BERKONGSI BINATANG KORBAN
WALAUPUN NIAT BERBEZA
( Bilangan 272 )
بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آلھ وصحبھ ومن والاه
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Ibadah korban merupakan suatu ibadah sunat yang sangat dituntut
dalam Islam. Selain merupakan syi‘ar serta peringatan kepada
pengorbanan Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam, iaitu dengan
menyembelih puteranya Nabi Ismail ‘Alaihissalam, terdapat juga
pelbagai fadhilat serta ganjaran yang bakal diperolehi apabila
melaksanakan ibadah ini.
Jika Hari Raya ‘Aidil Fitri merupakan hari kegembiraan bagi fakir
miskin kerana menerima zakat, maka Hari Raya ‘Aidil Adhha juga
membawa kegembiraan serupa kerana memperolehi daging
korban.
Di negara kita Hari Raya ‘Aidil Adhha juga dikenali sebagai Raya
Korban atau Raya Haji. Alhamdulilah kesedaran tentang
kemuliaan dan keutamaan Hari Raya ‘Aidil Adhha sudah semakin
ketara. Di samping sambutan yang meriah, umat Islam di negara
ini menyambutnya dengan melaksanakan ibadah korban.
Seringkali juga kita mendengar ahli keluarga berbincang sesama
mereka untuk berkongsi binatang korban. Selain dengan niat untuk
melakukan ibadah, bagi mereka ini, berkorban juga merupakan
sebagai acara tahunan untuk berkumpul beramai-ramai pada hari
tersebut serta mengeratkan lagi silaturrahim dan memupuk sikap
bergotong-royong. Apatah lagi penyembelihan binatang korban
memerlukan tenaga yang ramai.
Kadangkala terjadi juga di mana dalam suatu keluarga itu
mendapat kelahiran anak damit dan tidak berkesempatan
melakukan aqiqah kerana kesempitan masa dan wang, maka tidak
ketinggalan ingin turut sama melaksanakan aqiqah ketika hari raya
korban.
Malahan pada peringkat kampung atau jabatan, kadangkala
persediaan untuk majlis korban sudah dibuat lebih awal lagi.
Perancangan dibuat dari awal tahun dari segi mengatur acara
majlis, menentukan hari, tarikh dan tempat berkorban, bahkan
menubuhkan tabung kewangan bagi mereka yang bercadang untuk
berkorban dan seumpamanya.
Perkara seumpama ini adalah bertepatan dengan kehendak syarak
sebagaimana yang telah disebutkan dalam firman Allah Subhanahu
wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat
kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan
pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”
(Surah al-Ma’idah: 2)
Sepertimana yang lazim dilakukan, oleh kerana keadaan atau
sebab-sebab tertentu, maka seseorang itu pada kebiasaannya akan
berkongsi seekor lembu itu dengan individu lain. Apa yang
seringkali terjadi ialah mereka yang ingin berkorban akan mencari
individu lain yang juga mempunyai niat yang sama, dengan
tanggapan bahawa perkongsian yang dilakukan dengan niat yang
berbeza-beza di antara mereka adalah diragukan tidak dibenarkan
oleh syarak. Apakah tanggapan ini benar?
Persoalannya apakah boleh dia berkongsi seekor lembu itu dengan
yang lain, bahkan dengan niat yang berbeza-beza? Misalnya
sebahagiannya berniat untuk berkorban dan sebahagiannya lagi
berniat untuk aqiqah. Maka untuk menjawab persoalan ini, berikut
akan dibawakan penerangannya secara ringkas.
Had Perkongsian Binatang Korban
Adapun binatang yang boleh dijadikan korban adalah unta dan
lembu atau seumpamanya seperti sapi dan kerbau, dan kambing
atau seumpamanya. Memandangkan di negara kita binatang yang
sering dijadikan korban adalah kambing, lembu (sapi) atau kerbau,
maka perbincangan akan lebih menjurus kepada binatang yang
telah disebutkan ini.
Maka had perkongsian binatang korban ini adalah berbeza
sepertimana penjelasannya di bawah ini:
1.Kambing Dan Seumpamanya
Seekor kambing samada tujuan menyembelihnya adalah untuk
korban ataupun aqiqah, maka seekor kambing itu tidak boleh
dibahagi atau dikongsi melainkan cuma satu bahagian sahaja.
Walau bagaimanapun harus berkongsi dengan orang lain dalam
pahala berkorban dengan seekor binatang korban itu, kerana
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menyembelih dua
ekor kibasy dan Baginda berdoa:
Maksudnya: “Ya Allah! Mohon terima (korban) daripada
Muhammad dan daripada keluarga Muhammad.”
Maka dapat difahami bahawa seekor kambing itu hanya sah
dibuat korban atau aqiqah untuk seorang sahaja, tidak boleh
lebih daripada itu.
2. Unta Dan Lembu Dan Seumpamanya
Seperti yang telah disebutkan dalam kitab Fiqah bahawa seekor
unta, lembu (sapi) atau kerbau itu boleh dikongsikan oleh tujuh
orang atau dibahagi kepada tujuh bahagian. Ini berdasarkan
hadis daripada Jabir Radhiallahu ‘anhu katanya:
Maksudnya: “Kami telah menyembelih bersama Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam di Hudaibiyah seekor unta bagi
tujuh orang dan seekor lembu bagi tujuh orang.”
(Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Perkongsian Binatang Korban Dengan Niat Yang Berbeza
Menurut Imam An-Nawawi Rahimahullah bahawa perkongsian
pada binatang korban yang dibenarkan, iaitu unta, lembu (sapi) dan
kerbau, dengan niat yang berbeza-beza adalah dibolehkan. Beliau
menyatakan dalam Kitab al-Majmu’:
Ertinya: “Boleh seekor unta, demikian juga lembu untuk tujuh
orang, sama ada untuk sebuah ahli keluarga ataupun untuk
beberapa ahli keluarga. Sama ada mereka itu melakukan
korban dengan maksud yang sama ataupun berbeza, sama ada
korban wajib atau sunat, atau sebahagian mereka hanya
mahukan daging. Harus juga kalau sebahagian mereka
bermaksud melakukan korban dan sebahagiannya lagi
bermaksud al-hadyu (binatang yang disembelih di tanah
haram sebagai dam haji atau umrah).”
Secara ringkasnya dihuraikan kata-kata Imam an-Nawawi
Rahimahullah bahawa harus (dibolehkan) berkongsi unta, lembu
(sapi) dan kerbau, iaitu:
1) Jumlah perkongsian paling maksima ialah tujuh bahagian,
tidak lebih daripada itu. Adapun jika kurang daripada itu,
umpamanya enam bahagian, maka itu juga dibolehkan. Maka
termasuklah juga makna tujuh bahagian itu perkongsian
antara tujuh orang di mana setiap seorang mengambil atau
menerima satu per tujuh (1/7) bahagian unta, lembu (sapi)
atau kerbau.
2) Samada dikongsikan tujuh bahagian itu dengan ahli keluarga
sendiri ataupun orang lain. Ini berdasarkan hadis daripada
Jabir Radhiallahu ‘anhu dia berkata:
Maksudnya: “Kami keluar bersama Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam (dari Madinah) berniat untuk mengerjakan
haji maka Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh
kami berkongsi pada unta dan lembu, setiap tujuh orang dari
kami bagi seekor unta.”
(Hadits riwayat Muslim)
Dapat difahami daripada hadis di atas secara zahirnya mereka
yang diperintahkan berkongsi pada unta dan lembu itu
bukanlah berasal daripada satu keluarga yang sama.
3) Samada niat kesemua mereka yang berkongsi itu adalah:
a) Niat yang sama, seperti berkongsi lembu dengan niat
untuk korban sahaja atau aqiqah sahaja.
Sepertimana yang telah diketahui bahawa dalam perkara
aqiqah disunatkan untuk menyembelih dua ekor kambing
bagi anak lelaki dan seekor kambing bagi anak
perempuan. Maka seekor kambing itu menyamai satu per
tujuh (1/7), iaitu satu bahagian daripada unta atau lembu.
Oleh itu jika seekor unta atau lembu itu disembelih
sebagai aqiqah bagi tujuh (7) orang anak atau jemaah
seramai tujuh orang, maka itu adalah harus (dibolehkan).
b) Niat yang berbeza-beza, seperti:
Sebahagian berniat korban, sebahagian yang lain
berniat aqiqah dan sebahagian yang lain pula berkongsi
hanya semata-mata kerana untuk mendapatkan
dagingnya sahaja. Maka bagi setiap seorang daripada
mereka sepertimana yang diniatkannya.
Begitu juga dalam perkara aqiqah, di mana
sebahagiannya berkongsi dengan tujuan aqiqah dan
sebahagian yang lain hanya semata-mata kerana untuk
mendapatkan daging sahaja, maka hukumnya juga
adalah harus (dibolehkan).
Sebahagiannya berniat korban atau aqiqah wajib
(kerana nazar), sementara sebahagian yang lain lagi
berniat korban atau aqiqah sunat.
Sebahagian mereka bermaksud melakukan korban dan
sebahagiannya lagi bermaksud al-hadyu (binatang yang
disembelih di tanah haram sebagai dam haji atau
umrah).
Maka dengan penjelasan ini dapat dibuat kesimpulan bahawa
hukum melakukan korban adalah sunat yang sangat dituntut
bahkan adalah lebih afdhal daripada bersedekah. Bahkan menurut
Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah bahawa beliau tidak memberi
rukhshah (kelonggaran), bahkan makruh, untuk meninggalkan
ibadah korban bagi mereka yang berkemampuan untuk
melaksanakan korban.
Perkongsian binatang korban seringkali tidak dapat dielakkan
misalnya disebabkan ketiadaan kambing maka seseorang itu
berkongsi dengan yang lainnya pada seekor lembu atau
perkongsian yang dilakukan untuk mencukupkan tujuh bahagian
tersebut.
Maka seekor kambing itu hanya memadai untuk satu bahagian.
Seekor kambing itu menyamai satu per tujuh (1/7), iaitu satu
bahagian daripada unta atau lembu. Jumlah maksima perkongsian
pada seekor unta, kerbau dan lembu itu adalah tujuh bahagian,
adapun kurang daripada itu tidak mengapa.
Perbezaan niat tidak menjadi halangan kepada mereka yang ingin
melakukan ibadah korban. Sekalipun mereka yang berkongsi
binatang korban itu dengan niat yang berbeza, hukumnya adalah
dibolehkan (harus).