Rebut Dunia Untuk Kejayaan Akhirat
Oktober 21, 2011 — sulaiman
Qasas [77] Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.
Carilah dan gunakanlah kurniaan Allah di dunia ini samada dalam bentuk harta, ekonomi, bisnes, jawatan, kedudukan, ilmu, akal fikiran dan sebagainya sebaik mungkin demi untuk mencapai kejayaan di negeri akhirat yang kekal abadi.
Para sahabat nabi yang jutawan seperti Sayyidina Abu Bakar, Umar, Usman dan Abdul Rahman Bin Auf r.a.menggunakan harta kekayaan mereka untuk kepentingan umat Islam.
Seimbang
Carilah keperluan dunia supaya tidak menyusahkan orang lain, tidak perlu meminta sedekah, derma dan pertolongan orang lain.
Hadith daripada Anas r.a yang diriwayatkan oleh Ibn `Asakir, maksudnya “Tidaklah dikira baik sifat orang yang membelakangkan “keadaan hidupnya” di alam dunia ini kerana berusaha untuk kebaikan dan kebahagiaan akhiratnya semata-mata, juga tidak dikira baik sifat orang yang membelakangkan kewajipan akhiratnya kerana berusaha untuk “keadaan hidupnya” di alam dunia ini semata-mata; tetapi baiknya sifat seseorang apabila ia berusaha untuk “keadaan hidupnya” di alam dunia ini dan untuk kebaikan, kebahagiaan akhiratnya sama, kerana keadaan hidup di alam dunia ini sungguhpun telah ditetapkan Allah menjadi sebab yang menyampaikan seseorang kepada kebahagiaan akhiratnya tetapi janganlah seseorang membiarkan dirinya menjadi beban kepada orang lain menjaga ”keadaan hidupnya” di alam dunia ini, bahkan hendaklah ia sendiri berusaha menjaganya”.
Carilah keperluan dunia supaya anak isteri tidak hidup melarat dan meninggalkan mereka dalam keadaan berada lebih baik daripada meninggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta. Bahkan dalam berwasiat juga tidak di bolehkan melebihi satu pertiga harta peninggalan.
Diriwayatkan daripada Saad bin Abu Waqqas r.a katanya: Pada waktu Haji Wida’ Rasulullah s.a.w menziarahiku ketika aku sedang sakit tenat. Waktu itu aku berkata: Wahai Rasulullah! Lihatlah keadaan aku yang berada dalam keadaan tenat ini sebagaimana yang kamu lihat, sedangkan aku ini seorang hartawan dan hanya seorang anak perempuan sajalah yang akan mewarisi harta saya. Adakah saya boleh mengeluarkan sedekah dua pertiga dari harta saya? Baginda menjawab: Tidak! Aku bertanya lagi: Bagaimana kalau sebahagiannya?Baginda menjawab: Tidak! Tetapi satu pertiga dan satu pertiga itu sudah banyak. Sesungguhnya jika kamu meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya itu lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan papa dan meminta-minta kepada orang lain. (Riwayat Hadith al-Bukhari dan Muslim.)
Gunakan Masa Di Dunia Sebaik Mungkin
Apa sahaja kebaikan yang dilakukan semasa di dunia ini akan mendapat ganjaran di negeri akhirat.
Az-Zukhruf [72] Dan (dikatakan lagi kepada mereka): Inilah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya, disebabkan apa yang kamu telah kerjakan.
Dua orang yang paling menyesal di negeri akhirat ialah orang alim yang tidak beramal dengan ilmunya dan orang yang mempunyai peluang mencari ilmu tetapi tidak melakukannya.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : “Orang yang paling menyesal (berdukacita) pada hari Kiamat ialah orang yang ada peluang menuntut ilmu di dunia, tetapi dia tidak mengambil kesempatan menuntutnya, dan orang yang mengajar ilmu kepada orang lain; lalu yang belajar darinya mendapat faedah dari ilmu itu sedangkan dia sendiri tidak mendapat apa-apa”.(Riwayat Ibnu As-Sakir dari Anas r.a.)
Daripada Abu Zaid Usamah bin Zaid bin Harithah r.a. berkata, “Aku mendengar Rasulullah saw bersabda, “Akan didatangkan seorang lelaki pada hari qiamat nanti lalu dilemparkan ke dalam api neraka sehingga terkeluarlah isi perutnya kemudian lalu ia berpusing (ditengah-tengah unggunan api neraka) seperti berpusingnya seekor kaldai di tempat penggilingan gandum. Para penghuni neraka terkejut melihat kejadian ini lalu mereka segera berhimpun di sekelilingnya sambil berkata kepadanya, Hai Fulan! Mengapa engkau jadi begini? Bukankah dahulu (sewaktu di dunia) engkau suka menyuruh orang berbuat kebaikan dan melarang mereka daripada kemungkaran?” Lalu orang itu menjawab, “Ya benar. Dahulunya saya suka menyuruh orang lain berbuat kebaikan tetapi saya tidak melakukannya dan saya suka melarang orang lain daripada melakukan kemungkaran tetapi saya sendiri melakukannya” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
Gunakanlah masa sebaiknya semasa di dunia tambahkanlah amalan misalnya dengan membanyakkan zikir dan membaca al-quran. Bacalah sekurang-kurangnya 100 ayat setiap hari dan boleh juga diulang surah yang sama, misalnya Surah Al-Ikhlas (Qulhu wallah) sebanyak 25 kali, bersamaan 100 ayat (4 ayat darab 25) atau Surah Fatih 15 kali (15 darab 7 ayat bersamaan 105 ayat).
Rebut akhirat untuk dunia