sepenuhnya oleh tenaga pengajar dari Universiti Al-Azhar Mesir, manakala sijil bagi program itu nanti akan dikeluarkan secara bersama oleh Universiti Al-Azhar dan Universiti As-Sofa,” katanya pada sidang akhbar di sini mengenai lawatan kerja Presiden Universiti Al-Azhar, Prof Dr Usamah Mohamed Hassan ke Malaysia selama lima hari bermula semalam.

Yusri berkata, sempena lawatan itu, Prof Usamah akan menandatangani perjanjian kerjasama dengan Yayasan Sofa bagi program pengajian itu di Istana Besar Seri Menanti dan akan disaksikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Mengenai pengambilan pelajar, Yusri berkata, bagi pengambilan pertama pihak universiti menyasarkan 300 orang pelajar terutama mempunyai kelulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). – Bernama